fbpx
Berita Dunia

Pernah Digelar The Next Steve Jobs, Wanita Ini Menipu Pelabur Untuk Jadi Pengasas Berstatus Jutawan

Elizabeth Holmes, pengasas Theranos

Pernah Digelar The Next Steve Jobs, Wanita Ini Menipu Pelabur Untuk Jadi Pengasas Berstatus Jutawan. Pada tahun 2014, Elizabeth Holmes dinamakan oleh Forbes sebagai jutawan wanita self-made termuda dan terkaya di Amerika, berdasarkan penilaian syarikatnya bernilai USD9 bilion. Dia berusia 30 tahun pada masa itu.

Tapi beberapa tahun kemudian sekitar tahun 2018, Elizabeth ditahan atas tuduhan penipuan wayar dan dua tuduhan konspirasi untuk melakukan penipuan wayar.

Bagaimana wanita ini yang dahulunya berada di puncak dan seorang usahawan yang dihormati bernilai berbilion dolar kemudian jatuh ke kosong?

Pernah Digelar The Next Steve Jobs, Wanita Ini Menipu Pelabur Untuk Jadi Pengasas Berstatus Jutawan

Dari college dropout ke usahawan

Elizabeth Holmes dilahirkan pada tahun 1985 di Washington, D.C., Amerika Syarikat. Dia digambarkan sebagai seorang yang kompetitif pada usia muda dan bahkan menyatakan bahawa impiannya adalah menjadi jutawan.

Elizabeth Holmes ketika masih kecil.

Dia mula mengembangkan etika kerjanya semasa sekolah menengah. Pada waktu ini, dia sentiasa tidur lewat demi belajar. Dia dengan cepat menjadi pelajar cemerlang – sering dapat A+ dalam pelajarannya. Elizabeth juga mula menjalankan perniagaan sendiri iaitu menjual compiler C++, sejenis perisian yang bantu menterjemahkan kod komputer ke sekolah Cina.

Contoh compiler C++.

Elizabeth kemudian melanjut pelajarannya ke Universiti Stanford untuk belajar kejuruteraan kimia. Malah semasa dia masih baru, dia menjadi “president’s scholar,” satu anugerah yang diberikan dengan wang tunai USD3,000 untuk pergi ke projek penyelidikan.

Elizabeth Holmes pernah melanjutkan pelajarannya di Universiti Stanford.

Sebelum diterima di Stanford, Elizabeth mula membelajari bahasa Mandarin semasa sekolah menengah. Kemahiran ini menyebabkan dia berjaya diterima di Stanford untuk program musim panas yang kemudian membawanya ke sebuah lawatan sambil belajar di Beijing pada awal 2000-an. Pada masa ini pula dia mula berkenalan dengan seorang lelaki bernama Ramesh ‘Sunny’ Balwani, seorang pendatang Pakistan serta 20 tahun tua darinya.

Ramesh Balwani aka Sunny.

Sedikit cerita mengenai Sunny, dia terlibat dalam dot-com boom pada sekitar 1990-an, menguntung USD40 juta dalam proses tersebut.

Semasa satu lagi lawatan sambil belajar di Asia, Elizabeth terkesan dengan pandemik SARS dan kembali ke AS dengan motivasi baru iaitu mengembangkan sebuah teknologi yang memanfaatkan dalam bidang kesihatan.

Berhenti universiti untuk menubuhkan syarikat sendiri

Setelah kembali ke AS dari lawatan tersebut, Elizabeth dilaporkan tidak keluar dari biliknya selama 5 hari serta hanya tidur 2 jam semalam sambil mengusahakan sebuah idea paten.

Idea tersebut adalah untuk membuat sebuah tampalan yang boleh dipakai. Tampalan ini akan sentiasa menguji darah pemakainya dan memberi dos ubat yang tepat dalam masa nyata.

Paten pertama syarikat Elizabeth.

Bertekad dengan usahanya, Elizabeth berhenti universiti pada umur 19 tahun untuk menubuhkan syarikatnya sendiri.

Pada awalnya, dia mendirikan pejabatnya di sebuah perumahan yang dikenali dengan keganasannya. Malah, dia hampir mati ditembak dalam keretanya apabila seorang penjenayah cuba menembak tingkap keretanya ketika Elizabeth masih dalam kereta berkenaan.

Sebagai pampasan, bekas jirannya (yang pernah melabur dalam Hotmail) memberinya sebanyak USD 1 juta. Duit ini kemudian digunakan untuk start up perniagaan Elizabeth iaitu Theranos.

Pejabat Theranos di Silicon Valley, AS.

