Ini evolusi sejarah bandar Miri, Sarawak
Dari Perkampungan Nelayan Ke Bandar Pelantar Minyak, Ini Sejarah Miri Yang Anda Perlu Tahu. Pada tahun 1883, Miri menjadi bahagian keempat Sarawak apabila kawasan dari Tanjong Kidurong hingga Kuala Baram diserahkan oleh Sultan Brunei, Sultan Abdul Momin, kepada Sir Charles Brooke, Rajah Sarawak kedua.
Pada zaman tersebut, penduduk sering hidup dalam ketakutan kerana pertelingkahan antara kampung dan puak. Keadaan ini bertambah buruk akibat kekerasan dan penindasan oleh pemerintahan Sultan Brunei.
Rajah melantik Claude Champion de Crespigny sebagai Tuan Residen Baram pertama untuk menjaga ketenteraman dan menguatkuasakan undang-undang di Baram.
Beliau membina pejabat di tebing Sungai Baram, yang kemudiannya berkembang menjadi penempatan pedagang Cina dan penduduk tempatan, dikenali sebagai Claudetown. Nama tempat ini kemudian ditukar menjadi Marudi berdasarkan nama anak sungai di pekan tersebut.
Setelah keamanan dipulihkan, Residen menguruskan penggalian minyak di Marudi dan kawasan Muara Sungai Miri. Rajah menandatangani perjanjian dengan Anglo-Saxon Petroleum Company dari London untuk penggalian minyak komersial di Miri.
Penggalian bermula pada 10 Ogos 1910, dan minyak ditemui pada 22 Disember 1910. Kejayaan ini memulakan era Shell di Sarawak dan kemudian Petronas pada tahun 1978.
Pada awal abad ke-20, peniaga mulai menetap di kawasan baru seperti Long Lama pada 1905 dan Long Akah. Peniaga Cina juga menetap di Sibuti (1895), Niah (akhir abad ke-19), Bekenu (1933) dan Beluru (1930-an).
Selepas perubahan sempadan Bahagian pada 1946, Bintulu menjadi sebahagian dari Bahagian Miri, merangkumi pekan Bintulu dan Tatau, yang kedua-duanya dibentuk pada akhir abad ke-19.
Pada 16 Disember 1941, 10,000 tentera Jepun menyerbu Miri kerana kepentingan telaga minyaknya sebelum menyerang Kuching dan kawasan lain di Sarawak. Beberapa bulan selepas itu, pekerja telaga minyak berpengalaman dari Jepun mengambil alih operasi minyak dan membina lapangan terbang di Lutong. Pekerja Shell bekerjasama dengan syarikat Jepun tersebut.
Penduduk tempatan mengalami kehidupan yang sukar semasa pendudukan Jepun. Kehidupan kembali pulih selepas Jepun menyerah kepada Pasukan Bersekutu pada 21 Jun 1945.
Semasa rundingan mengenai penubuhan Malaysia berlangsung, Indonesia dan puak penentang di Brunei mempunyai agenda sendiri. Puak penentang di Brunei, dipimpin oleh Azahari, memberontak menentang Sultan dan bersekutu dengan Indonesia untuk menentang penubuhan Malaysia.
Mereka menceroboh Miri dan Bekenu pada Disember 1962 tetapi cepat ditumpaskan. Serangan lain berlaku di sempadan Dataran Tinggi Kelabit oleh Indonesia. Penduduk setempat dilantik sebagai Pengakap Sempadan untuk membantu Pasukan Tentera Bersekutu. Konfrontasi Indonesia berakhir pada 1966.
Walaupun konflik berlaku, pilihan raya Majlis Tempatan dijalankan pada Jun 1963, membolehkan penduduk Sarawak mentadbir negeri sendiri, bersamaan dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
Walaupun Miri beralih dari perkampungan nelayan yang kecil kepada industri penggalian minyak, bot-bot nelayan tetap tidak gentar membelah ombak Laut China Selatan dari dahulu sehinggalah ke hari ini.
Beberapa perkampungan nelayan masih menjadi tumpuan warga tempatan untuk mendapatkan bekalan hasil laut. Antaranya ialah Tanjung Bungai, Kampung Bakam dan Batu 1 Kuala Baram. Suasana di pasar basah di kampung-kampung ini meriah ketika musim ‘bubuk’.