fbpx
Cerita Borneo

Legenda Arung Salamiah, Kisah Cinta Pilu Pulau Bohey Dulang Sabah

Tidak terlepas dari kisah legenda unik.

Legenda Arung Salamiah, Kisah Cinta Pilu Pulau Bohey Dulang Sabah. Pulau Bohey Dulang kini menjadi destinasi pelancongan hangat di Sabah.

Dipisahkan oleh selat yang cetek dari Pulau Bodgaya, Pulau Bohey Dulang membentuk kawah yang kini dibanjiri oleh air laut yang mempunyai kedalaman 25 meter. Air laut yang memenuhi kawah ini kemudiannya menjadi lagun kebiru-biruan yang jernih dan cantik.

Legenda Arung Salamiah, Kisah Cinta Pilu Pulau Bohey Dulang Sabah

Untuk pengetahuan anda, Pulau Bohey Dulang ini merupakan pulau yang kedua terbesar dalam Taman Marin Tun Sakaran di Sabah. Ia merupakan sebuah pulau yang berbentuk pergunungan akibat aktiviti letusan gunung berapi pada zaman purbakala.

Ia digemari oleh para pendaki kerana anda dapat menyaksikan pemandangan yang indah dan memukau secara 360 darjah. Ketinggiannya pula sekitar 600 meter sahaja.

Kredit : JomJalan

Namun demikian, tahukah anda kisah legenda di sebalik Pulau Bohey Dulang?

Tidak ramai yang mengetahui kisah ini sebelum memandangkan ia disimpan rapi oleh keturunan Arung Saria atas faktor keselamatan.

Kisah cinta pilu antara Arung Salamiah dan Tanjung Kalang

Menurut cerita masyarakat setempat, Pulau Bohey Dulang menyimpan kisah cinta pilu antara seorang gadis rupawan yang bernama Arung Salamiah dengan pemuda bernama Tanjung Kalang.

Legenda Arung Salamiah, Kisah Cinta Pilu Pulau Bohey Dulang Sabah

Kisah ini dipercayai berlaku sebelum abad ke-18 Masihi. Arung Salamiah merupakan seorang penari yang anggun dan lembut gemalai. Bahkan, beliau dianggap sebagai penari terbaik yang boleh menarikan tarian tradisi suku kaum Bajau iaitu Igal-igal.

Nama tarian tersebut diambil sempena perkataan bahasa Inggeris iaitu ‘eagle’. Ini kerana pergerakan tarian tersebut menyerupai pergerakan burung helang.

Arung Salamiah sangat hebat menggambarkan perasaannya ketika menari sama ada gembira, sedih mahu pun marah. Disebabkan itu, persembahan beliau sangat digemari oleh penonton.

Legenda Arung Salamiah, Kisah Cinta Pilu Pulau Bohey Dulang Sabah

Dipinang lelaki zalim bernama Datu Atik

Pada suatu hari, seorang lelaki zalim bernama Datu Atik datang meminang Salamiah. Datu Atik dikenali sebagai seorang yang mempunyai isteri yang ramai dan berasal daripada keluarga yang ternama.

Beliau terpikat dengan Arung Salamiah ketika beliau melakukan persembahan tarian. Apatah lagi Arung Salamiah merupakan gadis yang memiliki kecantikan yang tidak tertara.

Keluarga Salamiah terpaksa menerima pinangan tersebut sebagai tanda menghormati keluarga ternama tersebut. Hal ini juga disebabkan Datu Atik merupakan orang yang berpengaruh dan berkuasa di kampung tersebut.

Lari ke gua di Pulau Bohey Dulang kerana ingin menjaga maruah

Namun demikian, Arung Salamiah tidak mahu berkahwin dengan lelaki zalim itu. Demi menjaga maruahnya, Salamiah bertindak melarikan diri ke sebuah gua di Pulau Bohey Dulang bersama adik angkatnya, Arung Saria.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya terpisah apabila tiba di gua tersebut bagi mengelakkan diri mereka daripada dijejaki oleh Datu Atik dan pengikutnya. Kekasih Arung Salamiah, Tanjung Kalang pula bertindak mencarinya apabila mendengar berita buah hatinya melarikan diri.

Datu Atik bunuh satu kampung kerana gagal menjumpai Salamiah

Datu Atik yang tidak menjumpai Arung Salamiah bertindak kejam dengan membunuh seluruh penduduk kampung dan membakar rumah-rumah mereka sehingga ranap.

Nasib kekasih Arung iaitu Tanjung Kalang juga berakhir tragis apabila meninggal dunia semasa bertempur dengan pengikut-pengikut Datu Atik di pesisir pantai berdekatan sebuah perkampungan.

Arung Salamiah ghaib setelah lama menanti kedatangan kekasihnya

Arung Salamiah dikatakan telah bersembunyi di gua tersebut. Gadis ini akhirnya ghaib setelah lama menanti kedatangan kekasihnya, Tanjung Kalang untuk menjemputnya kembali di gua itu. Adiknya pula, Arung Saria berjaya menyelamatkan diri, berkahwin dan memiliki keturunan.

Namun, ada juga yang mengatakan bahawa mereka pernah melihat kelibat Arung Salamiah mengintai di gua tersebut seolah-olah menunggu kedatangan Tanjung Kalang yang telah dibunuh oleh pengikut Datu Atik.

Legenda Arung Salamiah, Kisah Cinta Pilu Pulau Bohey Dulang Sabah

Terdapat juga dakwaan lain yang mengatakan bahawa Arung Salamiah ghaib kerana telah menjadi salah seorang makhluk mistik yang menghuni gua Pulau Bohey Dulang. Tiada siapa yang tahu sejauh mana kebenaran teori kehilangan Arung Salamiah sehingga ke hari ini.

Kisah Arung Salamiah ini menjadi pertunjukan teater musikal tahunan semasa Pesta Regatta Lepa di Pulau Bohey Dulang. Selain itu, pertandingan Ratu Lepa serta Anugerah Arung Salamiah juga diadakan semasa pesta regatta yang berlangsung pada setiap April itu.

Begitu rupanya kisah di sebalik Pulau Bohey Dulang yang membiru selama ini.

Baca juga kisah legenda tentang Dayang Isah Tandang Sari di sini :

Ini pula kisah tentang keturunan ke-7 Mahsuri yang dijejaki di Thailand :

Artikel Berkaitan

Back to top button