Perkara Tersebut Dimaklumkan Oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Hari Ini
RASMI : Tiada ‘Ngabang’ Rumah Ke Rumah Gawai Tahun Ini. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini mengeluarkan arahan bahawa aktiviti ‘ngabang’ atau ziarah-menziarahi pada tahun ini tidak dibenarkan. Aktiviti ‘ngabang’ merupakan salah satu aktiviti wajib sambutan perayaan Gawai Dayak di Sarawak.

Upacara ‘Miring’ Boleh Dilakukan Mengikut SOP Yang Ditetapkan
Menurut pengerusi JPBNS, Dato’ Amar Douglas Uggah Embas, perayaan Hari Gawai pada tahun ini akan diadakan selama sehari sahaja. Walau bagaimanapun, upacara penting perayaan iaitu ‘Miring’ akan tetap diadakan di rumah panjang masing-masing. Namun, ia perlulah dilakukan mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa terbabit.

Dalam pada masa yang sama, JPBNS setakat ini telah menerima 3,454 permohonan rentas daerah daripada 28 ibu pejabat daerah balai polis di seluruh negeri, menjadikan keseluruhan permohonan kini mencecah 69,968 permohonan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,101 permohonan telah diluluskan manakala 5,867 permohonan telah ditolak.
Pihak polis juga telah mengeluarkan kompaun kepada 38 individu atas cubaan merentas daerah tanpa permit daripada pihak polis. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan ialah sebanyak 86 kompaun sejak 19 Mei yang lalu.