Malaysia Boleh!
6 Jenama Terkenal Yang Anda Tak Sangka Berasal Dari Malaysia. Sedar tak sedar, dalam kehidupan seharian anda, anda merupakan pengguna atau pelanggan kepada sesuatu jenama.
Tetapi, pernahkah anda terfikir tentang jenama yang anda gunakan sama ada ia buatan Malaysia atau sekadar jenama yang mencipta nama di Malaysia?
Dalam artikel kali ini, kami ingin kongsikan 6 jenama yang selalu anda guna sebenarnya berasal dari Malaysia. Mesti ada yang anda tak sangka. Jom kita lihat!
1. Munchy’s
Syarikat yang terkenal dengan produk biskut ini sebenarnya berasal dari Johor, Malaysia. Diasaskan pada tahun 1991, ia bermula dengan kejayaan sekumpulan penggemar biskut menghasilkan formula biskut dengan hanya menggunakan peralatan membuat wafer ‘second hand’. Sejak mula dipasarkan di bawah nama Munchy’s pada tahun 1993, biskut keluaran mereke diminati ramai. Produk terawal mereka ialah Muzic, Munchini dan Lexus.
Sehingga ke hari ini, lebih daripada 50 negara dari seluruh negara telah menghasilkan produk Munchy’s ini.
2. Secret Recipe
Siapa sangka, restoran yang mempunyai pilihan kek yang paling diminati di Malaysia ini sebenarnya merupakan restoran asal Malaysia. Ia dibuka pada tahun 1997, ia diasaskan oleh Datuk Steven Sim. Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan mengasaskan restoran tersebut bersama tiga orang anak buahnya yang merupakan pembuat roti. Nama Secret Recipe diilhamkan setelah seminggu memikirkan nama yang sesuai untuk restorannya itu. Cawangan pertama dibuka di SS2, Petaling Jaya, Selangor.
Secret Recipe kini memiliki 440 cawangan kafe, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Singapora, Indonesia, Thailand, China, Brunei, Maldives dan Bangladesh.
3. The Manhattan Fish Market
Walaupun dinamakan sempena nama sebuah bandar di Amerika Syarikat, tetapi restoran ini sebenarnya berasal dari Malaysia. Restoran ini diinspirasikan daripada Market Ikan Fulton yang berusia 180 tahun di Brooklyn, Amerika. Sesuai dengan namanya, ia menghidangkan pelbagai jenis menu berasaskan ikan dan snek ala-ala Amerika. Restoran ini diasaskan oleh George Ang, dan dua rakan karibnya iaitu Dr. Jeffrey Goh dan Dickson Law.
Selain daripada restoran ini, George Ang yang dahulunya pernah bekerja sebagai penghantar pizza juga mengendalikan lebih daripada 100 rangkaian restoran ternama di Malaysia seperti Tony Roma’s, New York Steak Shack dan A&W.
4. Big Apple Donuts & Coffee
Pernahkah anda terfikir Big Apple berasal dari mana? Pasti anda menyangka ia adalah saingan kepada jenama Dunkin Donut di Amerika Syarikat. Tetapi ia sebenarnya merupakan jenama Malaysia yang diasaskan oleh seorang ahli perniagaan yang bernama Mike Chan. Big Apple Donuts & Coffee dibuka pada tahun 2007 dengan outlet pertama berada di The Curve, Damansara. Pada tahun 2008, Big Apple telah diiktiraf sebagai rangkaian syarikat yang berkembang paling cepat dalam sejarah Malaysia kerana berjaya membuka 23 cawangan dalam masa setahun.
5. UTUT BABA’S
Pasti ramai yang tidak tahu tentang asal usul syarikat pembuat rempah masakan paling laris di Malaysia iaitu UTUT BABA’S. Pada sekitar tahun 70-an, seorang lelaki muda menghabiskan wang simpanannya untuk membeli sebuah van dan menjual pelbagai barangan menggunakan van tersebut di sekitar Lembah Klang. Kebanyakan barangan nya pula adalah bahan keperluan memasak dan perkhidmatannya menjadi pilihan kebanyakan suri rumah. Lama-kelamaan, atas permintaan pelanggan, beliau mengolah sendiri rempah kari yang disesuaikan dengan selera masyarakat majmuk di Malaysia.
Setelah berkali-kali ‘trial and error’, respon dari pelanggan, bisnes kari van BABA’S kini menjadi sebuah syarikat rempah masakan ulung, UTUT BABA’S. Sehingga kini, BABA’S telah menghasilkan 30 produk rempah masakan.
6. Fipper
Ini pula jenama selipar yang mula terkenal sejak tahun 2009 sehingga kini. Ramai yang menyangka Fipper adalah jenama selipar luar negara sehinggakan memiliki selipar jenama ini pernah menjadi sesuatu yang ‘hype’ kerana pilihan warnanya yang unik. Untuk pengetahuan anda, jenama Fipper ini diasaskan oleh warga Malaysia yang bernama Jack Lim pada tahun 2008.
Baru tahu kan jenama Malaysia ini setanding dengan jenama antarabangsa? Malah, ada yang mempunyai kualiti yang lebih baik daripada jenama mewah dan mahal di luar sana.
Sokong dan gunalah barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia!