fbpx
Cerita Borneo

MA63 : Tiada Keperluan Dedah Laporan Akhir Kepada Umum

Kerajaan kekal dengan pendirian bahawa tiada keperluan bagi laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) didedahkan kepada umum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib berkata ia berikutan status dokumen itu adalah bertaraf rahsia dan penarafan itu dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Setakat ini, kerajaan masih kekal pendirian bahawa tiada keperluan untuk laporan akhir ini diedarkan kepada umum memandangkan isu, kandungan dan perbincangan yang direkodkan adalah bersifat teknikal dan melibatkan perkara sensitif.

“OIeh yang demikian, status dokumen kekal taraf rahsia rasmi dan perlu diberikan perlindungan seperti yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab perkara yang dibangkitkan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) iaitu status laporan akhir MA63 pada usul Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Chan turut membangkitkan persoalan mengenai status 21 perkara yang dikemukakan dalam laporan itu dengan empat perkara masih dibincangkan iaitu isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak;  Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750]; dan hak negeri ke atas pelantar benua.  

Hanifah Hajar berkata perbincangan mengenai empat perkara ini masih diteruskan dengan kerajaan akan menyambung perbincangan mengenainya dalam majlis khas yang akan ditubuhkan tidak masa lagi.

“Selain itu, satu jawatankuasa bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah ditubuhkan bagi membincangkan mengenai penyelesaian komersial berhubung minyak dan gas. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) bersama Menteri Kewangan (MOF) (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan urus setia MOF,” katanya.

Menurutnya, perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak masih berlangsung manakala perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah dijangka menyusul kemudian.

Beliau berkata kerajaan melalui kementerian itu juga sedang memantau perkembangan 17 perkara yang telah diputuskan oleh JKKMA63, selain bertanggungjawab sebagai urus setia kepada majlis khas yang akan ditubuhkan bagi semakan pelaksanaan MA63.

Dilaporkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin  memaklumkan Dewan Negara pada Disember lepas bahawa 17 perkara dalam MA63 telah mendapat persetujuan bersama, antaranya tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan di negeri Sabah, kuasa negeri ke atas isu kesihatan di negeri Sarawak dan Sabah, pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas di negeri Sarawak dan Sabah.

Baca juga artikel lain :

Sumber
Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button