fbpx
Cerita Borneo

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu

In Case Kalau Ada Pihak Lain Yang Suka Claim Milik Mereka

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu. Siapa yang tidak mengetahui bahawa makanan boleh menjadi hak milik mutlak? Bagi kebanyakan masyarakat di dunia, makanan melambangkan identiti dan mencerminkan gaya hidup mereka sejak zaman berzaman. Untuk pengetahuan anda, makanan boleh diklasifikasikan sebagai warisan budaya tidak ketara (intangible cultural heritage). Menurut UNESCO, warisan budaya tidak ketara ialah apa-apa jenis kebudayaan bukan fizikal seperti bahasa, seni persembahan, ritual, adat, serta pengetahuan dan kemahiran untuk menghasilkan kraf tradisional.

Di Malaysia, makanan yang menjadi budaya sesebuah tempat boleh didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) yang dikendalikan oleh Jabatan Warisan Negara.

Dengan pewartaan makanan di bawah akta ini, makanan tradisi tersebut dianggap sah menjadi milik tempat asalnya. Ia juga dapat dipelihara agar ia kekal tulen dan asli biarpun di adaptasi dan di olah semula pada masa akan datang.

Di sini kami senaraikan 13 jenis makanan sah milik Sabah dan Sarawak daripada daftar Objek Warisan Tidak Ketara Kebangsaan.

Makanan Sarawak

Manok Pansuh

Manok Pansuh merupakan makanan tradisi masyarakat Iban iaitu ayam yang dimasak di dalam buluh bersama daun ubi kayu. Potongan ayam akan diperap bersama bahan-bahan seperti bawang putih, bawang merah, halia, serai, bunga kantan, dan daun kesum. Buluh yang mengandungi ayam kebiasaannya akan dipanggang seperti memanggang lemang.

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu
Manok pansuh. Kredit : Food Diversity

Umai

Umai merupakan makanan masyarakat Melanau di Sarawak. Ia merupakan campuran ikan mentah bersama hirisan bawang merah, bawang besar, cili padi, cili besar, belacan, cuka dan limau nipis. Selain menggunakan ikan, ia juga boleh diganti dengan menggunakan udang kecil dan obor-obor. Hidangan ini dinikmati oleh hampir seluruh masyarakat Sarawak dan dikenali sebagai makanan universal orang Sarawak.

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu
Umai ikan terubok. Kredit : Umpan

Bubur Pedas Sarawak

Hidangan ini selalunya menjadi hidangan wajib ada bagi penduduk di Sarawak menjelang bulan Ramadan. Ia diperbuat daripada bumbu pedas (campuran beras yang dikisar halus bersama kelapa parut kering serta bahan-bahan lain seperti bawang dan cili), aneka jenis sayuran serta potongan daging, perut atau kulit sapi. Keenakan bubur pedas ini bergantung kepada kesegaran dan kualiti bumbunya kerana bumbu yang kurang ‘ummphh’ akan merencatkan rasa keseluruhan bubur pedas. Siapa yang tak pernah rasa lagi bubur pedas ini, anda mesti cuba!

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu
Bubur pedas Sarawak yang dimasak di dalam kawah. Kredit : Koperkasa

Tuak

Tuak merupakan sejenis arak yang dibuat melalui proses penapaian pulut dengan menggunakan nasi. Tuak juga boleh dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan yang lain seperti nira kelapa, nira nipah, tebu, nanas dan halia. Bukan itu sahaja, tapai yang digunakan juga boleh diganti dengan tapai ubi kayu. Menurut kepercayaan masyarakat Iban tradisional, tujuan asal pembuatan tuak ini bukanlah untuk diminum tetapi sebaliknya untuk menyeru kedatangan semangat baik atau ‘petara’. Oleh itu, pembuatan tuak suatu ketika dahulu dianggap sebagai ‘bangkit bilik’ atau mengharumkan tempat tinggal dengan menjemput kedatangan ‘petara’. Menarik kan?

Tuak atau arak beras. Kredit : FB Aku Anak Iban

Sayur Midin Goreng

Jika anda berkunjung ke restoran dan pusat makanan seafood di Sarawak, jangan lah lupa untuk memesan hidangan paling mewah di sini iaitu sayur midin goreng. Midin merupakan sejenis tumbuhan yang menyerupai paku pakis dan tumbuh liar di sekitar kawasan paya dan sungai. Ia perlulah dimasak terus selepas dipetik kerana sayur midin ini cepat layu. Bagi masyarakat Sarawak, sayur midin goreng ini merupakan signature dish dalam hidangan tengah hari atau makan malam. Kalau nak jumpa syurga midin (petik sendiri, free of charge), anda patut cuba untuk bermalam sehari dua di kampung-kampung di Sarawak. Confirm anda tak larat nak makan sebab banyak sangat!

Sayur midin goreng. Kredit : Picbear

Kek Lapis Sarawak

Kek Lapis Sarawak ini sememangnya sinonim dengan musim perayaan dan sebagai buah tangan wajib dari Sarawak. Proses pembuatan yang rumit memerlukan pembuat kek lapis menjadi seorang yang kemas dan teliti agar kek yang dihasilkan berkualiti. Bukan sahaja cantik dilihat, malah enak untuk dimakan. Disebabkan hidangan ini telah didaftarkan di bawah perlindungan harta intelek geographical indication (GI) 2010, penggunaan nama Kek Lapis Sarawak hanya sah apabila kek tersebut dibuat di Sarawak. Jika ianya dibuat di luar Sarawak, kek tersebut hanya boleh dipanggil dengan gelaran Kek Lapis Ala Sarawak. Kini, ia boleh didapati dalam pelbagai jenis gred, bergantung kepada jenis butter yang digunakan. Kalau nak yang paling sedap dan cantik, boleh cuba tanya ‘Ada Kek Lapis Sarawak Premium tak?’

Nak tahu cerita lain yang menarik tentang Kek Lapis Sarawak? Baca ini : Wanita Ini Ajar Buat Kek Lapis Sarawak Jarak Jauh, Hasilnya Sangat WOW!

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu
Kek lapis gulung Sarawak. Kredit : Malaysia World Heritage Travel Site

Anda mungkin meminati kisah ini : Jadi “Task” Rancangan Realiti British, Rupanya Kek Lapis Sarawak Dikenali Dunia!

Tebaloi

Tebaloi merupakan snek ringkas masyarakat Melanau yang diperbuat daripada tepung sagu. Walau pun asal usul sebenar tebaloi ini kurang diketahui, namun dikatakan tebaloi ini menjadi kudapan para pembuat tepung sagu. Cara pembuatan original tebaloi ini adalah dengan menggunakan belanga besar yang ditebuk bahagian bawahnya. Adunan tebaloi pula akan disediakan selama 1 hari iaitu dari jam 4 pagi sehingga jam 7 malam. Kini, proses pembuatan tebaloi diganti dengan mesin pengadun dan ketuhar. Untuk pengetahuan anda, tebaloi asal tidak mempunyai sebarang perisa dan perisa pertama yang diperkenalkan ialah perisa kunyit. Setelah itu, sekitar tahun 2010, barulah muncul perisa-perisa yang lain seperti milo, strawberi, dan pandan. Macam mana lah agaknya perisa kunyit ya?

Tebaloi atau snek sagu. Kredit : Saji.my

Kuih Celorot

Turut dikenali dengan nama clorot, cerorot dan jelurut, kuih ini berupa lembut dan dibaluti dengan daun kelapa yang muda. Ia diperbuat daripada gula apong (gula melaka versi pekat dan cair), daun pandan, santan, serta tepung beras, sagu atau tepung ubi. Kebiasaannya, kuih ini dihidangkan semasa sarapan atau minum petang. Kuih ini juga digemari oleh kanak-kanak kerana tekstur serta rasanya yang lembut. Kuih celorot ini diisytiharkan sebagai objek warisan tidak ketara warisan kebangsaan pada tahun 2015. Haa, Malaysia dah claim secara rasmi ya.

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu. Kuih celorot. Kredit : Pinterest

Makanan Sabah

Hinava

Hinava atau hinava ginapan merupakan sejenis makanan tradisi masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah. Ia merupakan sejenis hidangan yang dibuat dengan menggunakan isi ikan mentah sama ada ikan tenggiri, tuna, mackerel atau ikan yu bersama cili merah, cuka, limau nipis, halia, serta hirisan peria. Isi ikan mentah ‘dimasak’ dengan menggunakan cuka dan limau bagi membunuh bakteria. Ia lebih kurang sama seperti umai namun sedikit berbeza dengan penambahan hirisan sayur peria. Kebiasaannya, hinava ini dihidangkan semasa Pesta Kaamatan atau pesta menuai padi di Sabah.

