So what happens if your fiance putus tunang secara tiba-tiba?
Berhak Tuntut Ganti Rugi Jika Putus Tunang, Ini Langkah Yang Boleh Anda Buat. Pertunangan adalah sesuatu yang indah bagi sebuah pasangan. Ini menandakan bahawa pasangan itu sudah bersedia melangkah ke alam perkahwinan dan memang patut diraikan oleh ahli keluarga dan kawan-kawan rapat mereka.

Namun, andai tiada jodoh, pasangan itu boleh memutuskan untuk putus tunang secara baik (contohnya, berbincang bersama kedua-dua belah keluarga). Sebaiknya, ini adalah cara yang paling tepat sekiranya keadaan ini berlaku.
Tetapi bagaimana apabila tunang anda akhirnya berkahwin dengan orang lain ketika masih bertunang dengan anda? Atau mereka memutuskan untuk berpisah tanpa amaran atau perbincangan dengan anda? Adakah anda akan membiarkannya?
Tahukah anda bahawa anda berhak untuk meminta ‘ganti rugi’ jika perkara ini berlaku? Malah, anda boleh membawa kes ini ke mahkamah juga. Berikut adalah langkah yang anda boleh buat jika anda (malangnya) menghadapi situasi ini.

Boleh membawa kes ke mahkamah untuk tuntutan sivil
Seorang pengguna Twitter, Ben Mazalan, telah berkongsi menerusi media sosial itu bagaimana anda harus bertindak jika anda menghadapi situasi ini. Untuk pengetahuan anda, langkah-langkah ini lebih sesuai untuk mereka yang ditinggalkan tunang mereka secara mengejut tanpa perbincangan kata putus. Namun, langkah ini juga boleh dibuat jika bekas tunang anda tidak menunaikan janji untuk membayar anda balik.
Perlunya saya tegaskan pertunangan satu bentuk kontrak yang sah di sisi undang-undang. Dan memutuskan tunang dengan cara sebegini, serta tidak memulang semua wang yang digunakan dalam proses pertunangan, dan lain2 kos, boleh menyebabkan anda berdepan tuntutan sivil di mahkamah. pic.twitter.com/pExYXQoBAO
— Ben Mazalan (@SonOfMazalan) September 5, 2021
Menurut beliau, anda boleh menuntut tuntutan sekiranya segala wang yang digunakan dalam proses pertunangan serta lain-lain kos tidak dipulangkan. Di Sarawak, anda boleh membuat tuntutan di Mahkamah Anak Negeri untuk menuntut kos putus tunang.

Kos pertunangan bukan sahaja sekadar majlis pertunangan. Ia juga melibatkan cincin tunang serta duit yang telah digunakan untuk persediaan majlis perkahwinan atau kehidupan selepas perkahwinan (contohnya, aset seperti rumah, kenderaan, perabot dan sebagainya). Malah, kosnya lebih besar jika tarikh perkahwinan semakin dekat sebab pada masa itu anda dan tunang anda sudah melaburkan duit untuk perkahwinan anda berdua.

Perkara anda perlu tahu: dari sudut pasangan beragama Muslim dan pasangan bukan Muslim
Ben Mazalan berkata, untuk pasangan Muslim anda mempunyai Akta Undang-Undang Keluarga Islam. Akta ini meliputi perkara mengenai perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan dan lain-lain, termasuk pertunangan. Oleh itu, Mahkamah Syariah adalah mahkamah yang sesuai untuk menyelesaikan perkara ini.
Katanya lagi, pertunangan bukan bermakna pasangan itu sudah membuat majlis pertunangan. Dari saat ada usaha untuk berkahwin, ia sudah dikira sebagai pertunangan. Oleh itu, kos yang telah dikeluarkan untuk persediaan majlis perkahwinan (seperti barang kemas, persiapan baju kahwin dan sebagainya) boleh dituntut.

Bagi pasangan bukan beragama Islam, pertunangan adalah seperti kontrak dan mahkamah menganggap pertunangan lisan adalah sahih. Malah, menurut Ben lagi, pertunangan lisan adalah paling senang untuk dibuktikan – sama ada dalam bentuk resit pembelian dan bukti komunikasi seperti dalam mesej (e.g. WhatsApp, SMS, dan sebagainya).

Digalakkan untuk ada majlis pertunangan agar memudahkan proses jika perkara yang tidak diingini berlaku
Anggap ini sebagai just in case! Walaupun ia difahamkan ada pasangan-pasangan tertentu yang tidak teringin mengadakan majlis pertunangan (ya lah, majlis pertunangan je pun, bukan perkahwinan sebenar, kan?), ia lebih baik untuk mengadakan majlis pertunangan sebagai bukti pertunangan serta memudahkan urusan anda dan peguam anda sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku kemudian.
Tak semestinya buat yang grand, tapi sekurang-kurangnya ada majlis di mana kedua-dua belah keluarga terdekat ada di majlis tersebut sebagai saksi bahawa anda berdua sudah sah tunang.

Hal ini kerana Ben menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor harus dipertimbangkan. Antaranya adalah hendak bertukar kerja atau pindah rumah atas alasan kahwin, atau keinginan untuk mengadakan majlis perkahwinan yang besar. Oleh itu, sekiranya anda dan tunang anda sudah putus (lagi-lagi kalau cara tidak baik), anda boleh tuntut kos-kos terbabit. That’s why dengan adanya majlis pertunangan, anda boleh memanggil beberapa saksi yang telah menghadiri majlis pertunangan anda sebagai insuran.
Ben juga mengingati orang ramai bahawa majlis pertunangan tidak diwajibkan namun untuk memudahkan urusan anda dan peguam anda, majlis pertunangan akan lebih mengukuhkan bukti bahawa anda dan bekas pasangan anda telah bertunang – biarpun majlis kecil sahaja.
Setelah ketahui langkah-langkah ini, biar mahkamah untuk menentukan keputusan kemudian.
Semoga perkara yang tidak diingini tidak berlaku
Sesungguhnya, pertunangan adalah sesuatu yang indah untuk disaksikan. Tetapi sayangnya, kadang-kadang perkara yang tidak dijangka berlaku dan selalunya satu pihak akan menanggung kerugian – dari segi mental, fizikal dan kewangan.
Walaupun diharapkan pasangan yang bertunang tetap bersama hingga hari perkahwinan mereka, sekiranya anda mengalami pertunangan yang tiba-tiba putus tanpa amaran (seperti tunang berkahwin dengan orang lain, atau memutuskan untuk tidak berkahwin pada saat-saat terakhir dan tidak setuju untuk membayar untuk kerugian kewangan), anda akan tahu apa yang perlu dilakukan.
