fbpx
Cerita Borneo

Kenali Ali Wallace, Anak Melayu Dari Sarawak Yang Membantu Mengembangkan Teori Evolusi

Siapa sangka anak jati Sarawak pernah membantu dalam ekspedisi saintifik dalam mengembangkan teori evolusi!

Kenali Ali Wallace, Anak Melayu Dari Sarawak Yang Membantu Mengembangkan Teori Evolusi. Alfred Russell Wallace ialah seorang naturalis dan penjelajah warga Britain yang terkenal kerana telah mengembangkan teori evolusi sendiri dengan pemilihan semula jadi, sebuah teori yang dikongsi oleh salah seorang saintis terkenal iaitu Charles Darwin.

Nama Alfred Russell Wallace mungkin asing bagi orang awam tetapi nama beliau sangat terkenal di kalangan komuniti saintifik terutama dalam bidang biologi dan zoologi.

Seperti Charles Darwin, Wallace membuat ekspedisi sendiri untuk menyokong teori beliau. Untuk Wallace, beliau mengadakan ekspedisi penerokaan di Amazon dan sekitar nusantara. Di sini lah beliau membuat penemuan berkenaan flora dan fauna yang kemudian menjadi asas kepada buku The Malay Archipelago. Tetapi tahukah anda beliau merekrut seorang anak jati Sarawak sebagai pembantu peribadinya, malah kebanyakan penemuan Wallace adalah hasil daripada bantuan pembantunya ini.

Kenali Ali Wallace, Anak Melayu Dari Sarawak Yang Membantu Mengembangkan Teori Evolusi

Nama beliau ialah Ali Wallace

Nama pembantu Wallace ialah Ali Wallace. Seorang remaja berusia 15 tahun ketika direkrut sebagai pembantu Wallace untuk ekspedisi beliau, Ali dikatakan oleh Wallace “seorang yang pembersih, mahir masak dan pemuda Melayu yang penuh perhatian dari Borneo dan mempunyai pelbagai kemahiran dalam memburu burung dan pelaut yang mahir.”

Sebelum merekrut Ali, Wallace telah melakukan beberapa buah ekspedisi dan akan merekrut ramai pembantu untuk mencatatkan semua penemuan semasa sesebuah ekspedisi. Namun, sebaik sahaja menerima upah, sesetengah pembantu terbabit tidak akan menyertai ekspedisi seterusnya.

Garis Wallace (biru) mengenal pasti ketakselanjaran zoologi antara bahagian barat dan timur Indonesia, dahulu digelar sebagai Kepulauan Melayu Kredit: Britannica

Dua invididu yang setia teman Wallace sepanjang durasi ekspedisi beliau ialah Charles Allen dan Ali Wallace. Kedua-dua individu ini sering dicatatkan dalam setiap catatan Wallace semasa beliau berada di rantau itu.

Charles Allen, seorang warga Britain dan berasal dari London, dikatakan seorang yang suka mengambil mudah, cuai, dan Wallace merasakan pembantunya itu tidak akan bertambah baik. Walau bagaimanapun, Ali dipuji oleh Wallace dan menganggap Ali sebagai pembantu terbaik berdarah orang asal dalam ekspedisi berkenaan.

Direkrut sebagai pembantu dan tukang masak tetapi kemudian dinaik pangkat sebagai ketua pembantu

Menurut rekod catatan Wallace, Ali direkrut oleh Wallace untuk menyertai ekspedisi beliau. Ekspedisi ini akan berlangsung dari tahun 1855 hingga 1862.

Bermula sebagai pembantu dan tukang masak, Ali kemudian menjadi ketua pembantu yang ditugaskan untuk mengumpul sampel bagi tujuan penyelidikan.

Keminatan Ali terhadap burung banyak membantu Wallace dalam membuat katalog tentang banyak spesies burung. Antara burung tersebut termasuk Wallace’s Standard Wing, sebuah burung cenderawasih terdapat di Indonesia dan dikumpulkan oleh Ali sendiri.

Spesis Wallace’s Standard Wing yang diawetkan. Kredit: Wallace Memorial Fund/Ruzaini Bin Ghazali/LKCNHM

Ali dikatakan telah mengumpulkan 5,000 spesies haiwan, yang kebanyakannya burung, semasa ekspedisi itu. Sebilangan besar spesies yang dikumpulkannya kini dipamerkan di muzium di seluruh Eropah.