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu
Hinava Sabah. Kredit : Unilever Food Solutions

Kuih Cincin

Kuih cincin ini adalah pasangan wajib bagi snek amplang yang selalu dijadikan cenderahati dari Sabah. Hidangan ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei di Sabah. Ia diperbuat daripada gula, gula nipah/gula apong, tepung beras, minyak masak dan air. Adunan ini akan dibentuk menjadi cincin terlebih dahulu sebelum dicelup ke dalam adunan tepung beras dan digoreng. Setelah itu, ia akan dicelup semula ke dalam adunan tepung beras dan digoreng untuk kali yang kedua agar ia tidak mudah rapuh dan rosak.

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu
Kuih Cincin. Kredit : KeepRecipes

Ambuyat/Pinantung

Ambuyat ialah campuran likat tepung sagu dan air panas. Ia juga dipanggil sebagai pinantung oleh masyarakat Kadazan-Dusun dan Tatana di daerah Kuala Penyu, Sabah. Hidangan ini sangat popular bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Kepulauan Borneo seperti Sarawak, Brunei dan Labuan. Pada asalnya, ambuyat ini dibuat bagi menggantikan hidangan nasi dan dimakan bersama lauk-pauk yang lain seperti sambal, lauk sayur dan hidangan ikan. Ambuyat ini perlu dimakan dengan segera kerana teksturnya akan berubah menjadi keras sekiranya ia terdedah terlalu lama dan menjadi sejuk. Kalau cicah dengan sambal, terangkat terus beb!

13 Senarai Makanan Hak Milik Mutlak Sabah dan Sarawak Yang Anda Mesti Tahu
Ambuyat atau nama lainnya, pinantung. Kredit : Dhia

Nonsom Bambangan

Nonsom membawa maksud jeruk dalam Bahasa Melayu. Bambangan pula merupakan sejenis buah bermusim dengan isi berwarna kuning, masam, berbentuk bulat dan berkulit tebal. Nonsom bambangan ialah hirisan buah bambangan yang dicampur bersama parutan biji buah bambangan serta sedikit garam. Setelah itu, ia akan disimpan di dalam bekas kecil dan dibiarkan selama seminggu sebelum ia boleh dimakan. Selain nonsom bambangan, terdapat juga nonsom yang lain seperti nonsom sada (ikan) serta nonsom tuhau. Hidangan ini kebiasaannya dijamu ketika majlis perkahwinan atau pesta-pesta. Bikin kembang air liur nonsom ini bah!

Nonsom bambangan. Kredit : Saji.my

Tompe’/Tinompeh

Hidangan ini memang rare kerana tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenai hidangan ini. Namun demikian, tompe’ atau tinompeh ini merupakan hidangan khas masyarakat Bajau (suku kaum Kagayan, Bajau Tempasok) di Sabah. Tompe’ atau turut dikenali dengan gelaran sinanglag ini diperbuat daripada parutan ubi kayu yang telah diperah dan seterusnya digoreng tanpa minyak bersama hirisan bawang merah sehingga warnanya bertukar kekuningan.

Tompe’ atau nama lainnya Sinanglag. Kredit : Youtube Resepi Semporna

Makanan tradisi ini perlulah dipelihara dan diwarisi dari generasi ke generasi agar resepi asalnya tidak lenyap ditelan zaman. Sudah tentu senarai ini perlu ditambah dari semasa ke semasa kerana masyarakat Borneo kaya dengan makanan tradisi yang unik dan sukar dijumpai. Contohnya seperti kek hati parek, kuih bongkol, kelupis Sarawak serta tuhau dan kuih koling-koling Sabah. Rasanya banyak lagi senarai makanan yang menunggu untuk diwartakan, betul tak?

Anda ada cadangan makanan tradisi Sabah Sarawak yang patut didaftarkan sebagai objek warisan tidak ketara kebangsaan?

Kongsikan cadangan anda di ruangan komen. Like dan share sekali lah!

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close