Menurut laporan, peguam bela Musa Aman Francis Ng mengesahkan anak guamnya telah dibebaskan
Bekas Ketua Menteri Sabah Kini Bebas Dari 46 Pertuduhan Rasuah Dan Penggubalan Wang Haram. Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan konsesi balak di negeri itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan peguam bela tertuduh semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.
Sebelumnya, ketika prosiding, pihak pendakwaan telah meminta supaya tetuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA).
“Ya, semua tuduhan ditarik dan Tan Sri (Musa) dilepas dan dibebaskan sama sekali,” kata Ng.
Terdahulu, dilaporkan Musa telah memfailkan permohonan untuk membatalkan 46 pertuduhan terhadapnya.
Sebelum ini beliau didakwa menerima rasuah berjumlah AS$28,500 hingga AS$16,148,547 daripada beberapa individu antara Disember 2004 hingga November 2008.
Musa, Ketua Menteri Sabah dari 2003 hingga 2018, mengaku tidak bersalah terhadap 35 pertuduhan rasuah pada 5 Nov 2018. Bagaimanapun, 5 dakwaan digugurkan kemudian.
Musa turut berdepan 16 dakwaan pengubahan wang membabitkan AS$37 juta daripada beberapa individu dan syarikat pada tempoh sama.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau sehingga 5 kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.
Jika sabit kesalahan di bawah Amla, beliau boleh dipenjara 5 hingga 15 tahun.
Pada bulan Februari yang lalu, Musa memohon mengetepikan semua pertuduhan itu kerana beliau mendakwa ia “tidak berasas”.
Pihak pembelaan memfailkan satu lagi permohonan pada hari sama untuk merujuk isu Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan mengenai satu peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 atau Amla.
Pihak pembelaan mahu mencabar Seksyen 82(2) Amla yang memberi kuasa kepada pegawai diplomatik untuk mengeluarkan sijil yang dakwaan pengubahan wang akan dikenakan kepada individu di mahkamah negara ini atas kesalahan dilakukan di luar negara.