Seperti dijangka, logo ini menggunakan sepenuhnya warna asas merah, kuning dan hitam
AirBorneo Akhirnya Umum Logo Rasmi Yang Bernama Wings of Unity. AirBorneo, syarikat penerbangan milik penuh Sarawak, kini semakin hampir untuk beroperasi apabila mereka memperkenalkan identiti jenama baharu dan logo rasmi yang dinamakan Wings of Unity hari ini.
Pelancaran yang penuh simbolik ini disempurnakan sendiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menandakan satu lagi langkah besar dalam merealisasikan impian Sarawak menjadi sebuah hab ekonomi yang dinamik.

Wings of Unity, simbol nilai Borneo diangkat ke awan biru
Menurut laporan media tempatan, nama Wings of Unity melambangkan pencapaian penting dalam misi AirBorneo untuk membawa Sarawak ke mata dunia.
Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga Pengerusi AirBorneo Holdings Sdn. Bhd., Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, menjelaskan logo ini berlandaskan tiga nilai utama iaitu keaslian, keterangkuman, dan tujuan yang jelas. Dengan identiti jenama yang menggabungkan elemen warna dan motif tradisional Sarawak, AirBorneo membuktikan visi Premier Sarawak untuk mengangkat budaya dan kebanggaan Borneo ke persada antarabangsa, sekaligus memperkukuh hubungan dan pertumbuhan ekonomi serantau.
Slogan rasmi mereka, #BorneoForYou, pula menggambarkan aspirasi syarikat untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang bermakna, meraikan kepelbagaian budaya, dan menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat serta komuniti perniagaan di seluruh benua.
AirBorneo bakal beroperasi Januari 2026
Premier Abang Johari dalam ucapannya menyatakan AirBorneo bakal memainkan peranan penting dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak. Operasi syarikat penerbangan ini, yang dijangka bermula pada Januari 2026, akan membawa pelbagai manfaat termasuk:
- Meningkatkan hubungan udara ASEAN.
- Mencipta peluang pekerjaan baharu.
- Menyokong perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
- Menaik taraf infrastruktur negeri.
- Menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat.

AirBorneo juga akan mengambil alih perkhidmatan yang ditawarkan oleh MASwings, termasuk Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang amat penting buat komuniti di kawasan pedalaman. Langkah ini memastikan setiap sudut Sarawak kekal terhubung, bukan sahaja untuk pelancongan tetapi juga untuk keperluan harian penduduknya.
Dengan visi dan imej yang semakin jelas ini, AirBorneo bakal tampil bukan saja sebagai syarikat penerbangan baharu, tetapi sebagai satu revolusi yang bakal mengubah landskap ekonomi dan sosial Sarawak. Misi AirBorneo kini jelas untuk menjadikan Sarawak sebuah hab ekonomi serantau yang dinamik, dan Wings of Unity adalah sayap yang bakal menerbangkan impian ini.
Walau bagaimanapun, belum ada maklumat rasmi sama ada logo ini adalah logo yang dipilih daripada pertandingan rekaan logo AirBorneo yang diadakan sekitar Mac yang lalu atau sebaliknya, mahupun kenyataan daripada pihak juri berkenaan pemilihan logo baharu ini.
Apa-apapun, semoga operasi AirBorneo dapat direalisasikan tidak lama lagi! 🙌🏻

