Hotel terletak bersebelahan dengan Shell dan tidak jauh dari Hospital Umum Sarawak.
20 Tahun Terbengkalai Kini Diubah Suai, Hotel Sky Bar Pertama Di Kuching Bakal Mula ‘Renovate’ Bulan Depan. Setelah 20 tahun lebih dibiarkan terbengkalai, bangunan lama di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce akan kembali beroperasi semula.
Dipetik dari The Borneo Post, bangunan ini bakal mula diubah suai pada bulan depan. Dan yang menariknya, bangunan yang direnovate ini menjadi hotel Roxy dan terdapat skybar pertama di Kuching.
Roxy Impiana Hotel akan menjadi penambahan terbaru kepada rangkaian Roxy Hotel yang dimiliki oleh pemaju Tecktonic & Sons Holdings Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Lee Chin Teck berkata beliau telah mengambil masa selama setahun untuk mengubahsuai bangunan lapan tingkat yang dulunya digunakan sebagai Impiana Hotel.
“Bangunan ini dibina pada tahun 1967 dan terbengkalai selama lebih dari 20 tahun, oleh itu orang mengatakan bahawa bangunan ini ‘berpenunggu’. Ini juga sebabnya tawaran untuk mendapatkan bangunan ini hanya RM3.5 juta, jauh lebih rendah berbanding apa yang dimiliki oleh pemilik sebelum ini,” kata beliau.
Lee yakin bahawa apabila Roxy Impiana Hotel dibuka, ia akan menjadi hotel butik yang sangat cantik.
“Ia akan mempunyai 50 bilik dengan enam unit apartmen berkhidmat, dan saya juga telah menubuhkan sky bar di atas bumbung bangunan.
“Saya berharap pada bulan hadapan dapat membuka Roxy Impiana Hotel dan setelah dibuka, ia akan menjadi perbincangan di kalangan orang ramai,” katanya.
Pada awal pembinaannya, bangunan ini dikenali sebagai Country View Hotel yang mempunyai tempat karaoke yang popular. Ia kemudian diubah nama kepada Impiana Hotel pada akhir tahun 1980-an, dan ditutup untuk selama-lamanya pada awal 2000-an.
Lee juga mengumumkan bahawa terdapat lagi hotel dalam jajaran Roxy Hotel yang akan dibina.
“Saya juga telah membeli Singgahsana Lodge yang terletak berhadapan dengan Harbour View Hotel dan Kuil Tua Pek Kong, dan saya merancang untuk membina semula bangunan itu. Saya juga akan membuka lebih banyak hotel termasuk di Asajaya, Selangau, dan Tatau.
“Impian saya, untuk membina setiap hotel di semua bandar kecil di Sarawak supaya orang ramai dapat datang dan menikmati keindahan Sarawak,” katanya.
Sehingga kini, terdapat lapan cawangan Roxy Hotel di seluruh negeri, iaitu Roxy Hotel Kuching, Roxy Hotel Padungan, Roxy Sematan, Roxy Hotel Serian, Roxy Serabang, Roxy Tasik Biru Floating Chalets, Roxy Hotel Sri Aman, dan Roxy Hotel Samarahan.