Batu Siman: Antara Realiti dan Mitos
Tragedi Anak Alan Si Gergasi, Legenda Di Sebalik Batu Siman Yang Terpotong Di Ulu Baram. Terletak di Long Sela’an, puncak tiga serangkai Batu Siman bukan sahaja menjadi kebanggaan penduduk Ulu Baram, malah menyimpan kisah dongeng penuh emosi dan keajaiban tentang seorang gergasi bernama Alan dan anaknya yang malang.
Batu Siman, atau lebih dikenali sebagai Kedaya Telang Usan dalam kalangan masyarakat tempatan, telah lama menjadi lokasi misteri. Menurut Arthur Jalong Lawai, pengurus Segah Sela’an Homestay, batuan ini berkait rapat dengan legenda Alan si Gergasi makhluk perkasa yang suatu ketika dahulu dikatakan tinggal di kawasan ini.

Legenda ini bukan sebarang kisah. Ia bermula apabila Alan, dalam satu kejadian tidak dijangka, tanpa sengaja menjatuhkan anak kecilnya ke dalam Sungai Baram selepas digigit semut ketika menyeberang. Apa yang berlaku seterusnya adalah manifestasi kasih seorang ayah meskipun dirinya adalah gergasi.
Cinta Seorang Bapa, Tercatat Dalam Bentuk Geografi
Penuh rasa bersalah dan kesedihan, Alan mula menggali dan mengorek dasar sungai dengan tangan raksasanya untuk mencari anaknya. Aktiviti agresif ini secara tidak langsung mencipta ratusan pulau kecil di sepanjang sungai, yang kemudiannya memberi inspirasi kepada nama kampung Lio Mato ‘lio’ bermaksud pulau dan ‘mato’ bermaksud ratusan dalam bahasa Kenyah.
Apabila Alan akhirnya menemui anaknya yang telah lemas, dia memutuskan untuk membina keranda bagi anaknya. Inilah titik penting dalam legenda Batu Siman salah satu daripada tiga puncaknya dipercayai telah ‘dipotong’ oleh Alan untuk dijadikan bahan membuat keranda. Menurut Arthur, “bagi gergasi seperti Alan, batuan tidak ubah seperti pokok.”
Warisan Hidup: Dari Lagenda ke Komuniti Hari Ini
Walaupun kisah ini sarat dengan unsur mitos, Batu Siman masih mempunyai nilai praktikal hingga ke hari ini. Di kaki gunung ini terdapat gua yang menjadi lokasi penting bagi aktiviti mengutip sarang burung, sesuatu yang masih aktif dijalankan oleh masyarakat Kenyah.
Kampung terdekat dengan Batu Siman hari ini ialah Ba’ Ajeng, sebuah perkampungan komuniti Penan. Menariknya, perjalanan ke Batu Siman dari kampung ini hanya mengambil masa kurang daripada sehari dengan kenderaan pacuan empat roda.
Legenda Yang Menyatukan Alam dan Jiwa
Kisah Alan si Gergasi bukan sahaja menambahkan warna pada panorama Ulu Baram, tetapi juga menjadi naratif warisan yang mengikat generasi. Sama ada anda mempercayai kisah ini atau tidak, keunikan Batu Siman membuktikan bahawa alam dan cerita rakyat adalah dua entiti yang tidak boleh dipisahkan dalam budaya Borneo.
