Minuman buang panas terkenal di Sibu
Bubur Buang Panas Ini Sebenarnya Bukan Bubur, Tapi Sejenis Minuman Popular Di Sibu. Jika anda berada di Sibu, jangan lah anda terkejut jika nama yang anda baca tidak sama seperti apa yang bayangkan. Contohnya seperti nama ‘Bubur Buang Panas’. Pasti anda membayangkan ia adalah semangkuk bubur nasi atau ayam atau herba untuk dihirup oleh orang yang demam.
Jika itu yang anda bayangkan, maaf, anda silap.
Don’t judge a drink by its name..
Bubur buang panas adalah sebenarnya sejenis minuman sejuk yang popular di Sibu, Sarawak. Ia merupakan campuran kurma merah, cebisan kundur kering, barli dan jeli dalam air sirap pandan. Kebiasaannya, ia berwarna hijau atau kuning.
Menurut penjual di Sibu, minuman ini dapat mengurangkan suhu badan yang panas kerana ia mengandungi kurma merah dan barli yang sememangnya berkesan menurunkan suhu badan. Untuk pengetahuan anda, kurma merah digelar sebagai ‘Raja Kacang’ oleh masyarakat di negara China kerana ia mengandungi banyak khasiat pemakanan seperti kandungan Vitamin C yang tinggi dan fosforus untuk mencegah osteoporosis dan kekurangan darah.
Selain itu, barli juga mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti fiber, vitamin B3 dan B1, mineral penting seperti zat besi, magnesium, serta tidak mengandungi kolesterol.
Hampir sama seperti Lin Chee Kang atau Laici Kang
Bubur buang panas ini hampir sama seperti minuman Lin Chee Kang atau Laici Kang. Bezanya adalah pada bahan-bahan yang digunakan. Laici Kang menggunakan bahan-bahan yang lebih banyak seperti buah Lo Han Ko, biji selasih, longan kering, dan kembang semangkuk. Namun, resepi bubur buang panas ini lebih ringkas dan senang dibuat.
Kebiasaannya, jika anda memesan minuman ini di kedai-kedai Sibu, ia disajikan di dalam sebuah mangkuk seperti ais batu campur. Jika di pasar malam pula, ia dijual menggunakan cawan panjang seperti air jagung, air asam boi atau air berperisa yang lain.
Mengapa bubur dan bukan dipanggil air
Jika anda masih musykil mengapa namanya bubur buang panas dan bukannya air buang panas, mungkin kerana ia pada asalnya merupakan sejenis sup sejuk seperti Lin Chee Kang.
Namun, lama-kelamaan ia diolah menjadi lebih ringkas dan menjadi sejenis minuman yang boleh dinikmati pada bila-bila masa. Siapa tahu, bukan? Tapi nama tidak menjadi masalah asalkan minuman itu sedap untuk diminum, betul tak?
Jadi, jika anda bertandang ke Sibu, jangan lupa untuk memesan segelas bubur buang panas untuk menyejukkan tekak anda. Selamat mencuba!