fbpx
Cerita Borneo

COVID-19 : Ini Langkah Pencegahan Yang MESTI Anda Lakukan Ketika Ini

‘All Is Well’, Dengan Syarat Ikuti Langkah Ini

COVID-19 : Ini Langkah Pencegahan Yang MESTI Anda Lakukan Ketika Ini. Ketika ini, seluruh dunia sedang dilanda dengan kekhuatiran penularan wabak COVID-19. Dalam perkembangan semasa di Malaysia pula, kes positif semakin meningkat di Semenanjung, begitu juga kes terbaru dikesan di Sabah dan Sarawak dalam beberapa hari ini. Namun demikian, anda tidak seharusnya berasa panik dengan situasi ini kerana anda juga memainkan peranan penting untuk mencegah jangkitan ini daripada merebak.

Ini langkah pencegahan yang boleh anda lakukan bagi memastikan kesihatan diri dan orang yang tersayang.

1. Kekal Tenang Dan Jangan Panik.

Ini adalah asas yang paling penting dalam situasi yang sedang kita hadapi pada masa ini. Suasana cemas dan panik hanya akan memburukkan keadaan kerana orang ramai akan bertindak di luar jangkaan dan meningkatkan kadar sebaran penyakit. Jalani hidup seperti biasa. Jika anda hendak pergi ke pasaraya, bertindak rasional kerana perebutan dan kerumun di kawasan awam hanya menambahkan risiko. Jadi, ia adalah penting untuk sentiasa berada dalam keadaan tenang.

Kredit : giphy.com

2. Cuci Tangan Dengan Kerap

Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), tangan adalah barisan paling hadapan yang mampu menghalang jangkitan COVID-19. Sentuhan di permukaan yang mempunyai COVID-19 boleh merebak ke dalam badan melalui mata, hidung dan mulut apabila tangan yang telah tercemar menyentuh salah satu anggota badan tersebut. Oleh itu, amalan membasuh tangan dengan kerap dapat membantu mencegah penyebaran virus tersebut.

COVID-19 : Ini Langkah Pencegahan Yang MESTI Anda Lakukan Ketika Ini
Kredit : Fakt

Seorang profesor kimia dari University of New South Wales, Palli Thordarson, menjelaskan bahawa mencuci tangan dengan sabun bukan sahaja dapat menghilangkan virus tersebut. Bahkan, sabun mampu bertindak melarutkan membran lemak pada virus COVID-19 sekaligus membunuh virus tersebut.

Ikuti langkah mencuci tangan yang betul seperti yang disarankan oleh CDC dan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti di bawah;

  1. Untuk kesan efektif, cuci tangan dengan sabun sekurang-kurangnya 20 saat.
  2. Sabun anti-bakteria atau sabun biasa? Guna sabun biasa juga sudah memadai.
  3. Jika tangan anda tiada kesan kotor yang ketara, sapu tangan dengan hand sanitizer.
  4. Hand sanitizer yang berkesan perlu mengandungi sekurang-kurangnya 60% kandungan alkohol.

3. Gunakan Topeng Muka

Menggunakan topeng muka dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Namun demikian, untuk langkah pencegahan maksimum, penggunaan topeng muka hendaklah seiring dengan penjagaan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan. Individu yang mempunyai simptom batuk, demam dan sukar untuk bernafas adalah disarankan untuk memakai topeng muka sepanjang masa. Ini termasuklah individu yang menjaga pesakit COVID-19 atau berada dekat dengan pesakit.

Kredit : BERNAMA

Cara menggunakan topeng muka dengan betul mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO);

  1. Bengkokkan tip besi pada topeng muka dan letakkan di atas hidung anda
  2. Ikat atau sangkutkan tali elastik pada telinga
  3. Pastikan topeng muka anda menutupi keseluruhan hidung, mulut dan dagu
  4. Semasa menggunakan atau menanggalkan topeng, elakkan menyentuh bahagian hadapan topeng muka anda
  5. Buang ke dalam tong sampah tertutup dan cuci tangan menggunakan sabun setelah membuka topeng

4. Elakkan Kawasan Sesak Dan Acara Awam

Berada di kawasan sesak boleh meningkatkan risiko terkena jangkitan COVID-19. Walau pun orang yang anda kenali di kawasan tersebut tidak mempunyai tanda jangkitan, namun orang awam yang lain boleh menjadi punca penyebaran kerana ia boleh tersebar melalui percakapan, batuk, dan bersin. Mungkin individu yang lalu lalang di sekeliling anda. Boleh jadi mereka sudah dijangkiti, atau akan terjangkit segera. Rasional ini diutarakan sendiri oleh Helen Chu, profesor berkaitan penyakit berjangkit dari Univeristy of Washington.

COVID-19 : Ini Langkah Pencegahan Yang MESTI Anda Lakukan Ketika Ini
COVID-19 : Ini Langkah Pencegahan Yang MESTI Anda Lakukan Ketika Ini

Bayangkan, daripada seorang individu dijangkiti yang belum mempunyai tanda, kini telah tersebar kepada sekumpulan orang awam yang tidak ada kena mengena. Sudah tentu, kerja-kerja pengesanan kontak akan menjadi satu kisah yang panjang dan penuh ranjau. Jadi, langkah terbaik adalah mencegah dan menghindari kawasan tersebut sebelum diri anda sendiri terkena.

Santai di rumah dan banyakkan aktiviti indoor bersama keluarga.

5. Tangguhkan Perjalanan Ke Kawasan Terjejas

Tiket penerbangan murah? Lupakan seketika hasrat anda untuk melancong atau pulang ke kampung halaman kerana anda mungkin mendedahkan diri anda kepada risiko jangkitan daripada orang asing dan membawa virus tersebut ke kawasan kediaman anda. Namun demikian, sekiranya anda mempunyai keperluan mendesak untuk meneruskan perjalanan ke tempat terjejas, pastikan anda menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari setelah pulang dari tempat tersebut. Segera lapor diri ke pusat kesihatan yang berdekatan sekiranya anda menunjukkan tanda-tanda dijangkiti COVID-19.

Tindakan semudah ini dapat membantu menyelamatkan banyak nyawa. Malu? Letak ke tepi dulu.

COVID-19 : Ini Langkah Pencegahan Yang MESTI Anda Lakukan Ketika Ini
Kredit : BERNAMA

Peranan untuk membendung jangkitan COVID-19 pada ketika ini bukan terletak pada bahu pihak kerajaan mahupun petugas kesihatan semata-mata. Setiap anggota masyarakat perlu menjadi ejen pencegah dengan mengenepikan sikap mementingkan diri sendiri dan mengikuti langkah yang telah digariskan.

Semoga wabak ini berakhir dengan cepat dan kita mampu untuk kembali menjalani kehidupan yang sihat dan sejahtera.

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close