Mengajar Wallace untuk bertutur dalam Bahasa Melayu

Wallace juga menyatakan dalam catatan beliau antara sebab beliau merekrut Ali adalah untuk membelajari bertutur dalam Bahasa Melayu.

“Bila saya tiba di Sarawak pada tahun 1855, saya mengambil seorang remaja lelaki Melayu bernama Ali sebagai pembantu peribadi dan untuk membantu saya menguasai Bahasa Melayu sebagai keperluan komunikasi kerap dengannya,” kata Wallace dalam catatannya.

Selain memuji Ali sebagai seorang yang pembersih dan memberi perhatian serta mahir bermasak, Wallace juga memuji kemampuan Ali dalam membelajari cara untuk mengendali sampel spesies yang dikumpul.

“… Dia kemudian belajar bagaimana untuk menembak burung, membuang kulitnya dengan bersih dan memakaikan semula ia tanpa sebarang masalah. Dia juga seorang pelaut yang mahir, iaitu kelebihan untuk mana-mana orang Melayu pada waktu itu, dan apabila ekspedisi berhadapan situasi sukar atau bahaya, dia tidak terganggu malah bersedia menghadapinya,” ujarnya lagi.

Selain mengajar Wallace untuk bertutur dalam Bahasa Melayu, Ali juga bertanggungjawab atas melatih pembantu-pembantu Wallace yang lain dalam melaksanakan tugas mereka.

Mengambil nama ‘Ali Wallace’ sebagai simbol menyatakan beliau adalah komrad Wallace yang setia

Ali Wallace, atau nama sebenarnya Ali Amit, mula memperkenalkan dirinya sebagai ‘Ali Wallace’ sebagai tanda persahabatan dan juga menjelaskan kesetiaannya terhadap Wallace.

Sebelum Wallace kembali ke England, Wallace komisen sebuah gambar potret Ali diambil, di mana untuk pertama kali dalam hidupnya, Ali menggunakan pakaian ala barat.

Gambar potret Ali Wallace menggunakan pakaian barat. Kredit: Wallace Memorial Fund

Dengan kata-katanya sendiri, Wallace menggambarkan pemuda yang gagah itu sebagai “peneman setia untuk hampir semua perjalanan saya di pulau-pulau di Timur Jauh”.

Potret Ali kini disimpan dalam arkib Natural History Museum di London sebagai peringatan tentang sumbangan beliau dalam dunia saintifik!

Jadi, apa telah berlaku kepada Ali Wallace?

Menurut catatan Wallace, Ali tidak mengikuti Wallace dalam ekspedisinya pada tahun 1859 apabila Ali menikahi seorang wanita dari Ternate, Indonesia. Ali akan mengikuti Wallace sekali lagi pada tahun 1861 untuk ke sebuah ekspedisi di pulau Bouru.

Pada tahun 1862, mereka pergi ke Singapura di mana Wallace bersediakan diri untuk kembali ke England. Di sini, beliau memberi Ali duit, senapang, peluru dan bekal kepelbagaian. Ali kemudian mengambil gambar potretnya yang dikomisen oleh Wallace untuk Wallace simpan dalam buku nota 1905 beliau.

Ali tidak dikesan lagi sehingga tahun 1907 apabila seorang pakar herpetologi warga Amerika, Thomas Barbour, terserempak dengan Ali ketika di Ternate.

Menurut sebuah memoir ditulis oleh Thomas pada tahun 1943, beliau mengulas tentang perjumpaan tersebut.

“Suatu hari saya dihentikan di jalan ketika saya dan isteri bersiap untuk mendaki ke Crater Lake. Bersama kami adalah Ah Woo dengan jaring kupu-kupu, Indit dan Bandoung, pengumpul Jawa terlatih kami, dengan senapang, beg kain, dan vaskul untuk membawa burung. Kami dihentikan oleh seorang lelaki tua Melayu yang arif. Saya dapat melihatnya sekarang, dengan kepalanya biru pudar di kepalanya. Beliau berkata, “Saya Ali Wallace”. Saya terus sedar bahawa lelaki yang berdiri di hadapan saya adalah sahabat setia Wallace selama bertahun-tahun, anak lelaki yang bukan sahaja membantunya mengumpulkan tetapi merawatnya ketika beliau sakit. Kami mengambil fotonya dan mengirimkannya ke Wallace ketika kami sampai di rumah. Beliau menulis surat yang menggembirakan untuk mengakuinya dan mengenangkan masa ketika Ali telah menyelamatkan nyawanya, di mana Ali merawatnya apabila Wallace diserang malaria,” kata Thomas dalam memoirnya.

