Suku kaum Murut merupakan kaum ketiga terbesar di Sabah yang tinggal di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah
Mayat Disimpan Dalam Tempayan, Ini Adat Unik Kematian Kaum Murut Di Sabah. Suku kaum Murut adalah antara penduduk asli Sabah yang terkenal dengan tradisi dan budayanya. Mereka tinggal di bahagian pedalaman seperti Tenom, Pensiangan, dan Keningau. Kaum Murut terbahagi kepada beberapa sub-kumpulan seperti Murut Tahol, Tidung, Timugon dan lain-lain.
Kaum Murut merupakan salah satu etnik Sabah yang kaya dengan adat dan budaya. Suku kaum Murut juga dikenali melalui budaya dan kesenian yang telah mereka warisi turun-temurun.
Salah satu tradisi yang menarik perhatian ialah cara mereka mengendalikan proses kematian. Dalam adat Murut, cara pengebumian bergantung pada sebab kematian seseorang. Mereka percaya dengan melakukan pengebumian dengan cara yang betul, ia dapat mengelakkan bencana.
Dalam masyarakat Murut, terdapat tiga proses pengebumian iaitu, semasa kematian, pengebumian dan selepas pengebumian.
Proses pertama:
Ketika seseorang meninggal, keluarganya akan memukul gong untuk memberitahu penduduk kampung. Semasa gong dibunyikan, semua orang perlu berhenti dari aktiviti mereka sebagai tanda hormat. Jika ada yang tidak patuh, mereka perlu memberi denda berupa seekor babi kepada keluarga si mati.
Mayat akan dibersihkan, dipakaikan pakaian cantik dan disimpan di dalam tajau (tempayan), yang merupakan bangkalan (tempat penyimpanan mayat) tradisional kaum Murut, selama dua hari.
Selepas di masukkan ke dalam tajau, tajau akan ditutup dengan papan kayu dan akan dinyalakan lampu kecil diatasnya bertujuan untuk menakutkan hantu atau syaitan yang cuba menganggu.
Sebagai tanda menghormati malam terakhir si mati berada di rumah, keluarga si mati akan bersuka ria. Keesokan harinya, pada jam 12.00 tengah malam tajau akan dikeluarkan dan pada ketika itu semua ahli keluarga perlu menangis-nangis sambil mengelilingi tajau tersebut.
Proses kedua:
Tajau akan dihantar ke tapak pengebumian dan gong akan dibunyikan di sepanjang jalan yang dilalui sebagai tanpa penghormatan. Tajau tersebut akan dihiasi dengan beraneka manik yang berwarna dan dipaku dengan kayu yang diukir.
Suku Murut Nabai mengubur sepenuhnya tajau tersebut sedalam enam kaki bagi mengelak daripada diganggu binatang buas. Suku Murut Tagol pula menguburnya separuh sahaja supaya roh si mati dapat keluar dan dapat bertemu dengan keluarganya yang masih hidup.
Pada hari seterusnya pula, kaum lelaki akan pergi ke tanah perkuburan untuk membaiki rumah perkuburan sekiranya terdapat kerosakkan.
Proses terakhir:
Tiga potong bara akan diletakkan oleh ahli keluarga si mati setelah empat hari tajau dikebumikan.
Walau begitu, bara tersebut dikawal apinya oleh keluarga si mati supaya roh si mati tidak dapat meniup api tersebut kerana mereka percaya sekiranya si mati dapat meniup api sehingga menyala kemungkinan rumah si mati ditimpa bencana. Adat tolak bala diadakan bagi menandakan pantang larang adat kematian sudah selesai.
Walaupun tradisi ini mungkin terdengar asing bagi kita, ia adalah sebahagian daripada warisan dan kepercayaan kaum Murut. Adat ini masih dipegang teguh oleh beberapa sub-kumpulan Murut di Sabah, menunjukkan kekayaan dan keunikan budaya mereka.