fbpx
Cerita Borneo

COVID-19 : Netizen Bimbang Tindakan Balik Kampung Tingkatkan Penularan Wabak

Jalan Raya Mulai Sesak Dengan Rakyat Yang Pulang Ke Kampung Halaman

COVID-19 : Netizen Bimbang Tindakan Balik Kampung Tingkatkan Penularan Wabak. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Muhyiddin Yassin semalam (16 Mac 2020) telah mengumumkan bahawa negara kita menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang memperuntukkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara serta sekatan perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Perintah ini berkuatkuasa bermula 18 Mac (Rabu) hingga 31 Mac 2020 (Selasa) iaitu selama 14 hari.

Berdasarkan tinjauan di laman sosial Twitter dan Facebook, netizen mula mengambil kesempatan ini untuk bergegas pulang ke kampung halaman. Tambahan pula, kebanyakan pejabat serta institusi pendidikan ditutup sepanjang tempoh kawalan pergerakan. Namun demikian, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman, menegaskan bahawa tindakan balik kampung pada waktu ini hanya menggagalkan usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Kredit : BERNAMA

Jelasnya lagi, orang awam sepatutnya kekal berada di mana mereka berada sekarang. Tujuan utama pihak kerajaan menguatkuasakan perintah ini adalah untuk mengehadkan pergerakan rakyat Malaysia serta mengurangkan kontak dalam kalangan orang ramai. Namun, perkara sebaliknya pula yang berlaku.

Kebimbangan Trend Balik Kampung

Dalam pada masa yang sama, terdapat juga netizen yang meluahkan kebimbangan serta memberikan amaran kepada rakyat marhaen yang lain agar membatalkan hasrat mereka untuk pulang ke kampung halaman buat masa ini. Ini kerana anda tidak mengetahui punca serta bawaan virus dari tempat anda dan berkemungkinan menyebarkan virus tersebut kepada ahli keluarga dan komuniti kampung halaman.

Pentingkan Diri Punca ‘Lockdown’ Itali Gagal Bendung COVID-19

Terdapat juga pengguna Twitter yang memaklumkan bahawa punca peningkatan kes yang sangat mendadak di Itali adalah berpunca daripada sikap rakyatnya yang mementingkan diri sendiri dengan pulang ke kampung halaman semasa perintah lockdown dilaksanakan. “Your kampung won’t go missin but your loved ones maybe,” – “Kampung anda takkan hilang, tapi berkemungkinan anda boleh hilang orang yang tersayang,”

Pelajar Universiti Pula Dalam Dilema

Dalam pada masa yang sama, pelajar universiti pula bimbang akan tindakan sesetengah institusi pendidikan tinggi yang mengeluarkan notis kurang 24 jam untuk mengosongkan kolej kediaman dan menyuruh mereka untuk pulang ke rumah masing-masing dengan segera. Sudah tentu, hal ini amat sukar untuk pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak di Semenanjung. Begitu juga dengan pelajar Semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak. Tambahan pula, harga tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke benua Borneo pada ketika ini sangat tidak mampu milik untuk para pelajar.

COVID-19 : Netizen Bimbang Tindakan Balik Kampung Tingkatkan Penularan Wabak
COVID-19 : Netizen Bimbang Tindakan Balik Kampung Tingkatkan Penularan Wabak
COVID-19 : Netizen Bimbang Tindakan Balik Kampung Tingkatkan Penularan Wabak

Seorang pengguna Twitter pula menjelaskan bahawa tempoh 14 hari yang akan datang adalah penting untuk meratakan lengkungan jangkitan COVID-19. Setiap individu perlu memainkan peranan yang penting untuk mencegah jangkitan termasuklah mencuci tangan serta mengamalkan social distancing (tidak balik kampung/pembelian panik).

Apa pandangan anda? Apakah langkah tambahan yang wajar diambil bagi mengetatkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan ini? Nasihat kami, semua ini bermula dari diri kita sendiri. Marilah saling bekerjasama mengharungi fasa 14 hari yang genting ini dengan patuh dan penuh disiplin.

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close