Ia tidak diketahui lokasi sebenar kubur Ali. Pada awalnya, wujud dakwaan beliau dikebumikan di Ternate atau Papua New Guinea. Namun lokasi sebenar kuburnya mendedahkan cerita pasca-ekspedisi Wallace.

Menurut ekspatriat Tom McLaughlin yang juga penulis buku Borneo Tom: Stories and Sketches of Love, Travel and Jungle Family in Tropical Asia, Ali memutuskan untuk kembali ke Sarawak untuk membina kehidupan baru dan terus tinggal di situ hingga ke akhir hayatnya.

Tom McLaughlin kini menetap di Sarawak. Beliau bersama isterinya, Suriani binti Sahari, telah berusaha menjejaki Ali Wallace selama beberapa tahun.

Penemuan kuburnya berdasarkan sebuah pantun. Menurut McLaughlin, kebanyakan pantun yang ditulis semasa tahun 1860-an dan 1870-an disusun oleh orang yang tak pandai menulis atau membaca.

Setiap kampung mempunyai pantun sendiri yang akan diturunkan dari generasi ke generasi.

Pantun berikut merupakan sebuah pantun lama dari Kampung Jaie, Kuching, yang menceritakan kisah tentang persahabatan Wallace dan Ali:

“Apa kaba Weles serani,

Abang Ali duak sekawan,

Apa daya setaun ini,

Berpecah kongsi berputus seratan.”

  1. Weles ialah Wallace, manakala perkataan ‘serani’ bermaksud ‘orang putih’ dalam dialek Melayu Sarawak.
  2. Wallace dan Ali adalah sahabat.
  3. Malangnya tahun ini…
  4. Sebuah persahabatan berpecah di mana kedua-dua pihak tidak akan berjumpa lagi.

McLaughlin, dalam usaha beliau untuk mengesan Ali, telah bertemu bual dengan beratus penduduk kampung di sepanjang Sungai Sarawak selama 7 tahun.

Apabila beliau di Kampung Hilir Batu, beliau bertemu bual dengan Sapian bin Morni. Temu bual ini tidak mempunyai kaitan dengan usaha McLaughlin mengesan Ali tetapi kebetulan Sapian menyentuh tentang pantun tersebut.

McLaughlin dan Sapian kemudian pergi ke Kampung Jaie untuk berjumpa dengan keturunan Ali. Setelah tiba, seorang lelaki bernama Jompot bin Chong (anak kepada Panglima Osman – abang sulung kepada Ali) menyanyikan pantun tersebut. Setelah bertemu bual dengan saudara mara lain, dan menyedari persamaan fizikal mereka dengan Ali, McLaughlin membuat kesimpulan Kampung Jaie ialah kampung halaman Ali dan juga tempat beliau tinggal sehingga akhir hayatnya.

Ali, yang berasal dari Kampung Jaie, dikebumikan di sini.

Kubur Ali Wallace di Kampung Jaie. Kredit: Imagined Malaysia

Gone but not forgotten

Ali Wallace ialah seorang tokoh yang dihormati di kalangan saintis biologi dan zoologi atas sumbangan beliau dalam mengumpulkan spesimen spesies bersampingan Wallace. Bukan sahaja pengumpulan beliau kini dipamerkan di muzium di seluruh Eropah bahkan gambar potret beliau juga dalam arkib Natural History Museum di London sebagai peringatan tentang sumbangan beliau.

Walaupun nama beliau tak terkenal sangat di kalangan komuniti Sarawak, semoga pendedahan tentang sumbangan beliau dalam dunia saintifik akan meningkatkan kesedaran tentang beliau.

Terima kasih, Ali Wallace.

Lagi di sini:

Sumber
Imagined MalaysiaTRPThe ConversationThe Patriots

Artikel Berkaitan

Back to top button