Bahaya Ajaran Sesat: Masyarakat Perlu Lebih Berwaspada
Kenali Ciri-Ciri Ajaran Sesat Yang Anda Perlu Tahu. Ajaran sesat yang menyimpang dari akidah Islam terus menjadi ancaman kepada umat Islam di Malaysia. Dari dulu hingga kini, ia seolah-olah tiada penghujungnya, mencengkam pemikiran dan kepercayaan sebahagian masyarakat. Masalah ini telah menjadi satu barah yang tidak boleh dibiarkan terus menular dan perlu dibanteras sehingga ke akar umbi. Ia juga tidak boleh diberi ruang untuk berkembang semula.
Namun, kadangkala masyarakat keliru mengenai apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan ajaran sesat, terutama sekali dalam mengenal pasti ciri-cirinya serta bahaya yang dibawa kepada umat Islam, lebih-lebih lagi kepada golongan muda.

Maksud ajaran sesat
Secara ringkas, ajaran sesat merujuk kepada apa-apa fahaman, ajaran atau amalan yang dikatakan sebahagian daripada ajaran Islam, namun hakikatnya bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ajaran ini juga bertentangan dengan Ijma’ dan Qiyas serta pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah, malah telah difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama, seperti Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Bekas Mufti Mesir, Syeikh Ali Jumuah, menjelaskan bahawa akidah Ahli Sunnah wal Jamaah ialah mereka yang mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda, khususnya dalam hal-hal berkaitan akidah, syariah, dan akhlak.
Ciri-ciri ajaran sesat yang anda kena tahu
Untuk mengelakkan umat Islam terjebak dengan ajaran sesat, penting bagi kita mengenali ciri-ciri utamanya. Berikut adalah beberapa ciri-ciri ajaran sesat yang patut diambil perhatian:
- Mengamalkan Wirid untuk Maqam Khusus
Ajaran seperti tarekat Mufarridiyah, yang diharamkan pada tahun 1987, menggunakan wirid untuk mencapai maqam tertentu, tetapi akhirnya meninggalkan syariat Islam. - Menghina dan Ingkar Al-Quran
Mana-mana ajaran yang menghina, menidakkan, atau menambah isi kandungan al-Quran adalah sesat. Ini termasuk fahaman seperti Syiah dan Qadiani yang mengubah keaslian al-Quran. - Menidakkan Syariat Nabi Muhammad SAW
Ajaran yang menolak syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, seperti ajaran Bahai, Qadiani, Ayah Pin, dan Tuhan Harun, adalah bertentangan dengan Islam. - Menyamakan Islam dengan Agama Lain
Golongan liberalisme dan pluralisme cuba menyamakan agama Islam dengan agama lain, menyatakan tiada perbezaan antara agama. Ini adalah satu lagi ciri ajaran sesat yang sering disebarkan melalui media sosial. - Mencela Sahabat dan Isteri Rasulullah SAW
Pengikut ajaran Syiah contohnya, sering mencela dan mengkafirkan sahabat serta isteri-isteri Nabi SAW. - Menggunakan Harta Pengikut untuk Kepentingan Pemimpin
Pengikut ajaran sesat sering dimanipulasi untuk menyerahkan harta, keluarga, dan zakat hanya kepada ketua kumpulan. Mereka diperdaya dengan alasan “jihad” atau “pengorbanan suci.” - Silat sebagai Wasilah Menarik Pengikut
Ada ajaran yang menggunakan silat sebagai tarikan, seperti ajaran Nasrul Haq yang pernah diharamkan oleh Jakim pada tahun 1987. - Mengaku sebagai Imam Mahdi
Pemimpin ajaran sesat kadang-kadang mengaku sebagai Imam Mahdi untuk menarik pengikut. - Menyalahgunakan Tarekat
Sesetengah tarekat yang sesat dijadikan jalan pintas oleh pihak berkepentingan untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh pengikut.
Untuk membanteras ajaran sesat ini, masyarakat perlu dididik dari peringkat awal. Penerangan yang sahih harus disebarkan melalui masjid, media sosial, dan institusi pendidikan bagi meningkatkan kesedaran umat Islam. Kerjasama erat antara pihak berwajib dan masyarakat sangat diperlukan bagi memastikan ajaran sesat tidak terus menular.
Ajaran sesat bukan sahaja merosakkan akidah individu, tetapi juga memecahbelahkan masyarakat dan menjejaskan institusi kekeluargaan. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan aktif untuk memastikan masalah ini ditangani dengan berkesan.