fbpx
Cerita Borneo

Sultan Tengah Manga, Sultan Pertama dan Terakhir Di Sarawak

Tahukah anda Sarawak pernah mempunyai sultan?

Sultan Tengah Manga, Sultan Pertama dan Terakhir Di Sarawak. Sarawak yang anda lihat anda lihat hari ini sebenarnya pernah diperintah oleh seorang Sultan yang berasal dari Kesultanan Brunei.

Berdasarkan kajian penyelidik Ib Larsen, Sarawak pernah diperintah oleh seorang sultan yang bernama Sultan Tengah Manga. Sultan Tengah Manga ini dilantik oleh abangnya iaitu Sultan Abdul Jalilul Akbar. Pada masa itu, Sultan Abdul Jalilul Akbar merupakan Sultan Brunei yang ke-10.

Kesultanan Sarawak terbentuk akibat pertikaian takhta Sultan Brunei

Berdasarkan Salahsilah Raja-Raja Brunei, kesultanan di Sarawak dibentuk selepas kemangkatan Sultan Muhammad Hassan, bapa kepada Sultan Abdul Jalilul dan Sultan Tengah Manga. Takhta sultan ini kemudian dinaiki oleh anak sulungnya iaitu Sultan Abdul Jalilul Akbar.

Sultan Tengah Manga, Sultan Pertama dan Terakhir Di Sarawak
Istana Brunei

Namun demikian, Sultan Tengah Manga rupanya tidak bersetuju dengan pemasyhuran abangnya sebagai Sultan Brunei yang baru.

Beliau menyatakan bahawa pelantikan Sultan Abdul Jalilul Akbar sebagai Sultan yang baru sebagai tidak sah kerana Abdul Jalilul dilahirkan sebelum bapanya menjadi Sultan. Sultan Tengah Manga mendakwa bahawa dirinya lebih layak menjadi Sultan kerana dilahirkan semasa ayahandanya menjadi Sultan.

Pertikaian tersebut sememangnya telah dijangka oleh Sultan Abdul Jalilul Akbar. Oleh yang demikian, beliau melantik adiknya menjadi Sultan Sarawak memandangkan Sarawak merupakan wilayah yang berada jauh dari pusat pemerintahan Brunei.

Kesultanan Sarawak dahulu berpusat di Santubong

Sultan Tengah Manga kemudian berangkat ke Sarawak dengan membawa sejumlah 1,000 orang askar bersamanya. Askar-askar ini terdiri daripada kaum asal Sarawak iaitu Sakai, Kedayan dan Bunut. Bukan itu sahaja, kaum kerabat diraja Brunei turut mengiringi Sultan Tengah Manga untuk membantu dalam pembentukan sistem pemerintahan di Sarawak.

Gunung Santubong

Istana kubu Sultan Tengah Manga yang pertama didirikan di Bukit Bedil, Santubong. Kawasan Santubong dipilih menjadi pusat pemerintahan empayar Sarawak. Sultan Tengah Manga menamakan dirinya sebagai Sultan Ibrahim Ali Omar Shah atau pun Sultan Abdul Jalil, seperti mana dalam catatan Diraja Sambas.

Sultan Tengah diusir dari Johor

Semasa pemerintahan Sultan Tengah, beliau pernah melawat ibu saudaranya di Johor dan mengamanahkan kerajaan Sarawak di bawah pemerintahan 4 orang Datu.

Namun demikian, dikhabarkan bahawa Sultan Tengah diusir keluar dari Johor kerana menampar seorang penari Johor apabila sapu tangan yang digunakan semasa sebuah persembahan hampir terkena mukanya. Tindakan itu menyebabkan Sultan Pahang yang pada ketika itu masih memerintah Johor murka lalu menghalau Sultan Tengah pulang.

Namun demikian, ada juga dakwaan yang mengatakan bahawa Sultan Tengah dihalau dari Johor kerana enggan menunaikan permintaan ibu saudaranya untuk mengahwini Puteri Cik Zohra. Ibu saudara Sultan Tengah merupakan Permaisuri Sultan Pahang pada waktu itu.

