Banjir landa beberapa kawasan di Sarawak
Sarawak Dalam Keadaan Genting, Bintulu Dan Miri Dilanda Banjir Teruk. Keadaan banjir di Sarawak semakin membimbangkan, terutamanya di kawasan Bintulu dan Miri. Pelbagai hantaran di media sosial tular menunjukkan situasi banjir yang semakin meruncing, dengan air naik mendadak sehingga menjejaskan infrastruktur dan kediaman penduduk.
Hujan berterusan tanpa henti di seluruh negeri ini menyebabkan situasi banjir semakin memburuk di Bahagian Serian.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Sarawak, sehingga jam enam pagi, sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) berkaitan banjir telah dibuka, membabitkan 473 mangsa.
“Empat PPS baharu dibuka di Serian iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Sorak, PPS Dewan Kampung Lintang Baru, PPS Dewan Masyarakat Serian dan PPS SK Tanah Merah.
“Dua lagi PPS yang dibuka lebih awal, PPS Dewan Sukan Kidurong di Bintulu dan PPS Dewan SJK (C) Chung Hua di Batu Kawa, Kuching juga menunjukkan peningkatan,” katanya, menurut laporan media tempatan.
Ketika berita ini ditulis, kebanyakan kawasan di sekitar Kuching, Serian, dan Miri telah mengalami banjir.
Turut meningkat, jumlah mangsa yang mendaftar masuk di PPS Dewan Mesra Simunjan di Bahagian Samarahan.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dari Kuching hingga Kapit dan Miri, sehingga 30 Januari.
Banjir di Miri: Kenderaan Sukar Melalui Jalan Raya
Di Miri, beberapa perkongsian di media sosial, khususnya di Facebook, menunjukkan kenderaan menghadapi kesukaran untuk bergerak akibat banjir yang melanda.

Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air meningkat dengan mendadak, mengakibatkan gangguan kepada aktiviti harian penduduk setempat.
Situasi Lebih Serius di Bintulu
Sementara itu, di Bintulu, keadaan dilaporkan lebih serius. Sebuah video tular di TikTok menunjukkan kawasan apartment yang telah ditenggelami air. Tambahan pula, tempat parkir di bawah apartment tersebut juga telah ditenggelami air, menyebabkan semua kenderaan yang diletakkan di kawasan tersebut hampir tidak kelihatan.
Beberapa kawasan lain di Bintulu juga dilaporkan mengalami keadaan yang sama, dengan banyak rumah dan jalan utama ditenggelami air.


Penduduk Sarawak Mengharapkan Bantuan Segera
Dalam menghadapi situasi ini, ramai penduduk Sarawak berharap agar bantuan segera dapat disalurkan ke kawasan yang terjejas teruk. Selain itu, mereka juga mengharapkan keadaan cuaca kembali stabil supaya air dapat surut dengan lebih cepat.
Penduduk yang masih berada di kawasan yang selamat dinasihatkan untuk terus peka terhadap perkembangan cuaca serta bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Orang ramai juga disarankan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa.
Keselamatan harus diutamakan dalam menghadapi bencana ini. Kepada mereka yang terjejas, kami berharap anda berada dalam keadaan selamat dan semoga keadaan kembali pulih dalam masa terdekat.

