Nikmat ABC Cendol Ada Di Sini
Ini Lokasi ABC Cendol Yang Padu Untuk Anda Layan ‘Cool’ Di Kuching. Sebut sahaja ABC Cendol atau Kacang Ais, pasti anda teringat akan kemanisan dan kenikmatan rasa dinginnya membelai tekak anda. Apatah lagi diminum bersama hidangan ringkas seperti cucur dan rojak. Bagi anda yang tengah bosan dan mencari port ABC Cendol mana yang best di Kuching, ini pilihan lokasi yang telah kami senaraikan sebagai panduan anda.
1. Hometown Ice Kacang, Satok

Pada asalnya, tapak kedai ini merupakan salah satu cawangan kedai ABC popular di Kuching iaitu Swee Kang. Namun, kini ia dikenali dengan nama Hometown Ice Kacang. Ia berada bertentangan dengan kedai cucur udang RL di Satok. Jika anda berkunjung ke sini, jangan lupa untuk memesan menu popular mereka iaitu ABC Gula Apong Tradisional. Dibuka setiap hari pada jam 11 pagi hingga 6 petang, anda juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan tempatan seperti char kuey teow, cucur campur dan mi belacan. Pendek kata, kedai ini merupakan port penyejuk tekak paling dekat untuk anda yang berada di tengah Bandaraya Kuching.

Maklumat penting
Lokasi: Jalan Satok, Lorong 3, 93400 Kuching, Sarawak
Waktu operasi: 9am-6pm (Isnin-Ahad)
Facebook: Hometown Ice Kacang
2. Swee Kang Ice Kacang

Siapa tak kenal Swee Kang? Sebut sahaja kedai cendol ini, pasti ramai yang menelan air liur mengenangkan nikmat cendolnya yang manis dan kaya dengan buah-buahan. Menu yang terkenal di sini ialah Cendol ABC Special dan air White Lady. Selain daripada menu cendol, anda juga patut mencuba mi belacan, cucur campur dan rojak sotong. Kami cadangkan anda untuk pergi ke sini sekitar jam 3 hingga 4 petang kerana anda mungkin akan menunggu giliran meja dan kerusi sekiranya sampai pada waktu pulang kerja. Ramainya tak boleh bawa bincang!

Maklumat penting
Lokasi: Jalan Kulas – Haji Taha Interchange, Kampung Bandarshah, 93400 Kuching, Sarawak
Waktu operasi: 12:00pm-6:30pm (Setiap hari kecuali Selasa tutup)
Facebook: Swee Kang Ais Kacang
3. Ah Yong ABC Ais Kantong

Gerai ABC yang serba sederhana ini pula tidak kurang hebatnya. Walau pun berada di tepi jalan, gerai kecil Ah Yong ABC Ais Kantong ini boleh dikatakan sebagai salah sebuah gerai ABC yang sangat legend di Kuching. Menu signature nya ialah ais kantong iaitu ais kepal yang dituang dengan dua jenis sirap iaitu sirap ros dan sirap sarsi. ABC nya pula boleh didapati sama ada menggunakan susu sejat atau santan. Untuk ABC yang lebih ummph, pilihan kami ialah ABC santan.
Mula beroperasi pada tahun 80-an, ABC dan ais kantong yang dijual di sini masih lagi menggunakan kaedah sagat ais secara manual. Jika anda berhasrat untuk mencuba ABC dan ais kantong di sini, kami cadangkan supaya anda take away atau makan sambil bersiar-siar di Waterfront atau Carpenter Street kerana tempat duduknya terhad. Kebiasaannya, kerusi dan meja yang ada digunakan oleh pelanggan yang menunggu sementara pesanan dibuat. Bagaimanapun, lokasi Ah Yong ABC Ais Kantong ini telah pindah berhadapan dengan Tokong Tua Pek Kong, Kuching.

Maklumat penting
Lokasi: Sideway, Wayang St, 93000 Kuching, Sarawak. Difahamkan, lokasi baharu berhadapan dengan Tokong Tua Pek Kong, Kuching.
Waktu operasi: 12:00pm-5:30pm (Setiap hari buka kecuali Selasa tutup)
Facebook: Ah Yong Abc Ice Kantong
4. Cendol MAMI

Jika anda merupakan peminat cendol pulut, jangan lupa untuk singgah ke Cendol MAMI yang terletak tidak jauh dari Kubah Ria, Satok. Cendol pulut yang dihidangkan di sini sememangnya popular dalam kalangan warga Kuching dan juga pelancong terutamanya dari Semenanjung Malaysia. Bukan itu sahaja, menu yang paling popular di sini iaitu cendol pulut durian boleh didapati termasuk pada luar musim durian. Kedai ini juga sesuai untuk dijadikan tempat lepak dan santai kerana ia berada di dalam ruang yang agak tertutup. Inginkan semangkuk cendol yang meriah? Cendol MAMI lah tempatnya!

Maklumat penting
Lokasi: 1, Jalan Matang, Taman Melati 2, 93050 Kuching, Sarawak
Waktu operasi: 11am-6pm (setiap hari buka kecuali Isnin)
Facebook: Cendol MAMI
Ais Kacang di Kuching adalah sajian pencuci mulut yang popular dan boleh dijumpai di banyak tempat makan dan gerai jalanan. Pengunjung dan penduduk setempat boleh menikmati pelbagai Ais Kacang dengan pilihan topping yang melimpah. Setiap tempat menawarkan pengalaman yang unik dengan rasa dan tekstur yang berbeza-beza, menjadikannya sebagai pencuci mulut yang disesuaikan dengan selera masing-masing. Bagi siapa saja yang berkunjung ke Kuching, mencuba Ais Kacang adalah sebuah keharusan untuk merasakan kekayaan kuliner lokal.
Nikmati dos-dos manis anda di kedai ABC cendol pilihan anda. Jangan dibiar hati mengidam, takut nanti terkenang-kenang. Okay?
Selamat men’cendol‘!