Kedai gunting rambut akan beroperasi semasa PKP
COVID-19 : Kedai Gunting Rambut Dibenarkan Beroperasi. Terkini dilaporkan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi. Namun, langkah berjaga perlu diambil kerana risiko penularan wabak di kedai gunting rambut agak tinggi.
Beberapa sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP
Pada peringkat awal PKP, hanya sektor ‘penting’ negara sahaja yang dibenarkan beroperasi sebelum 4 lagi jenis perniagaan seperti kedai menjual makanan haiwan, kedai hardware, dan kedai menjual baja diberi kebenaran untuk dibuka 2 kali seminggu. Selepas diumumkan kelanjutan PKP selama 2 minggu lagi, beberapa sektor ekonomi yang tersenarai sebagai jenis perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga PKP tamat pada 28 April.
Dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan semalam (10 April 2020), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beberapa kementerian telah berbincang untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP. Salah satu sektor itu adalah kedai gunting rambut.
Langkah berjaga mesti diamalkan ketika bergunting rambut
Pemilik premis gunting rambut yang dibenar beroperasi semasa fasa tiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelak penularan wabak Covid-19. Menurut kenyataan Public Health Malaysia melalui laman Facebook, dinyatakan ialah langkah pencegahan dan kerjasama penuh daripada kedua-dua pihak iaitu penggunting rambut dan pelanggan perlu bagi mengelakkan pewujudan kluster baharu Covid-19.
“Faktor risiko penularan Covid-19 di kedai gunting rambut agak tinggi kerana jarak rapat antara pelanggan dan tukang gunting rambut, tempoh masa yang lama di dalam premis iaitu sekitar 15 minit, selain ruang kedai yang sempit dengan pengudaraan yang terhad,” menurut kenyataan tersebut.
Ditambah lagi, Public Health Malaysia menyarankan supaya pemilik premis perlu memastikan diri tidak mempunyai gejala demam atau batuk selesema, melakukan disinfeksi harian premis, menyediakan ruang pengudaraan yang bagus serta mengawal kemasukan pelanggan dan membersihkan rambut yang sudah digunting.
Selain itu, pelanggan perlu disaring dahulu dan tidak dibenarkan masuk premis sekiranya mempunyai gejala, menggunakan penutup mulut dan hidung (sekiranya mempunya gejala), membasuh tangan sebelum memasuki kedai gunting rambut dan duduk serta menjaga jarak sosial ketika dalam kedai. Satu tip: tetapkan appointment dengan tukang gunting rambut anda supaya anda tidak perlu menunggu giliran anda
Public Health Malaysia turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa bersedia mempersiapkan diri ke arah budaya kehidupan baharu yang mengutamakan langkah pencegahan wabak COVID-19 dalam semua aktiviti harian.