Terima kasih orang-orang baik
Kanak-Kanak 3 Tahun Dari Bintulu Bakal Jalani Pemindahan Hati Berkat Dana RM 185K Orang Awam. Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Ezekiel Balan Philip, yang memerlukan pemindahan hati dan rawatan di China, akhirnya berjaya memperoleh dana sebanyak RM185,000 yang diperlukan.
Ibunya, Sharonica Jones, berkata selepas kisah Ezekiel dikongsi di media sosial semalam, seorang pentadbir dari sebuah akaun media sosial menghubunginya dan memaklumkan bahawa dia telah berusaha mendapatkan bantuan daripada pengasas Misi, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi.

“Dalam beberapa minit, pengasas Misi menelefon saya dan memberitahu bahawa dana sebanyak RM185,000 telah berjaya dikumpulkan untuk rawatan Ezekiel.
NGO turut tawar bantuan urus penerbangan ke China
“Pada masa yang sama, Puan Mars dari NGO Nadi Permata Malaysia turut menghubungi saya dan menyatakan komitmen mereka untuk membantu menguruskan perjalanan Ezekiel ke China bagi rawatan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Sharonica turut dimaklumkan bahawa Nadi Permata Malaysia akan mendapatkan dokumen kelulusan etika yang diperlukan, yang dijangka mengambil masa sekitar satu hingga satu setengah bulan.
Beliau mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk media, pengguna media sosial, dan rakyat Malaysia yang prihatin.
Kanak-kanak tersebut telah berjuang melawan sindrom Alagille sejak lahir
Wanita berusia 35 tahun itu berkongsi bahawa anaknya telah berjuang melawan sindrom Alagille dan sirosis hati sejak lahir.
“Perjalanan Ezekiel dengan sindrom Alagille bermula pada tahun 2021 ketika dia baru berusia dua bulan. Gejala awal termasuk penyakit kuning yang menyebabkan kulit dan matanya bertukar kekuningan, yang akhirnya membawa kepada beberapa ujian darah serta prosedur pencitraan.
“Malangnya, sindrom Alagille, seperti kebanyakan penyakit jarang berlaku, tidak mempunyai penawar. Apa yang boleh dilakukan hanyalah menguruskan simptomnya secara berterusan,” jelasnya.
Ketika ini, Ezekiel sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur.
Keadaan hati Ezekiel semakin gagal berfungsi
“Ezekiel telah berada di PPUM hampir sebulan untuk pemantauan lanjut sebagai persediaan bagi pembedahan pemindahan hati yang dijadualkan berlangsung di Hospital Renji, Shanghai, China,” katanya.
Sharonica turut mendedahkan bahawa suaminya, Philip Neh, akan menjadi penderma hati bagi anak mereka.
Menurut maklumat daripada PPUM, keadaan Ezekiel yang kelihatan stabil sekarang hanyalah bersifat sementara kerana hatinya semakin gagal berfungsi.
Pemindahan hati merupakan satu-satunya harapan untuknya menjalani kehidupan yang sihat dan normal. Tanpanya, keadaan kesihatannya akan terus merosot.

