Keputusan tersebut diumumkan oleh JBPN Sarawak
Sarawak Terus Catat 8 Kes Positif, 1 Kluster Baru Hari Ini. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini mengumumkan terdapat 8 kes positif baharu di Sarawak. Daripada jumlah tersebut, 4 kes dikesan di Kuching manakala 4 lagi kes dikesan di Samarahan.
Kesemua kes baharu yang dikesan tersebut tidak menunjukkan simptom dan gejala.
Kluster baru : Kluster Syarikat Pembinaan
Kluster baharu yang dikesan di Kuching hari ini adalah Kluster Syarikat Pembinaan Kuching. Kluster tersebut dikesan apabila kontak rapat kepada kes-578 telah didapati positif. Setakat hari ini, seramai 5 kontak rapat kes indeks telah disaring dan kesemuanya disahkan negatif. 72 kontak rapat tempat kerja juga telah disaring dan seorang daripadanya didapati positif. Ini menjadikan kes positif dalam kluster tersebut berjumlah 2 kes. Punca kluster masih belum dapat dikenalpasti.

Tambahan 4 kes Kluster Sentosa, keseluruhan 20 kes
Dalam pada masa yang sama, 4 kes positif baru telah dikesan melibatkan Kluster Sentosa. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes telah bertambah dari 16 ke 20 kes dalam kluster tersebut. Kluster lain pada masa ini tidak mencatatkan pertambahan.
Susulan pertambahan kluster baru ini, Sarawak kini mempunyai 9 kluster yang aktif iaitu ;
- Kluster Syarikat Kejuruteraan : penambahan 1 kes menjadi 4 kes
- Kluster Mambong : kekal 5 kes
- Kluster Pusat Perubatan : kekal 3 kes
- Kluster Jupiter : kekal 3 kes
- Kluster Pasar Stutong : kekal 7 kes
- Kluster Jeti Kuching : kekal 2 kes
- Kluster Sentosa : penambahan 4 kes menjadi 20 kes
- Kluster PUI Melbourne : kekal 2 kes
- Kluster Syarikat Pembinaan (Baharu) : penambahan 2 kes
Berikut pula merupakan pergerakan 14 hari taburan kes di Sarawak menurut data KKM hari ini ;

Orang ramai dinasihat sentiasa berjaga-jaga
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan mendesak. Pergerakan rentas bahagian juga tidak digalakkan kecuali bagi keperluan rasmi, urusan rasmi atau perubatan bagi mengelakkan penularan pandemik ke bahagian berstatus hijau.
Jaga jarak sosial anda dan sentiasa jaga kebersihan di tahap yang tertinggi. Kelekaan kita kini sudah menampakkan tandanya.