Bayi ini alami masalah jantung
Bayi 5 Bulan Di Sandakan Derita Masalah Jantung Kongenital, Perlukan RM80K Segera. Seorang bayi berusia lima bulan dari Sandakan yang didiagnosis dengan masalah jantung kongenital serius – tiga lubang di jantungnya – memerlukan RM80,000 dengan segera bagi pembedahan penutupan kecacatan septum ventrikular (VSD) demi menyelamatkan nyawanya.
Aiyaz dilahirkan dalam keadaan sihat, namun sekitar usia empat bulan, doktor mula mengesyaki sesuatu tidak kena dengan jantungnya dan mencadangkan agar dia menjalani pemeriksaan jantung terperinci.

Kini Aiyaz ditempatkan di CCU kerana keadaannya lemah
Pada bulan lalu, ujian yang dilakukan mengesahkan Aiyaz menghidap penyakit jantung kongenital.
Kini, dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kardiologi (CCU) kerana keadaannya yang lemah dan sedang bertarung untuk terus hidup.
“Dia hanya boleh minum susu melalui tiub yang dimasukkan ke dalam hidungnya. Setiap kali dia selesema, pernafasannya menjadi semakin sukar akibat hidung tersumbat,” kata ibunya, Izutiya.
“Hati saya luluh melihatnya dalam kesakitan. Saya hanya mahu mendukungnya dan membuatkan dia terasa lebih baik.
“Kakak dan abangnya sangat menyayanginya. Mereka faham bahawa dia tidak boleh terkejut, jadi mereka sentiasa berhati-hati ketika bersamanya.”
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CCEP, Yvonne Yee berkata, jika pembedahan tidak dilakukan dengan segera, lubang di jantung Aiyaz boleh menyebabkan kerosakan paru-paru kekal, jangka hayat yang lebih pendek, dan kualiti hidup yang amat terjejas.
Ketika berusia sekitar empat bulan, Aiyaz secara tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas dan demam tinggi.
Bapanya, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM1,700 hingga RM1,800 sebulan, segera membawanya ke hospital.
Namun, disebabkan kekurangan rawatan khusus, dia terpaksa dipindahkan ke sebuah hospital lain di Sandakan.
Di situlah doktor mengesan bahawa jantungnya mempunyai tiga lubang dan mencadangkan supaya dia segera diterbangkan ke Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan.
Dengan tiga lagi anak berusia 10 tahun, lapan tahun serta satu tahun tujuh bulan, keluarga ini tidak mampu menampung kos pembedahan yang mencecah RM80,000.
Oleh itu, ibu bapa Aiyaz merayu bantuan orang ramai untuk menyelamatkan nyawa anak kecil mereka.
Sumbangan boleh disalurkan melalui Yayasan CCEP (RHB 26219300009342).
Untuk maklumat lanjut, layari ccep.org.my atau hubungi 03-79559999.
Semua sumbangan layak mendapat pengecualian cukai dan e-resit akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja.
Untuk mendapatkan resit pengecualian cukai, hantarkan slip sumbangan melalui WhatsApp ke 010-2798849.

