Parkir di Lapangan Terbang Kuching Kini Semudah Imbas Plat
Airport Kuching Bakal Perkenal Sistem Parkir Tanpa Tunai September Ini. Mulai September 2024, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching akan memperkenalkan sistem parkir tanpa tunai yang menggunakan teknologi Pengecaman Plat Kenderaan Automatik.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memodenkan kemudahan di lapangan terbang tersebut, menjadikan proses parkir lebih lancar dan bebas tunai.

Bayar hanya dengan imbas kod QR
Sistem ini berfungsi dengan mudah. Apabila pemandu tiba di pintu masuk, plat kenderaan akan didaftarkan secara automatik oleh sistem. Selepas itu, mereka hanya perlu memarkir kenderaan di kawasan yang disediakan. Ketika hendak keluar, pengguna boleh mengimbas kod QR pada poster pembayaran yang disediakan di terminal atau tempat letak kereta untuk mengakses maklumat plat kenderaan mereka dan melengkapkan pembayaran. Setelah pembayaran dilakukan, mereka mempunyai 15 minit untuk keluar dari kawasan parkir.
Sistem ini bukan sahaja memudahkan urusan parkir, tetapi juga mempercepatkan aliran trafik di pintu masuk dan keluar lapangan terbang. Penggunaan sistem ini juga sejajar dengan trend semasa yang semakin mengutamakan kaedah pembayaran digital serta mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai.
Namun, bagi pengguna yang tidak mempunyai akses kepada telefon pintar atau lebih suka membayar secara tunai, mereka boleh membuat bayaran di kaunter maklumat tempat letak kereta yang disediakan. Dengan itu, semua golongan pengguna tetap dapat menikmati kemudahan yang ditawarkan.