Menaikkan reputasinya di kalangan pelabur tetapi tidak berjaya memujuk pelabur yang mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan

Elizabeth kemudian menaikkan reputasinya di kalangan pelabur bagi mendana perniagaannya. Namun, apabila pelabur yang mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan muncul, dia tidak berjaya memujuk mereka.

Hal ini kerana Elizabeth tidak mempunyai kemahiran luas mengenai bidang perubatan. Oleh sebab Elizabeth hanya meluangkan beberapa semester ketika di Stanford, ia memang ternyata pengetahuannya mengenai perubatan sangat terhad.

Tak seperti college dropout usahawan teknologi lain seperti Bill Gates dan Mark Zuckerberg di mana mereka hanya perlu mempunyai pengetahuan pengekodan untuk membina empayar mereka, bidang yang diceburi Elizabeth memerlukan pengetahuan luas kerana ia adalah bidang berkaitan dengan Kimia dan Perubatan dan memerlukan sekurang-kurangnya beberapa dekad pengetahuan dan penyelidikan.

Mark Zuckerberg tak perlu habiskan pelajaran di universiti kerana beliau sudah mempunyai kemahiran dalam pengekodan.

Berjaya mendapatkan pelaburan bernilai USD6 juta untuk dana

Walaupun dia kurang dapat sokongan dari pelabur dari bidang perubatan termasuk pensyarah dia sendiri, dia akhirnya berjaya dapat USD6 juta untuk mendana perniagaannya pada hujung tahun tersebut. Pada masa ini, dia mula mengubah konsep produknya.

Daripada menghasilkan sebuah tampalan, dia telah mengembangkan idea untuk menguji darah menerusi sebuah katrij dan sistem pembacaan.

Katrij Theranos untuk mengambil sampel darah.

Menurut idea asalnya, pesakit hanya memerlukan jari mereka ditusuk, kemudian darah yang mengalir dari jari akan disimpan dalam sebuah katrij.

Contoh proses pengambilan sampel darah melalui katrij tersebut. Kredit: ColdFusion

Katrij ini akan dimasukkan dalam sebuah mesin untuk menjalankan ujian darah. Mesin ini kemudian akan menghantar keputusan darah tersebut via Internet ke sebuah lab di mana seorang doktor akan membaca keputusan terbabit. Sebuah laporan akan dihantar kepada pesakit tersebut kemudian.

Secara tradisionalnya, prosedur semasa untuk menguji darah adalah untuk mengguna sebuah picagari untuk mengambil darah dan darah tersebuh harus dihantar secara fizikal ke sebuah lab.

Malah, saiz mesin semasa sebesar mesin fotostat dan keputusan darah akan mengambil beberapa hari untuk diproses.

Untuk Theranos, mereka bervisi bahawa saiz mesin ujian darah mereka sebesar sebuah komputer. Malah, mesin ini bertujuan untuk mempercepatkan proses pengujian darah serta memberi keselesaan kepada pesakit, sehingga ia mewujudkan proses yang tak memerlukan doktor secara langsung.

Prototaip mesin ini secara langsung mendedahkan masalah Theranos yang pertama.

Masalah Theranos

Merujuk kepada mesin dinyatakan di atas, mesin tersebut, iaitu mesin Edison, bukan sahaja tak pernah wujud tetapi ia memang mustahil.

Hal ini kerana saiz Edison akan menyebabkan pelbagai gangguan – setiap komponen akan mempunyai peranan masing-masing dari segi memancarkan cahaya terhadap darah itu, serta mendapatkan reaksi kimia.

Gangguan komponen akibat setiap komponen diletak jarak dekat dalam mesin akan menyebabkan kepanasan, serta gangguan lampu dan aktiviti elektrik.

Mesin Edison Theranos mempunyai terlalu banyak komponen dan boleh menghasilkan gangguan akibat diletakkan berdekatan.

Selain itu, isi padu darah yang diperlukan sangat kecil. Untuk memperoleh keputusan hanya dari setitik darah akan memerlukan darah tersebut menjadi cair, menghasilkan keputusan darah yang tidak tepat. Perkara ini sangat membahayakan kerana doktor sangat bergantung kepada keputusan darah bagi membuat laporan serta memberi ubat yang sepatutnya kepada pesakit.

Prosedur semasa memerlukan satu tiub darah untuk diuji, tetapi Theranos menjanjikan hasil dari satu titik darah sahaja.

Di samping itu, setiap perkembangan harus dilaporkan kepada Elizabeth. Elizabeth, yang tidak mempunyai pengetahuan luas mengenai perubatan, secara spesifik mengarahkan semua pekerjanya untuk melapor kepada dia seorang sahaja.

