Mudahkan Perjalanan Anda dengan Pengangkutan Percuma
Ini Jadual Lengkap Bas Pintar Di Miri. Miri telah memperkenalkan perkhidmatan bas pintar percuma dengan 14 buah bas yang memulakan operasi percubaan mulai 1 Oktober. Bas ini dijangka akan memberi manfaat besar kepada penduduk tempatan, terutamanya di kawasan-kawasan utama seperti Permyjaya, Taman Tunku, Senadin, Tudan, dan kawasan lain di sekitar bandar Miri.
Sistem bas pintar ini dilengkapi dengan skrin LED di bahagian hadapan bas yang memaparkan laluan-laluan utama, memudahkan pengguna untuk mengenal pasti destinasi mereka. Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam di bandar ini.

Laluan dan Jadual Bas
Setiap bas telah ditugaskan ke laluan-laluan tertentu untuk memastikan liputan yang lebih luas dan kekerapan yang sesuai bagi memenuhi keperluan penduduk. Berikut adalah pembahagian bas mengikut kawasan:
- Permyjaya (Laluan 62) – 4 buah bas dengan 7 perjalanan sehari.
- Taman Tunku (Laluan 26) – 2 buah bas dengan 7 perjalanan sehari.
- Senadin (Laluan 66) – 2 buah bas dengan 6 perjalanan sehari.
- Tudan (Laluan 68) – 2 buah bas dengan 6 perjalanan sehari.
- Hospital Miri (Laluan 33) – 1 buah bas dengan 7 perjalanan sehari.
- Sungai Rait (Laluan 13) – 1 buah bas dengan 5 perjalanan sehari.
- Bakam (Laluan 15) – 1 buah bas dengan 5 perjalanan sehari.
- Jalan RTM (Laluan 37) – 1 buah bas dengan 8 perjalanan sehari.
- Kuala Baram (Laluan 01) – laluan baru dengan 5 perjalanan sehari.

Adalah diingatkan agar orang ramai menjaga kebersihan dan kelestarian bas ini. Tindakan seperti menconteng atau menulis nombor telefon di kerusi bas adalah tidak beretika dan merosakkan kemudahan awam. Sikap bertanggungjawab ini penting agar kemudahan yang disediakan terus berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan lancar untuk jangka masa panjang.

