fbpx
Cerita Borneo

Angkara Kedegilan Dayang Petera, Ini Mitos Kenapa Beras Jadi Kecil Dan Rumit Dituai

Kedegilan yang membawa malang

Angkara Kedegilan Dayang Petera, Ini Mitos Kenapa Beras Jadi Kecil Dan Rumit Dituai. Nasi adalah makanan ruji dalam budaya kita – ia boleh dimakan secara goreng, dikukus, dijadikan bubur dan sebagainya.

Jadi tidak hairan jika wujudnya mitos tentang nasi dan asal usul padinya. Dalam kisah dari kaum Iban di Sarawak ini, ia mengisahkan seorang gadis kayangan yang enggan mendengar arahan neneknya tentang langkah penanaman dan penuaian padi yang sesuai dan kemudian meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.

Kisah bermula pada zaman dahulu, dimana tiada wujudnya manusia di bumi

Sebelum kewujudan manusia, terdapat sebuah keluarga dewa dari kayangan menetap di bumi pada suatu zaman yang dahulu. Mereka tinggal di sebuah rumah panjang dan sumber makanan mereka hanya buah-buahan, daun dan cendawan yang diterokai dari hutan.

Kerana mereka tidak mempunyai ilmu memasak, mereka terpaksa makan makanan mereka secara mentah.

Dayang Petera, anak bongsu dalam keluarga itu, seorang gadis yang cantik tetapi dia terkenal dengan sikap degilnya. Malah, dia sentiasa fikir pendapatnya adalah yang terbaik.

Seorang yang suka merungut, dia sentiasa merungut kenapa dia asyik makan makanan yang sama setiap hari dan teringin untuk makan makanan yang lain once in a while.

Dihantar oleh ibunya untuk jumpa nenek

Mungkin terkesan dengan rungutan Dayang Petera, ibunya menyuruh anaknya untuk melawat nenek mereka iaitu Ini Raja Pipit. Hal ini kerana nenek mereka telah lama menetap di bumi dan mungkin mempunyai makanan lain yang boleh puaskan Dayang Petera.

Dayang Petera kemudian bersetuju dan bergerak untuk melawat neneknya. Setelah 3 hari mendayung sampannya, dia akhirnya sampai di pondok dusun neneknya.

Setibanya dia, dia perasan di sekeliling pondok neneknya terdapat banyak rumput tinggi yang tidak pernah dilihatnya. Dia perasan juga terdapat bijian yang bulat berwarna coklat sebesar genggam tangan di bahagian atas rumput itu.

Tak lama kemudian, Ini Raja Pipit datang menjemput cucunya masuk dan hidangkan air untuk Dayang Petera.

Setelah berbual tentang keluarga, neneknya hidangkan nasi untuk makan. Butir nasi tersebut berbentuk bulat dan sebesar genggam tangan.

Kagum dengan nasi tersebut kerana tidak pernah melihat makanan itu, Dayang Petera makan nasi itu dan buat pertama kali, dia tidak merungut. Ia sangat enak sehingga Dayang Petera makan beberapa banyak nasi dan memuji nasi itu dengan berkata nasi tersebut sangat sedap dan makanan paling enak di bumi.

Dari padi ke nasi

Setelah puas makan nasi tersebut, Dayang Petera bertanya kepada neneknya dari mana dia boleh dapatkan nasi tersebut. Neneknya kemudian menunjuk ke arah rumput tinggi yang dilihat Dayang Petera tadi. Dia lalu berkata rumput-rumput tersebut ialah sawah padi, rumput yang tinggi ialah padi dan bijian di atasnya adalah nasi yang disediakan olehnya untuk Dayang Petera.

Terkejut dengan dakwaan neneknya, Dayang Petera tidak sangka bijian dilihatnya tadi yang berwarna coklat dan keras boleh jadi nasi yang putih dan lembut. Dia bertanya lagi bagaimana ia bertukar menjadi nasi.

