Sedapnya durian bila dimakan bersama sagon kelapa
Ini Resepi Sagon Kelapa Guna 4 Bahan Sahaja, Penambah Nikmat Buah Durian. Sagon atau turut dikenali dengan nama sagun kelapa di Semenanjung merupakan sejenis hidangan sampingan atau jajan yang popular pada suatu ketika dahulu. Di Sarawak, sagon ini kebiasaannya dimakan bersama buah durian. Kalau dah cicah dengan durian, sebiji dua durian memang tak cukup dibuatnya!
Durian yang asalnya hanya manis dan lunak bertambah nikmat dan berlemak apabila dicicah bersama sagon kelapa ini. Mana tidaknya, rasa sagon kelapa yang sedikit masin, ditambah pula dengan lemak rasa kelapa parut membuatkan pengalaman anda memakan durian tidak akan sama lagi seperti sebelum ini.
Sagun kelapa ini juga pernah dijadikan makanan jajan nostalgia kanak-kanak pada zaman dahulu. Kebiasaannya, ia akan dibungkus dalam satu straw atau bekas plastik ‘aiskrim Malaysia’ dan dimakan serbuk sagunnya begitu sahaja. Jangan banyak cakap bila makan sagun ini. Kalau tersedak, memang habis tersembur pada orang sekeliling!
Sebenarnya, ada banyak versi resepi pembuatan sagon yang boleh anda buat sendiri. Ada yang menggunakan tepung sagu, ada juga yang menggunakan putih telur, dan tepung gandum. Tetapi, resepi sagon yang akan kami kongsikan kepada anda hari ini adalah yang paling ringkas kerana ia hanya menggunakan 4 bahan sahaja tetapi rasanya sangat enak dan lazat!
Jangan risau, mesti jadi punya!
Jom kita lihat cara membuat sagon kelapa yang sangat mudah menggunakan hanya 4 bahan sahaja.
Bahan-bahan
- 1 biji kelapa parut
- 250 g tepung beras
- 3 sudu gula pasir
- Sedikit garam
Cara membuat
- Di dalam kuali, sangai kelapa parut tanpa menggunakan minyak sehingga ia separuh kering.
- Kemudian, masukkan tepung beras dan teruskan sangai sehingga ringan dan betul-betul kering.
- Masukkan secubit garam dan 3 sudu gula pasir. Gaul lagi sehingga sebati.
- Angkat, sejukkan dan simpan ke dalam bekas. Selesai!
Mudah betul rupanya buat sagon kelapa ini. Lepas ini, tak perlulah anda susah-susah untuk cari sagon kelapa di kedai runcit kampung atau kedai yang menjual jajan tradisional. Guna 4 bahan ini sahaja, anda sudah boleh menghasilkan satu bekas besar sagon kelapa untuk dijadikan pelengkap hidangan durian anda!
Kalau nak beli kat Shopee pun boleh juga! Anda boleh menekan pautan berikut untuk membeli sagon kelapa :
Selamat mencuba!