Tular Jual Unclaimed Parcel Di Kuching Ini Undang Perhatian Netizen
Netizen Kecam Jualan Bungkusan Tak Dituntut Di Kuching, Ini Penjelasan Si Penjual. Baru-baru ini, media sosial dibanjiri dengan perbualan hangat susulan tularnya satu video menunjukkan longgokan bungkusan kurier yang dijual secara terbuka di Kuching. Dalam video berkenaan, seorang individu memaparkan barangan yang dikenali sebagai unclaimed parcels, bungkusan yang didakwa tidak dituntut oleh penerima asal dan kini dijual semula kepada umum, kadangkala dalam bentuk longgokan secara pukal.
Walaupun konsep seperti ini bukan sesuatu yang asing di platform e-dagang luar negara seperti di Amerika Syarikat dan China, penerimaannya dalam kalangan netizen Malaysia, khususnya yang prihatin terhadap hukum Syariah ternyata mengundang pelbagai reaksi.

Netizen Tidak Berdiam Diri Antara Teguran & Pencerahan
Ramai pengguna media sosial tampil mengecam tindakan ini, dengan hujah utama bahawa menjual barang yang bukan milik sendiri adalah haram. Ada yang menyamakan penjualan ini dengan konsep “Bai’ Madhamin” – jual beli barangan yang tidak diketahui secara jelas kandungannya, seperti mystery box, yang dikategorikan sebagai tidak sah dalam Syariah Islam.
Malah, ada juga yang memberi penjelasan dari sudut perundangan logistik, menyatakan bahawa syarikat kurier hanyalah pemegang amanah dan tidak berhak untuk menjual bungkusan tersebut melainkan selepas tempoh dan prosedur tertentu dipatuhi.
Penjual Tampil Beri Penjelasan – Bukan Barang Orang Kuching, Tapi Dari Semenanjung
Tidak berdiam diri, individu yang menjual bungkusan tersebut tampil menjelaskan bahawa barang jualannya bukan berasal dari syarikat kurier tempatan seperti J&T Kuching atau mana-mana outlet di Sarawak. Sebaliknya, beliau mendakwa bahawa semua barangan adalah dari pembekal di Semenanjung Malaysia yang dijual secara pukal dalam bentuk “pallet” bernilai ribuan ringgit.
Beliau juga menyatakan bahawa terdapat banyak lagi kumpulan jualan unclaimed parcel aktif di Sabah dan Sarawak, dan beliau bukan satu-satunya individu yang terlibat dalam perniagaan ini.
“Cuba buka TikTok, taip ‘unclaimed parcel’. Berlambak orang jual di Semenanjung. Dari situ lah saya ambik stok,” jelasnya sambil menyeru netizen untuk mendapatkan maklumat sebenar sebelum membuat tuduhan.

Dalam dunia e-dagang yang semakin pesat, sempadan antara inovasi dan integriti menjadi semakin kabur. Jual beli mystery box dan unclaimed parcels mungkin tampak menarik kepada pembeli yang sukakan kejutan, namun kesahihannya tetap perlu dinilai dari segi hukum, perundangan dan tanggungjawab sosial.

