fbpx
Cerita Borneo

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi ‘Quality Control’ Produk Ganja Di Amerika

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi ‘Quality Control’ Produk Ganja Di Amerika. Sebut sahaja tentang ganja, pasti anda menyangka bahawa ia adalah bahan terlarang yang sering digunakan oleh segelintir individu untuk memuaskan ketagihan. Malah, masyarakat mempunyai stigma terhadap tanaman ini dan melabelkannya sebagai tanaman yang mengkhayalkan semata-mata. Di Malaysia, sebarang bentuk penanaman atau penggunaan ganja sama ada secara perubatan atau rekreasi adalah dilarang sama sekali.

Bukan itu sahaja, bekerja dalam bidang yang berkaitan ganja ini juga dianggap sesuatu yang ‘rare’ dan mungkin sedikit tabu, terutamanya untuk masyarakat di Malaysia.

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi 'Quality Control' Produk Ganja Di Amerika

Walau bagaimanapun, gadis yang berasal dari Sabah ini menarik perhatian ramai apabila berjaya menceburi bidang penanaman ganja dan kini bekerja di Amerika Syarikat. Pengalaman tersebut dikongsikan di laman Facebook miliknya. Sehingga kini, kisah tersebut telah mendapat 20K ‘shares’ dan 16K tanda sukaan.

Menurut gadis yang bernama Hannah Fawwazah Nasaruddin, beliau telah bekerja sebagai pengawal mutu dan kualiti ganja atau dalam istilah popular nya, quality control selama setahun.

Beliau berkongsi pengalaman tersebut bagi memberi pengetahuan dan pendedahan positif berkenaan ganja. Jelasnya, sekiranya ganja dapat diselia dengan baik serta dikawal dengan ketat dan sistematik, peluang untuk ia disalah guna adalah sangat tipis.

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi 'Quality Control' Produk Ganja Di Amerika

Tak Semua Negeri Di Amerika Mengiktiraf Ganja

Menurut Hannah, ganja adalah bahan yang masih diisytiharkan haram di peringkat kerajaan pusat Amerika Syarikat. Tidak semua negeri di negara Uncle Sam yang membenarkan penggunaan ganja sama ada secara perubatan, rekreasi mahu pun kedua-duanya. California dan Nevada adalah negeri yang membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi dan perubatan. Industri ganja juga dikawal ketat, sehinggakan bahan tersebut tidak boleh dibawa merentas negeri. Bahkan, penggunaannya juga terhad di rumah masing-masing dan bukannya di tempat awam.

Bagi negeri yang membenarkannya untuk tujuan perubatan, pengguna perlu mempunyai kad khas jika mahu membeli produk ganja dari doktor. Walau bagaimanapun, hanya individu yang berusia 21 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk ke dispensari iaitu kedai sah menjual ganja.

Latar Belakang Disemak FBI Dan Polis Negeri Sebelum Layak Memohon

Jelas Hannah, beliau perlu melalui semakan latar belakang oleh pihak FBI dan polis negeri sebelum layak memohon kerja di syarikat tersebut. Malahan, cap jari biometrik juga diambil untuk simpanan di peringkat kerajaan persekutuan, negeri dan FBI. Anda tidak akan diterima masuk ke dalam industri ini sekiranya anda mempunyai kesalahan jenayah atau saman walau pun jumlah nya sedikit. Pendek kata, hanya individu yang benar-benar layak dan bersih sahaja boleh mengendalikan sistem pengesanan benih ganja dari peringkat benih sehinggalah produk akhir.

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi 'Quality Control' Produk Ganja Di Amerika

Pekerja yang layak pula akan diberikan ID unik ejen mengikut kategori. Untuk pengetahuan anda, ID ini tidak boleh ditukar milik. Sistem ini dinamakan Metrc. Setiap pekerja yang mempunyai akses boleh dikesan melalui sistem ini. Seperti Hannah, beliau mempunyai 2 ID unik memandangkan beliau bekerja di bangunan penanaman (cultivation) yang turut menyelia semua pokok dari benih hinggalah ke produk akhir.

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi ‘Quality Control’ Produk Ganja Di Amerika

Disebabkan kawalan ketat, sampah ganja seperti daun dan bunga yang tidak sempurna tidak dibenarkan dibawa pulang dan mesti dibuang di dalam tong sampah berisi peluntur dan pasir agar ia tidak dapat digunakan langsung.

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi 'Quality Control' Produk Ganja Di Amerika

Seludup Keluar Ganja Adalah Mustahil

Industri ganja ini terbukti dikawal dengan ketat apabila para pekerja sama sekali tidak dibenarkan menyeludup keluar mahupun menggunakan ganja di dalam bangunan. Bukan itu sahaja, pokok ganja juga mempunyai tag nombor unik untuk tujuan pengesanan sistem Metrc. Walau pun berada di ‘syurga’ ganja, para pekerja tidak dibenarkan sama sekali menyeludup apatah lagi menggunakan bahan tersebut di dalam bangunan. Ini kerana setiap gerak geri mereka diperhatikan dalam sistem dan kamera di segenap penjuru bangunan.

Hannah juga menjelaskan bahawa pengangkutan produk ke dispensari juga memerlukan ‘transporter’ khas. Para pemandu juga perlu mempunyai ejen ID unik. Yang pastinya, mereka ini bukan pemandu biasa-biasa. Malah, van juga mempunyai tag unik agar ia dapat dikesan dalam sistem.

Sistem yang digunakan dalam industri ganja AS, Metrc.

Kualiti Ganja ‘Indoor’ Sangat Padu Berbanding Ganja Pasaran Gelap

Ganja ini perlu melalui ujian makmal bagi memastikan ia selamat digunakan oleh pengguna. Hannah juga merupakan individu yang bertanggungjawab memastikan produk tersebut diperiksa oleh makmal. Ganja yang dihasilkan di syarikat ganja ditanam secara ‘indoor’ dan tidak menggunakan racun rumpai. Bahkan, ia dibaja menggunakan baja organik seperti tebu. Inilah membezakan kualiti ganja yang padu berbanding ganja pasaran gelap yang kadang kala berkulat dan beracun.

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi 'Quality Control' Produk Ganja Di Amerika

Hannah juga menunjukkan bentuk nug atau bud ganja secara dekat melalui foto yang dimuat naik nya. Menurutnya juga, bentuk nug ini kebiasaannya untuk dihisap atau diperah menggunakan mesin hidraulik bagi mendapatkan minyak THC. Minyak inilah yang digunakan dalam pembuatan produk makanan seperti biskut dan wafer.

Ganja juga boleh dikategorikan kepada 3 jenis iaitu sativa, indica dan hybrid. Sativa mempunyai kesan sensasi atau ‘uplifting’ manakala indica selalu digunakan sebagai ubat tidur. Hybrid pula mempunyai kesan yang seimbang di antara kedua-dua sativa dan indica.

Gadis Sabah Ini Kongsi Pengalaman Jadi 'Quality Control' Produk Ganja Di Amerika

Hannah yang pernah mengalami masalah depresi beralih daripada penggunaan ubatan kepada penggunaan ganja. Namun kini, beliau mengakui sudah tidak perlu mengambil apa-apa ubatan termasuklah ganja.

Biarpun bekerja dalam bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun minat beliau yang mendalam dalam dunia sains telah membuka peluang Hannah untuk meneroka manfaat herba unik ini. Dengan mengambil contoh regulasi ketat seperti di Amerika, beliau juga berharap agar industri ganja diperakukan di Malaysia pada masa akan datang

Baca juga artikel lain yang menarik :

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close