Salah satu lagi masalah adalah Elizabeth dan Sunny (lelaki yang dikenalinya semasa di Beijing, kemudian menjadi teman lelakinya) sentiasa memastikan pekerja syarikat mereka fokus dalam kerja malah mengugut untuk memecat mana-mana pekerja yang tidak menunjukkan sebarang usaha. Ia sehingga satu tahap di mana mereka berdua akan mengawasi kamera litar tertutup (CCTV) untuk memerhati pekerja mereka!

Hani Mitwasi big brother surveillance cctv champions anthem GIF
Pekerja Theranos sentiasa diawasi oleh Elizebeth dengan Sunny.

Serba sedikit mengenai peranan Sunny dalam syarikat Theranos, dia dilantik sebagai second-in-command oleh Elizabeth atas pengalamannya sebagai usahawan walaupun Sunny tidak mempunyai latar belakang perubatan. Pelik, kan?

Model perniagaan berdasarkan dakwaan mesin Edison boleh membuat ujian darah menerusi teknologi mereka

Menjelang tahun 2006, Theranos semakin mendapat momentum. Selain melanggar SOP seperti melakukan eksperimen ke atas pesakit walaupun mesin Theranos belum disahkan berfungsi, Elizabeth juga menipu pelabur bahawa mesin syarikatnya dapat diguna dan boleh diharapkan serta ia mampu mengesan penyakit seperti kanser dan kolestrol tinggi.

Ketua pegawai kewangan (CFO) Theranos mula menyedari bahawa Elizabeth sedang menipu kepada pelabur syarikat dan tegur dia. Disebalik mendengar teguran CFO itu, Elizabeth tidak menghirau tegurannya dan memecatnya. Jawatan CFO itu menjadi kosong selama 10 tahun.

Malah, Elizabeth mula mengidolakan Steve Jobs dan menjadikan dirinya kelihatan seperti dia secara visual dengan memakai turtleneck hitam dan mengikuti cara kepemimpinannya.

Elizabeth sangat mengidolakan Steve Jobs sehingga memakai pakaian seperti idolanya.

Obsesi ini sehingga menjadi tahap kegilaan. Contohnya, apabila mengetahui Steve Jobs akan menjadualkan mesyuarat pemasaran pada hari Rabu, dia juga menjadualkan mesyuarat pemasaran Theranos pada hari Rabu. Malah, dia mula mengambil bekas pekerja Apple untuk menjadi anggota lembaga pengarahnya.

Elizabeth kemudian menyusun semula saham syarikat, yang mengakibatkan dia mendapat hak suara majoriti.

Di samping itu, Elizabeth akan menerima duit pelabur dengan syarat dia tidak perlu mendedahkan bagaimana teknologi Theranos berfungsi.

Sanggup mengubah suara sendiri untuk membentuk sebuah imej yang profesional, populariti Theranos berada di kemuncak

Elizabeth dikatakan bercakap mengguna suara yang dalam tetapi pernah dalam beberapa insiden dia terlepas cakap dan mendedahkan suara sebenarnya. Suara sebenarnya dikatakan mempunyai nada yang tinggi. Menyedari suara sebenarnya terlepas, dia akan segera ubah nada suaranya ke nada yang lebih dalam.

Dengan Sunny di sisinya sebagai second-in-command, mereka berdua berjaya diberi pelaburan bernilai berjuta-jutaan untuk mendana projek mereka. Malah, reputasi Theranos sangat hebat sehingga Elizabeth dijemput untuk memberikan ceramah TED, dipaparkan di muka depan majalah Fortune dan Forbes serta melakukan panel bersama Bill Clinton dan Jack Ma.

Elizabeth bersama bekas presiden AS, Bill Clinton, dan pengasas Alibaba, Jack Ma.
Elizabeth di muka depan majalah Fortune.

Populariti Theranos mendapatkan perjanjian dari pelbagai jenama. Salah satunya ialah pasaraya Walgreens di mana mereka ditawarkan untuk membuka pusat ujian Theranos di kedai mereka.

Pusat ujian Theranos di salah satu kedai Walgreens.

Pada masa ini, Elizabeth digelar sebagai self-made billionaire wanita termuda di dunia, dengan nilai bersih sekitar USD4.5 bilion. Malah, syarikat Theranos dianggarkan bernilai USD9 bilion pada tahun 2014, mengumpulkan lebih daripada USD400 juta modal teroka.

Terlalu obses dengan keselamatan, kejatuhan Theranos

Elizabeth terlalu obses dengan keselamatan di Theranos. Dia akan meminta sesiapa sahaja yang mengunjungi ibu pejabat syarikat itu untuk menandatangani perjanjian tanpa pendedahan sebelum dibenarkan masuk ke dalam bangunan dan meminta pengawal keselamatan mengiringi pelawat ke mana-mana sahaja, termasuk tandas.

Pengunjung akan sentiasa diiringi oleh pengawal keselamatan jika di pejabat Theranos, atas arahan Elizabeth.

