Vaksin tersebut telah tiba di Brunei pada Selasa lalu.
Brunei Terima Sumbangan Vaksin Sinopharm Dari China Sebagai Tanda Persahabatan. Negara Brunei Darussalam dikhabarkan telah menerima sumbangan vaksin daripada kerajaan China yang tiba pada Selasa lalu. Oleh yang demikian, negara tersebut kini sedang merancang dan meneliti pelan program pemvaksinan menggunakan vaksin tersebut.
Majlis penyerahan vaksin tersebut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Brunei, Haji Erywan beserta perbincangan bersama Duta China ke Brunei, Yu Hong.
Vaksin Sinopharm dari China ini merupakan sumbangan derma kepada Brunei sebagai tanda persahabatan erat dua negara tersebut. Haji Erywan menzahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada China atas sumbangan tersebut. Malah, ia dianggap sebagai simbolik hadiah daripada rakyat China kepada rakyat Brunei sekaligus melambangkan hubungan tradisi persahabatan yang sekian lama terjalin serta rasa percaya yang kuat antara satu sama lain.

Sumber foto : Jeffrey Wong via Xinhua
Menurut Yu, bantuan vaksin COVID-19 China kepada Brunei ini mencerminkan kemuncak hubungan dua hala antara dua negara ini. Pada masa ini, vaksin COVID-19 telah diedarkan secara global ke beberapa negara membangun.
Brunei banyak bantu beri sokongan moral kepada China sewaktu mula dilanda COVID-19
Semasa China masih di kemuncak pandemik Mac tahun lalu, Brunei telah banyak membantu dan menyokong kerajaan China dalam memerangi dan mengawal COVID-19. Sultan Brunei turut mengirim surat kepada Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Keqiang tentang sokongan Brunei serta seluruh rakyat terhadap langkah bernas yang diambil oleh China pada ketika itu.
Bukan itu sahaja, semasa China dalam fasa pencegahan dan mengawal risiko kes import, kerajaan Brunei turut mendermakan setengah juta dolar USD (BND 665,312.50/RM 2,028,750.00) kepada Federasi Kebajikan Hubei.
Hubungan persahabatan erat ini bukan setakat itu sahaja. Duta persahabatan China dan Brunei, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersama beberapa menteri kabinet yang lain turut menulis surat bagi memberi semangat kepada rakyat China terutamanya di Wuhan pada rumah terbuka Tahun Baru Cina tahun lalu.

Sumber : Kedutaan China ke Brunei
Rakyat Brunei tidak ketinggalan beri sumbangan
Rakyat Brunei juga tidak ketinggalan menyumbang sama. Ada dalam kalangan rakyatnya yang tidak mahu didedahkan nama datang ke kedutaaan China untuk menyampaikan sumbangan dan derma berupa sarung tangan perubatan. Pelajar dan pensyarah di Universiti Brunei serta beberapa sekolah lokal Cina di Brunei turut mencipta lagu khas untuk memberikan sokongan kepada China. Malah, video yang dirakam oleh pelajar Sekolah Tinggi Chung Hwa BSB telah tular di China dan mendapat sebanyak 690,000 tontonan di laman sosial media China, Kuaishou dan menyentuh hati rakyat di kedua-dua negara ini.

Kredit : Media Permata
Dalam pada masa yang sama, pihak kedutaan China juga sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Brunei dalam menangani situasi semasa pandemik. Bahkan, China turut berkongsi Protokol Klinikal untuk Diagnosis dan Rawatan, Protokol Kawalan dan Pencegahan COVID-19 serta berkongsi pengalaman anti-epidemik kepada Brunei. Pada Mac tahun lalu juga, Kaunselor Negeri di China merangkap Menteri Luar, Wang Yi turut mengucapkan terima kasih kepada Brunei melalui Menteri Hal Ehwal Luar Negara II, Haji Erywan atas kesudian menyokong China tatkala mereka dilanda kesulitan.
Timbal balas China melalui syarikat swasta
Hubungan dua hala ini juga dilihat sangat akrab melalui penglibatan dan sumbangan syarikat swasta China ke Brunei. Zhejiang Hengyi Group Co. Ltd. telah mengumumkan pemberian derma berjumlah 1 juta USD dalam bentuk alatan dan bekalan perubatan kepada kerajaan Brunei. Bukan itu sahaja, syarikat China BGI turut mendermakan kit saringan COVID-19 kepada kerajaan Brunei pada awal penularan pada Januari serta menubuhkan makmal virologi di Brunei sebaik sahaja negara tersebut disahkan mempunyai kes pertama COVID-19. Makmal tersebut dikenali sebagai FireEye Laboratory versi Brunei yang berupaya meningkatkan kapasiti ujian saringan.
Antara lain, Yayasan Mammoth dari Shenzen China juga telah mendermakan sejumlah kit ujian saringan kepada Brunei.
China dan negara-negara di ASEAN dapat mengekalkan hubungan baik kerana tradisi saling bantu-membantu antara satu sama lain. Semangat ini digelar ‘Semangat Kampong’ atau ‘Kampong Spirit’ oleh Brunei.
Duta China ke Brunei juga turut berharap agar vaksin ini dapat menjadi senjata yang membawa kemenangan terakhir kepada Brunei dalam memerangi dan menghapuskan pandemik COVID-19 di negara tersebut.