Ini Raja Pipit lalu membawa cucunya ke bahagian depan pondoknya. Kemudian, neneknya duduk di beranda dan mengetuk lantai pondoknya.

Setelah mengetuk lantai, semua batang padi itu mula bergoncang. Padi lalu jatuh dan bergolek ke arah pondok dan naik ke loteng pondok itu. Padi-padi tersebut kemudian masuk ke dalam kepuk padi.

Sebaik tiba waktu malam, Ini Raja Pipit meletakkan sebuah lesung kayu di tepi pintu dapur dan mengetuk lantai dengan sebatang kayu.

Kemudian, beberapa butir padi turun dari loteng dan masuk ke dalam lesung kayu tersebut dan batang kayu itu mula menumbuk dengan sendiri sehingga tertanggal kulit coklat pada padi itu.

Beras tersebut bergolek ke arah sebuah periuk tanah dan lompat masuk. Tempurung kelapa lalu menuang air ke dalam periuk setelah periuk itu berada atas dapur api.

Neneknya terus meletakkan beberapa batang kayu api di bawah periuk tersebut dan memetik jarinya. Dengan segera api kecil mula membakar kayu tersebut dan mendidihkan air dalam periuk itu. Pondok itu lalu berbau wangi dari masakan nasi tersebut.

Dayang Petera kagum melihat perkara tersebut lalu bertanya kenapa tidak lekatkan padi tersebut pada sekeping kayu dan bakar sahaja. Ingat BBQ pula dia!

Ini Raja Pipit lalu berkata itu bukan cara yang betul untuk memasak nasi dan nasihatkan cucunya untuk buat cara yang sama seperti dia.

Dayang Petera hanya mengangguk, tetapi dalam hati dia rasa dia mampu buat yang lebih baik.

Nenek ada urusan luar, cucu ditinggalkan untuk jaga pondok

Pada suatu hari, neneknya terpaksa tinggalkan pondok dia untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan yang akan berlangsung selama sebulan.

Dia memberi tugas kepada cucunya untuk menanam padi sementara dia tidak ada.

Sebelum Ini Raja Pipit bertolak, dia beri arahan kepada Dayang Petera bagaimana untuk menanam padi tersebut.

Yang pertama, Dayang Petera harus melihat langit setiap petang sehingga adanya Bintang Tujuh Adik Beradik Perempuan muncul. Ia akan menandakan Dayang Petera untuk menanam padi pada keesokan hari.

Kedua, Dayang Petera dikehendaki untuk memilih satu bakul benih padi yang bulat dan segar dari loteng dan letakkannya di beranda.

Ketiga, sebatang tugal diletakkan di sebelah bakul dan Dayang Petera mesti tepuk tangan. Batang tersebut akan membuat banyak lubang dan benih padi akan bergolek sendiri ke dalam setiap lubang tersebut.

Setelah sebulan, Dayang Petera dikehendaki untuk letakkan sabit di beranda dan nyanyikan lagu agar sabit tersebut berterbang ke sawah dan merumpainya.

Akhir sekali, apabila padi sudah tinggi dan kuning, Dayang Petera dikehendaki untuk memanggil butir padi tersebut untuk pulang seperti apa yang dia lihat semasa dia mula sampai ke pondok neneknya dahulu.

Degil tetap degil, Dayang Petera ingin melakukannya dengan cara sendiri namun neneknya memberi amaran supaya mengikut cara yang telah diajar oleh nya. Neneknya lalu berangkat pergi dan meninggalkan cucunya di pondok tersebut.

Ketibaan abangnya ke pondok dusun nenek

Setelah beberapa hari, Dayang Petera dikejutkan dengan kehadiran abangnya, Pulang Gana. Dengan gembira Dayang Petera jemput abangnya masuk ke pondok dan hidangkan air kepada abangnya.

Adik-beradik tersebut lalu berbual tentang keluarga mereka, sehingga Pulang Gana bertanya kenapa Dayang Petera tidak pulang ke rumah selama ini sambil bertanya di mana nenek mereka pergi.