Pada masa yang sama, timbul pertanyaan mengenai teknologi Theranos. Ian Gibbons – ketua saintis di Theranos dan salah seorang pegawai pertama syarikat – memberi amaran kepada Elizabeth bahawa ujian itu belum siap untuk diambil oleh orang ramai, dan bahawa terdapat ketidaktepatan dalam teknologi. Para saintis luar mula menyuarakan kebimbangan mereka tentang Theranos juga.

Menjelang Ogos 2015, FDA mula menyiasat Theranos, dan pengawal selia dari badan kerajaan yang mengawasi makmal mendapati “ketidaktepatan utama” dalam ujian yang dilakukan Theranos pada pesakit.

Pada Oktober 2015, wartawan Wall Street Journal John Carreyrou menerbitkan penyiasatannya mengenai kesukaran Theranos dengan teknologinya. Menurut laporan tersebut, ia didapati mesin Theranos tak dapat memberikan keputusan tepat dan membuat pengujian menerusi mesin pengujian darah tradisional. Laporan John mencetuskan permulaan penurunan syarikat.

Artikel dari Wall Street Journal hasil penyiasatan John Carreyrou adalah pencetus kejatuhan Theranos

Pada 2016, FDA, Pusat Perkhidmatan Medicare & Medicaid, dan SEC semuanya telah meninjau Theranos. Pada tahun yang sama, Elizabeth dilarang dari industri ujian makmal selama dua tahun dan Theranos kemudian menutup operasi makmal dan pusat kesihatannya menjelang Oktober 2016.

Pada bulan Mac 2018, Theranos, Elizabeth, dan Sunny didakwa melakukan “penipuan besar-besaran” oleh SEC. Elizabeth bersetuju untuk melepaskan kawalan kewangan dan pengundian syarikat, membayar denda USD500,000, dan mengembalikan 18.9 juta saham Theranos. Dia juga tidak dibenarkan menjadi pengarah atau pegawai syarikat perdagangan awam selama 10 tahun.

Sunny dan Elizabeth ditahan atas tuduhan penipuan wayar dan dua tuduhan konspirasi untuk melakukan penipuan wayar.

Dua bulan kemudian, Theranos mengumumkan bahawa Elizabeth akan meletak jawatan sebagai CEO. Pada hari yang sama, Jabatan Kehakiman mengumumkan bahawa juri besar persekutuan telah menuduh Elizabeth, bersama dengan Sunny, dengan sembilan tuduhan penipuan wayar dan dua tuduhan konspirasi untuk melakukan penipuan wayar.

Penutupan Theranos, Elizabeth kahwin dengan lelaki baru dan sedang menunggu perbicaraan

Theranos menghantar e-mel kepada pemegang saham pada bulan September 2018 yang mengumumkan bahawa syarikat itu ditutup. Theranos dilaporkan mengatakan bahawa ia merancang untuk menghabiskan beberapa bulan untuk membayar balik kreditur dengan baki sumbernya.

Menjelang Jun 2019, Elizabeth dan teman lelaki barunya iaitu William ‘Billy’ Evans, berusia 27 tahun dan pewaris syarikat pengurusan harta tanah hospital di California, kahwin secara diam.

Elizabeth bersama suaminya, Billy.

Elizabeth dan Sunny kini menunggu perbicaraan persekutuan, walaupun kes mereka telah dipisahkan. Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka masing-masing boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lebih dari USD2.7 juta.

Menurut laporan terbaharu oleh CNN Business, Elizabeth mungkin cuba menuntut ‘penyakit mental’ dalam kes dia.

Perbicaraan, yang awalnya dijadualkan untuk dimulakan pada musim panas ini tetapi ditunda kerana Covid-19, dan kini dijadualkan akan dimulai pada bulan Mac tahun hadapan manakala perbicaraan Sunny akan bermula selepas Elizabeth selesaikan perbicaraannya.

Kisah seorang CEO yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi merealisasikan syarikatnya

Begitu lah kisah Elizabeth Holmes yang pada suatu ketika dahulu dihormati di kalangan usahawan berkuasa di dunia. Dia terlalu terjebak dengan penipuannya sehingga betul-betul mempercayai bahawa ideanya akan direalisasikan tetapi disebaliknya idea tersebut memang tidak dapat dicapaikan atas sebab-sebab dinyatakan di atas.

Sekiranya cita-cita anda adalah untuk menjadi seorang CEO syarikat pada suatu hari nanti, pastikan impian anda realistik dan jangan terjebak dalam amalan tidak mulia demi merealisasikan idea anda. Anda mungkin akan menjadi Elizabeth Holmes seterusnya.

the office boss GIF
Kredit: Giphy

Artikel Berkaitan

Back to top button