Bahtera ke Sarawak hanyut, Sultan Tengah berkahwin dengan puteri empayar Sukadana Kalimantan Barat

Sewaktu pelayaran pulang ke Sarawak pula, bahtera mereka telah dilanda ribut taufan dan menghanyutkan mereka ke empayar Sukadana (Kalimantan Barat). Raja Sukadana pada ketika itu melayan rombongan Sultan Sarawak dengan baik sekali sehingga akhirnya Raja Sukadana memeluk Islam dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Saifuddin.

Dalam masa yang sama, Sultan Tengah berkahwin dengan adik Sultan Muhammad Saifuddin iaitu Puteri Surya Kesuma dan menetap di Sukadana buat sementara waktu sambil menjalankan aktiviti dakwah kepada penduduk setempat.

Untuk meluaskan lagi aktiviti itu, Sultan Tengah telah dianugerahkan kawasan Sambas dan membina petempatan di Kuala Bangun, berdekatan Sungai Sambas.

Anak sulungnya jadi Sultan Sambas

Pada waktu itu juga, isterinya melahirkan anak sulung mereka yang dinamakan Radin Sulaiman. Ia diikuti oleh kelahiran dua lagi adik beradik iaitu Pengiran Badaruddin (Pengiran Bendahara Seri Maharaja) dan Pengiran Abdul Wahab (Pengiran Temenggong Jaya Kesuma).

Sultan Tengah Manga, Sultan Pertama dan Terakhir Di Sarawak
Sultan Tengah Manga, Sultan Pertama dan Terakhir Di Sarawak. Imej merupakan Masjid Sultan Sambas.

Aktiviti dakwah Sultan Tengah ini kemudian meluas sehingga ke kawasan Kota Lama dan disambut baik oleh rajanya, Ratu Sapundak walau pun berketurunan Majapahit Hindu. Setelah agak lama menetap di Sambas, anak sulung Sultan Tengah akhirnya berkahwin dengan puteri Ratu Sapundak iaitu Puteri Mas Ayu Bongsu.

Radin Sulaiman menjadi sultan Muslim pertama di Sambas pada tahun 1631 menggantikan empayar pemerintahan Hindu di Sambas.

Sultan Tengah Manga, Sultan Pertama dan Terakhir Di Sarawak
Makam Sultan Sambas, Radin Sulaiman atau pun Sultan Mohammad Syafiuddin I

Berpindah ke Matan dan berkahwin semula

Pada tahun 1630, Sultan Tengah kemudian berangkat ke Matan dan mengahwini seorang puteri tempatan. Perkahwinan Sultan Tengah bersama puteri tersebut dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Pengiran Mangku Negara iaitu Sultan Matan. Setelah beberapa tahun tinggal di Matan, barulah Sultan Tengah kembali ke Sarawak.

Sultan Tengah mangkat pada tahun 1641 akibat dibunuh pengawal

Malangnya, Sultan Tengah dibunuh di Batu Buaya, Santubong oleh salah seorang pengawalnya. Berita kematian Sultan Tengah sampai ke pengetahuan Kesultanan Brunei dan kemudiannya diuruskan oleh Datu Patinggi, Datu Amar, Datu Shahbandar dan Datu Temenggong dari Brunei.

Permaisurinya pula, Ratu Surya Kesuma kembali ke Sukananda selepas kemangkatan Sultan Tengah.

Disebabkan keturunan Sultan Tengah telah menjadi Sultan di Sambas dan Matan, maka berakhirlah era kesultanan di Sarawak. Sarawak kemudian kembali diperintah oleh Kesultanan Brunei oleh 4 orang Datu dan Pengiran Mahkota Brunei sebelum dijajah oleh Keluarga Brooke.

Begitulah kisah sultan pertama dan terakhir di Sarawak. Pemerintahan Sultan Tengah di Sarawak turut meninggalkan legasinya iaitu jawatan Datu Patinggi, Datu Amar, Shahbandar Datu dan Datu Temenggong dalam pemerintahan kerajaan Sarawak sehingga kini.

Makamnya yang terletak di Jalan Santubong kini masih dijaga dengan utuh untuk kunjungan orang ramai.

Sultan Tengah Manga, Sultan Pertama dan Terakhir Di Sarawak
Sumber : Google Maps

Baca juga kisah Sarawak ini :

Sumber
The First Sultan of Sarawak and His Links to Brunei and The Sambas Dynasty (Ib Larsen)

Artikel Berkaitan

Back to top button