Dayang Petera berjawab nenek mereka menghadiri sebuah majlis perkahwinan yang akan berlangsung sebulan dan dia akan pulang setelah neneknya kembali.

Sebaik tiba waktu malam, Dayang Petera menghidangkan nasi kepada Pulang Gana. Abangnya tidak pernah merasai makanan seenak itu sehingga makan sebanyak tujuh pinggan!

Pada malam itu juga, Dayang Petera melihat Bintang Tujuh Adik Beradik Perempuang di langit. Dia terus tahu ia tanda untuk menanam padi keesokan hari.

Masih degil…

Keesokan harinya, Dayang Petera bersediakan diri untuk menanam padi. Tetapi disebalik dengar ajaran neneknya, dia tetap mahu melakukan caranya sendiri untuk tanamkan padi tersebut.

Dia memilih benih padi yang bulat dan berkilat, dan memberi kayu tugal kepada Pulang Gana untuk membuat lubang lepas itu meletakkan benih padi tersebut ke dalam lubang. Sehari-hari mereka lakukan ini.

Satu bulan kemudian, terdapat beberapa rumpai telah tumbuh. Dayang Petera merumpai sawah menggunakan sabit, tetapi setiap kali ia dipotong, ia akan tumbuh lagi menyebabkan dia terpaksa merumpai beberapa kali.

Setelah beberapa minggu, Pulang Gana pulang ke rumah kerana bimbang ibu mereka risau.

Tak lama kemudian, padi yang ditanam oleh Dayang Petera sudah tinggi dan kuning, namun dia hairan mengapa bijiran padi yang dihasilkan terlalu kecil.

Risau butir padi kecil itu jatuh semasa dituai, Dayang Petera memotong batang padi menggunakan sebilah pisau dan meletakkan mereka ke dalam sebuah bakul. Ia mengambil masa beberapa hari untuk dia lakukan ini.

Sebaik sahaja tiba di pondok, dia terkejut apabila menyedari padi tersebut tidak bergerak sendiri. Dia terpaksa untuk bawa sendiri padi itu ke loteng.

Belum habis lagi kesusahan dia, padi tersebut tidak turun sendiri apabila dia mengetuk lantai dengan batang kayu untuk mengarahkan padi tersebut turun.

Bimbang dengan perkara ini, Dayang Petera naik ke loteng dan menyedari butiran padi besar sudah habis dan hanya yang kecil yang dituai olehnya sahaja tinggal.

Nenek pulang dan marah dengan cucunya yang degil

Alangkah terkejut Dayang Petera apabila mendengari neneknya sudah balik. Dia terus lari ke neneknya dan menangis sambil memberitahu kepada Ini Raja Pipit tentang perkara yang berlaku.

Hairan dengan dakwaan cucunya, Ini Raja Pipit naik ke loteng dan terkejut melihat butiran padi yang kecil dan bukan yang besar seperti dia biasa nampak. Dia kemudian tanya cucunya adakah dia ikut ajaran dia.

Dayang Petera berjawab dia menanam padi mengikut caranya sendiri kerana berpendapat cara dia lebih baik. Neneknya kemudian marah kepada cucunya yang degil itu.

Dengan membuat cara Dayang Petera, dia telah menyebabkan padi terpaksa ditanam menggunakan tangan, terpaksa merumpai sawah berkali-kali, menuai dengan menggunakan pisau dan membawa hasil pulang di dalam bakul.

Malah, apabila hendak masak nasi mereka terpaksa menumbuk, membasuh dan memasak secara manual. Hasilnya selepas semua usaha ini, butir beras yang kecil dan bukan lagi yang besar sebelum itu.

Malu dan menyesal dengan perbuatannya, dia berjanji tidak melakukan perkara itu lagi. Oleh kerana kedegilan Dayang Petera, petani terpaksa bekerja keras untuk menghasilkan padi sehingga sekarang.

Apa boleh buat, sakit menimpa sesal terlambat!

Lagi disini:

Artikel Berkaitan

Back to top button