Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan bahawa terdapat 2 kes rabies dilaporkan di Sarawak.
2 Kes Rabies Dilaporkan, Menjadikan Jumlah Kes Rabies Di Sarawak 8 Orang Pada Tahun 2020. KKM telah memaklumkan bahawa terdapat dua kes rabies baharu menjadikan jumlah kes rabies di Sarawak meningkat kepada lapan orang pada tahun 2020.
Kes rabies yang ketujuh merupakan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 3 tahun dengan sejarah digigit oleh anjing di bahagian muka pada 2 November 2020.
Kanak-kanak tersebut terus dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin anti rabies. Kes kemudiannya telah di discaj dalam keadaan sihat pada 6 November 2020.
Namun demikian, pada 13 November 2020 sehingga 15 November 2020, kanak-kanak tersebut mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan juga menunjukkan tingkah laku yang agresif.
Dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak
Dia kemudiannya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 November 2020 untuk rawatan yang lebih lanjut dan disahkan telah dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 25 November 2020.
Kanak-kanak tersebut kini sedang dirawak di Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan yang stabil. KKM juga turut mendoakan agar kanak-kanak itu segera pulih seperti sedia kala.
Anjing yang menggigit kanak-kanak itu merupakan haiwan peliharaan milik jirannya. Kanak-kanak ini telah digigit ketika cuba menyelamatkan kucing milik neneknya yang telah diserang oleh anjing tersebut. Anjing tersebut telah ditangkap oleh pihak Majlis Daerah Bau pada 3 November 2020 dan disahkan positif virus rabies pada 18 November 2020.
Kes rabies kelapan pula merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun yang telah dimasukkan ke wad di Hospital Lundu pada 19 November 2020 dengan gejala sakit dan lemah badan selama tiga (3) hari.
Dia juga telah mengadu sakit tekak dengan kesukaran untuk makan dan minum. Kes telah dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak pada 21 November 2020 apabila keadaan kesihatannya bertambah teruk.
Lelaki tersebut telah meninggal dunia
Lelaki tersebut telah meninggal dunia pada 25 November 2020 dengan diagnosa rabies meningoencephalitis. Menurut diagnosa oleh IMR, telah disahkan dengan ujian makmal bahawa lelaki berkenaan positif rabies pada 25 November 2020. KKM turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.
Mendiang pernah mempunyai sejarah digigit oleh anjing liar pada dua tahun lepas semasa berburu di dalam hutan. Namun, beliau tidak mendapatkan rawatan yang segera di mana-mana fasiliti kesihatan. Dia juga ada membela lima ekor anjing tetapi kesemua anjing-anjing peliharaannya telah disahkan negatif rabies oleh pihak Jabatan Veterinar Sarawak.
Dengan pertambahan dua (2) kes baharu ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Malaysia bagi tahun 2020 mencatat jumlah lapan (8) kes.
Pertambahan kes ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai 2017 merupakan 30 kes dengan 28 kematian. Hanya terdapat dua (2) kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan yang awal.
Kematian akibat jangkitan rabies boleh dielak. KKM ingin menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:
- Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
- Segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun semasa fasa kawalan pergerakan dalam pandemik COVID-19 ini;
- Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
- Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
- Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
- Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.
KKM dan JKN Sarawak akan terus memantau dari semasa ke semasa situasi rabies di Sarawak dan akan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dan DVS Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segara.
Dinasihatkan juga jangan biarkan haiwan peliharaan atau membuangnya di kawasan-kawasan awam.
Kredit: Kpkesihatan