fbpx
Cerita Borneo

Kurang Daya Penglihatan Bukan Penghalang Anak Petani Ini Raih 9A SPM 2019

Terpaksa Guna Kanta Pembesar Semasa Sesi Pembelajaran

Kurang Daya Penglihatan Bukan Penghalang Anak Petani Ini Raih 9A SPM 2019. SPM merupakan ibu segala peperiksaan peringkat sekolah di Malaysia. Kejayaan meraih keputusan cemerlang di peringkat SPM pastinya membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Namun demikian, bagi remaja ini, kekurangan dari segi fizikal bukanlah penghalang untuknya mencapai keputusan cemerlang seperti pelajar biasa yang lain.

Kurang Daya Penglihatan Bukan Penghalang Anak Petani Ini Raih 9A SPM 2019
Jane Teng Siw Wei bersama ibunya, Ngu Leh Ching. Kredit : BERNAMA

Jane Teng Siew Wei, pelajar SMK Meradong, Bintangor, berjaya meraih keputusan yang cemerlang iaitu 9A dalam SPM 2019. Lebih manis, kejayaan yang diperolehinya ini adalah hasil kerja keras beliau walaupun menghidapi masalah penglihatan. Jane yang merupakan anak seorang petani turut mengharumkan nama sekolah dan keluarganya kerana keputusan yang diperolehi melebihi sasaran yang beliau tetapkan iaitu 6A daripada 10 subjek SPM.

Setahun Tertekan, Guru Dan Rakan Jadi Pembakar Semangat

Menurut remaja ini, masalah rabun kronik yang dihadapinya bermula sejak beliau berusia 12 tahun. Lama-kelamaan, ia menjadi semakin teruk apabila memasuki Tingkatan 4 apabila terpaksa menggunakan kanta pembesar untuk belajar. Pada mulanya, beliau berasa patah semangat dan tertekan kerana merasakan dirinya tidak lagi berguna. Sepanjang berada di Tingkatan Empat, beliau tidak dapat menerima kekurangan diri sehingga sering menangis di dalam kelas.

Setelah menjejakkan kaki ke Tingkatan Lima, barulah remaja ini sedar bahawa tiada apa yang mampu menghalangnya untuk mencapai cita-cita. Atas galakan dan bimbingan daripada guru, Jane bertekad untuk mencapai yang terbaik dalam pelajaran meskipun terpaksa bergelut dengan kekurangan yang dihidapinya. Tambahnya lagi, beliau berasa sungguh bertuah kerana mempunyai rakan-rakan yang sudi memberi tunjuk ajar sekiranya ada yang kurang difahami dalam pembelajaran.

Rahsia Cemerlang Tanpa Tuisyen Luar

Selain itu, usaha anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini tidak terhenti di sekolah sahaja. Beliau menyambung semula pembelajaran di rumah selama 6 jam sehari secara sendirian. Disebabkan kesusahan yang dialami oleh keluarga serta tempat tinggalnya yang agak terpencil, Jane tidak berpeluang untuk menyertai sebarang kelas tuisyen di luar. Namun, baginya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Kurang Daya Penglihatan Bukan Penghalang Anak Petani Ini Raih 9A SPM 2019. Kredit : Utusan Borneo

Ditanya mengenai perancangannya selepas menamatkan SPM, remaja ini berhasrat untuk menyambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengejar cita-citanya sebagai seorang guru. Impiannya adalah untuk membantu lebih ramai pelajar yang mempunyai masalah penglihatan sepertinya untuk berjaya di masa hadapan.

Tahniah diucapkan kepada adik Jane serta semua pelajar cemerlang SPM 2019. Kepada yang kurang berjaya, ini bukan pengakhirannya. Pasti ada peluang lain menanti anda di luar sana. Gambatte!

Artikel Berkaitan

Back to top button