fbpx
Cerita Borneo

28 Kes Baru COVID-19 Hari Ini, 83 Kes Keseluruhan Di Malaysia

Kenyataan Akhbar KPK 6 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa kes ke-24 yang disahkan positif Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur. Kes ini telah berjaya dirawat, semua kontak rapat bagi kes ini telah berjaya dikesan dan penularan COVID-19 bagi kluster in telah berjaya dibendung.

Ini menjadikan 23 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Terkini, KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 6 Mac 2020, jam 12 tengah hari, terdapat 28 kes baharu (kes ke-56 hingga kes ke-83) jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. Kesemua kes ini telah dikesan untuk rawatan selanjutnya. Kontak-kontak rapat kes-kes ini juga sedang dikenalpasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 83 kes. Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19, kontak rapat, dan Misi Bantuan Kemanusiaan. Daripada jumlah ini, 65 orang adalah warganegara Malaysia, 15 orang adalah warganegara China dan tiga (3) orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali).

Sehingga kini, sebanyak 956 kontak rapat telah dikenalpasti. Daripada jumlah ini, sebanyak 258 kontak rapat kepada kluster yang berkaitan dengan kes ke-26 telah dikesan dan telah diambil sampel. Daripada kluster ini, 18 orang telah disahkan positif COVID-19, 70 orang adalah negatif namun begitu mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari. Manakala seramai 170 orang lagi telah berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal. Mereka ini juga telah diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah. KKM masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan bagi mengenalpasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.

KKM telah menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19. Sehingga 6 Mac 2020, sebanyak 430 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan COVID-19. Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik COVID-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini.

KKM juga ingin memaklumkan bahawa menerusi “Code of Professional Conduct” di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) dan Peraturan Perubatan, pengamal perubatan perlu memastikan kerahsiaan maklumat peribadi pesakit adalah dijaga, kecuali jika pesakit sendiri mendedahkan maklumat beliau secara sukarela. Justeru KKM akan melindungi maklumat peribadi pesakit. Selain itu KKM juga akan terus menyampaikan maklumat penting terutama yang relevan bagi kepentingan kesihatan awam.

NASIHAT KESIHATAN

1. KKM ingin memaklumkan bahawa siasatan masih giat dijalankan oleh warga kerja KKM di semua peringkat di seluruh Malaysia dalam menangani kejadian COVID-19 di Malaysia. Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau ingin mendapat nasihat kesihatan, orang ramai boleh menghubungi virtual health advisory atau Crisis Preparedness and Response Centre (CPRChotline.

28 Kes Baru COVID-19 Hari Ini, 83 Kes Keseluruhan Di Malaysia

2. Berdasarkan penilaian KKM sehingga hari ini, situasi jangkitan COVID-19 kini masih lagi dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal (Early Containment). Sehubungan itu, orang awam diminta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan, pengesanan kontak rapat dan rawatan kepada pesakit. Untuk makluman, kontak rapat kepada kes yang disahkan positif   COVID-19 akan dikenalpasti oleh pihak KKM melalui Pasukan Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah. Kontak rapat yang dikenalpasti ini akan dihubungi untuk siasatan dan pemeriksaan selajutnya.

3. Pihak penganjur bagi program dan aktiviti rasmi di tempat awam adalah digalakkan untuk menjalankan penilaian bagi penganjuran yang melibatkan ramai peserta / kehadiran. Berdasarkan penilaian tersebut, pihak penganjur boleh menentukan sama ada program tersebut sesuai untuk diteruskan. Sekiranya program berkenaan dan aktiviti rasmi ini perlu diteruskan, pihak penganjur program dinasihatkan untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dalam kalangan peserta program bagi memastikan tiada penularan jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) semasa program tersebut diadakan seperti di Lampiran 1.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa. Aktiviti pengesanan kontak rapat masih dijalankan dan orang ramai akan dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai COVID-19 melalui laman sesawang KKM.

Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
6 Mac 2020 @ 5 petang

Artikel Berkaitan

Back to top button