fbpx
Cerita Borneo

Kerajaan Negeri Tiada Kuasa Halang PKPB, Berisiko Disaman Pihak Industri – Azmin Ali

Azmin menegaskan bahawa keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang

Kerajaan Negeri Tiada Kuasa Halang PKPB, Berisiko Disaman Pihak Industri – Azmin Ali. Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali menerusi kenyataan rasmi ynag dikeluarkan mengingatkan kerajaan negeri kemungkinan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak industri jika ekonomi tidak dibuka semula di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Kerajaan Negeri Tiada Kuasa Halang PKPB, Berisiko Disaman Pihak Industri - Azmin Ali
Kerajaan Negeri Tiada Kuasa Halang PKPB, Berisiko Disaman Pihak Industri – Azmin Ali

“Sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

“Akta 342 telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April 1989 berikutan persetujuan negeri-negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara,” katanya merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kerajaan negeri yang ingkar untuk membuka semula ekonomi tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan bercanggah dengan dasar kerajaan persekutuan

“Lebih-lebih lagi memandangkan dasar kerajaan persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara.

“Dalam hal ini, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan Covid-19.

“Oleh itu, ia mengatasi (prevail) peruntukan undang-undang bertulis yang lain berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman facebook rasmi beliau.

Azmin menambah bahawa hasil kajian berhubung keputusan itu telah dibentangkan untuk perbincangan dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri semasa Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 28 April.

Berdasarkan perbincangan itu, katanya, kerajaan negeri sedar bahawa sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedia ada dilanjutkan sehingga Jun 2020, kesan kumulatif kehilangan pendapatan negara dianggarkan sebanyak RM146 billion atau kekurangan sebanyak 10.3 peratus KDNK.

“Keadaan ini akan menghapuskan kemajuan ekonomi yang telah dicapai sepanjang empat tahun yang lalu.

“Sehubungan dengan itu, mesyuarat ini telah bersetuju untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dalam tempoh PKPB bermula 4 Mei,” katanya.

“Dakwaan bahawa kerajaan memulakan semula (restart) ekonomi dalam keadaan tergesa-gesa adalah tidak benar dan tidak berasas,” katanya lagi.

Enam negeri sebelum ini dilaporkan tidak akan membuka semula sektor ekonomi bermula hari ini dan akan meneruskan PKP. 3 buah negeri yang lain pula hanya membenarkan sektor sektor tertentu beroperasi.

Negeri-negeri berkenaan ialah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Sebelum ini, 9 negeri menangguhkan PKPB atau hanya membenarkan sebahagian dari industri untuk beroperasi

Artikel Berkaitan

Back to top button