fbpx
Cerita Borneo

Ini Cara Semak Status ‘Online Seller’ Untuk Elak Penipuan Topeng Muka Dan Hand Sanitizer

Pastikan Online Seller Anda Patuhi 8 Perkara Ini

Ini Cara Semak Status ‘Online Seller’ Untuk Elak Penipuan Topeng Muka Dan Hand Sanitizer. Sejak menularnya COVID-19, topeng muka dan hand sanitizer merupakan item yang sering kali laris dijual. Bahkan, tidak sampai beberapa minit stok baru disusun di rak kedai, pasti mereka yang lewat tiba tidak akan berkesempatan memiliki dua item penjagaan kesihatan tersebut.

Namun demikian, lambakan jualan item tersebut secara dalam talian nyata memberi kegusaran kepada para pengguna kerana bimbang ditipu oleh ‘online seller’.

Ini Cara Semak Status 'Online Seller' Untuk Elak Penipuan Topeng Muka Dan Hand Sanitizer

Tahukah anda bahawa anda boleh mengetahui status ‘online seller’ anda berdasarkan 8 ciri yang berikut?

1. Nama Penjual/Syarikat

Online seller anda haruslah mengemukakan namanya atau nama syarikat yang digunakan untuk sebarang urusan perniagaan. Kalau tiada nama penjual, tidakkah ia sangat meragukan? Sebaiknya, jika online seller anda tidak bernama, hentikan niat anda untuk membuat sebarang pembelian dan cuba cari online seller yang lain.

2. Harga Yang Perlu Dibayar

Semasa membuat tinjauan di laman belian, online seller tersebut perlulah menyatakan harga jualan secara terang dan jelas. Jika mereka meminta anda untuk DM, inbox, atau ‘PM tepi’ untuk mendapatkan harga jualan, online seller tersebut boleh diadu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tindakan tidak mempamerkan harga jualan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 (Perbadanan) dan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya (Perseorangan) mengikut Seksyen 145 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

3. Nombor Pendaftaran Perniagaan

Pastikan online seller anda meletakkan nombor pendaftaran perniagaan pada halaman belian. Ini bagi mengesahkan bahawa online seller anda adalah seorang penjual yang berdaftar.

4. Maklumat Untuk Dihubungi

Online seller juga perlu meletakkan maklumat seperti alamat, nombor telefon atau emel untuk dihubungi.

5. Keterangan Produk

Produk yang hendak dijual perlulah diberi keterangan yang jelas seperti jenama produk, spesifikasi barangan, isi kandungan produk, tarikh luput dan maklumat asas barangan. Ini bagi mengelakkan barangan yang dibeli tidak tulen, tiruan atau pun tidak sama seperti yang dijanjikan.

6. Kaedah Pembayaran

Online seller juga perlu menyatakan kaedah pembayaran dengan jelas sama ada menggunakan perbankan online, cash on delivery (COD), kad debit atau pun platform pembayaran tanpa tunai seperti GrabPay, Fave, Boost dan sebagainya.

7. Terma dan Syarat

Online seller juga perlu meletakkan terma dan syarat penjualan produk yang jelas agar pembeli dan penjual tidak merasa tertipu setelah melakukan pembelian.

8. Anggaran Masa Penghantaran

Produk yang dijual pula perlu diberi anggaran masa penghantaran mengikut kurier atau kaedah penghantaran yang dipilih oleh online seller. Sekiranya masa penghantaran sedikit lama daripada kaedah penghantaran biasa, pastikan ia disertakan sekali dengan alasan yang munasabah seperti barang dihantar dari kurier luar negara dan sebagainya.

Pengguna Juga Perlu Semak 2 Perkara Ini

Tahukah anda bahawa anda sebenarnya boleh menyemak status akaun bank online seller di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyemak status online seller anda di laman web https://biztrust.ssm.com.my/

Untuk semakan lebih pantas, muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID‘ di pautan berikut : Google Play Store

Ini Cara Semak Status 'Online Seller' Untuk Elak Penipuan Topeng Muka Dan Hand Sanitizer
Ini Cara Semak Status ‘Online Seller’ Untuk Elak Penipuan Topeng Muka Dan Hand Sanitizer

Anda bukan sahaja boleh menggunakan kaedah semakan ini terhadap online seller topeng muka dan hand sanitizer tetapi juga produk atas talian yang lain. Jadilah pengguna yang bijak.

Artikel Berkaitan

Back to top button