Lelaki itu dirakam cuba mencuri anak kucing tersebut sebelum berjaya mengambilnya
Dirakam CCTV Curi Anak Kucing Peliharaan Resort, Bekas Jururawat Didakwa Cekik Kucing Itu Hingga Maut. Dalam satu kejadian kekejaman haiwan yang mengejutkan, seorang lelaki warga Singapura telah dituduh mencuri seekor anak kucing peliharaan dan didakwa mencekiknya sehingga maut di sebuah resort di Bali.
Resort tersebut, Utama Villa Tulamben, telah membuat laporan polis terhadap lelaki itu dan berkongsi secara terbuka butiran kejadian itu yang membimbangkan.
Anak kucing tersebut di bawah jagaan pihak resort sebelum kejadian
Kejadian itu berlaku apabila pihak resort menemui mayat Monkey yang tidak bernyawa di dalam beg plastik kuning dengan ikatan kabel diikat di lehernya pada 6 Jun lalu. Perkara tersebut hanya diketahui orang awam apabila mereka berkongsi kejadian sebenar di Facebook pada 15 Jun lalu.
Menurut perkongsian Utama Villa Tulamben menerusi Facebook rasmi mereka, anak kucing berusia enam minggu bernama ‘Monkey’ itu, milik resort tersebut dan berada di bawah jagaan pihak resort di premis pejabat. Ia difahamkan anak kucing tersebut tidak mempunyai interaksi negatif dengan lelaki itu sebelum ini.
Semakan CCTV menunjukan lelaki tersebut, 31 tahun, cuba memecah masuk pejabat beberapa kali pada awal pagi 5 Jun. Namun, lelaki itu berputus asa apabila tidak berjaya selepas hampir sejam percubaan.
Walau bagaimanapun, lelaki itu kemudian dilihat kembali ke pejabat pada sekitar jam 10:30AM dan berjaya menangkap ‘Monkey’ yang sedang tidur dengan membuka tingkap pejabat secara paksa. Dia kemudian dilihat membawa anak kucing itu ke biliknya.
Mendakwa sedang ‘mencari’ anak kucing itu kerana ‘melarikan diri’
Pihak resort menyatakan bahawa mereka menemui mayat Monkey berhampiran bilik tetamu pada keesokan harinya. Meskipun tiada rakaman langsung menunjukkan lelaki itu membunuh Monkey, rakaman CCTV menunjukkan aktiviti mencurigakan sejurus selepas dia mengambil anak kucing tersebut.
Berdasarkan rakaman CCTV, sebuah beg plastik kuning dilihat dicampak keluar dari bilik mandi tetamu dan mendarat di kawasan jiran. Pihak resort turut mengesahkan tiada individu lain hadir di lokasi beg itu dibuang.
Ketika disiasat, lelaki itu pada mulanya menafikan mengambil anak kucing tersebut tetapi ditunjukkan bukti CCTV resort tersebut. Dia kemudian mengaku dia telah mengambil anak kucing itu tetapi mendakwa bahawa anak kucing terbabit telah melarikan diri dan sedang mencarinya di dalam resort.
Walau bagaimanapun, sebanyak 12 rakaman CCTV tidak menyokong dakwaannya.
Pernah bekerja sebagai jururawat
Individu tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital di Singapura telah membuatkan pihak pengurusan resort berasa tidak senang kerana kekejaman yang dipamerkan oleh lelaki tersebut.
Yang lebih membimbangkan, lelaki itu juga bergelar ‘Divemaster’ dan dikatakan oleh dive guide resort itu mempunyai pengalaman yang merisaukan tentang salah lakunya di dalam air, menimbulkan kebimbangan tentang kesejahteraan dan keselamatan penyelam di bawah pengawasannya.
Ia difahamkan pihak Utama Villa Tulamben telah memfailkan laporan polis terhadap lelaki berkenaan, menyenaraikan tuduhan pecah masuk, curi dan kekejaman terhadap haiwan. Pada masa penulisan, pihak berkuasa di Bali kini sedang menyiasat kes tersebut.