Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Kenali Gabuh Dan Sium, Atlet Lelaki Sabah Yang Pertama Layak Ke Sukan Olimpik. Dikurniakan gelaran Datuk pada tahun 2008 oleh kerajaan Sabah, kisah atlet wakil Borneo Utara Datuk Gabuh Piging dan Datuk Sium Bin Diau wajar disoroti untuk pengetahuan generasi muda. Dalam keadaan yang serba kekurangan, mereka masih berupaya untuk layak ke temasya Olimpik yang menjadi impian setiap atlet di muka bumi ini.
Apa rahsianya?
Datuk Gabuh dan Datuk Sium layak ke temasya Olimpik Melbourne 1956 sebagai wakil Borneo Utara (atau kini dikenali sebagai Sabah) dalam acara lompat kijang lelaki.
Melalui sebuah klip yang dikongsikan oleh pengguna Fazar Ria Muneera Safree di Facebook, kelihatan sebuah rakaman Sukan Olimpik Melbourne 1956 yang turut memaparkan perarakan pasukan Borneo Utara yang lengkap berpakaian blazer merah dan seluar putih berserta topi. Dalam temasya tersebut, Datuk Gabuh Piging diamanahkan untuk menjadi pembawa bendera Borneo Utara sewaktu upacara pembukaan. Datuk Sium pula boleh dilihat di kedudukan kedua terakhir dalam barisan perarakan kontinjen Borneo Utara.
Dalam acara tersebut, Gabuh berjaya mencatatkan lompatan sejauh 14.55 meter dan meletakkan beliau dalam kedudukan ke 24 daripada 28 orang peserta. Manakala rakan sepasukan, Sium pula merekodkan lompatan sejauh 14.09 meter dan berada di kedudukan ke 28.
Datuk Sium terjebak dengan sukan lompat kijang kerana ‘pengaruh’ seorang dresser
Salah seorang atlet Borneo Utara, Datuk Sium mempunyai kisahnya yang tersendiri. Rakan Olimpik Gabuh ini merupakan seorang atlet lompat kijang yang berasal dari Kota Belud, Sabah. Datuk Sium dilahirkan pada 13 Oktober 1935. Menurut sumber, pembabitannya dalam bidang sukan terutamanya sukan lompat kijang bermula apabila beliau sering diajak untuk bermain sukan setiap petang oleh seorang penolong pegawai perubatan atau zaman dahulunya digelar ‘dresser’ yang bernama Haji Shafi. Bahkan, Haji Shafi lah yang sebenarnya mengajarnya sukan lompat kijang.
Memandangkan infrastruktur dan fasiliti yang serba kekurangan pada masa itu, ditambah pula dengan kawasan kampung Kota Belud yang kecil, Datuk Sium terpaksa berlatih di padang biasa atau di mana-mana sahaja tempat yang dirasakannya sesuai.
Datuk Sium juga aktif dalam sukan bola sepak tetapi beliau lebih mahir dalam sukan lompat kijang dan sering mewakili Kota Belud dalam pelbagai kejohanan di Kota Kinabalu.
Terpaksa lalui 2 halangan kelayakan sebelum layak ke Olimpik Melbourne
Dari situ jugalah beliau bertemu dengan rakan Olimpiknya iaitu Gabuh. Mereka berdua sentiasa meletakkan diri sebagai pemenang pingat dalam acara tersebut tetapi Datuk Sium mengakui bahawa Datuk Gabuh lebih hebat kerana mencatatkan rekod yang lebih tinggi daripadanya setiap kali kejohanan.
Lantaran itu, Datuk Sium telah dijemput untuk menyertai pusingan kelayakan 2 kali sebelum akhirnya berjaya mencapai sasaran untuk layak ke Sukan Olimpik mewakili Borneo Utara. Beliau mencatatkan jarak yang memberangsangkan iaitu 14.9 meter berbanding sasaran kelayakan iaitu sekitar 14.8 meter.
Kekangan bahasa punca Olimpik Datuk Sium tak berapa syok
Sewaktu menyertai Sukan Olimpik, Datuk Sium memberitahu bahawa beliau tidak begitu merasakan pengalaman itu sebagai sesuatu yang sangat menakjubkan kerana mereka tidak dapat berinteraksi dengan baik dengan peserta dari negara lain kerana kekangan dari segi bahasa dan komunikasi.
Tiada insentif buat Datuk Gabuh dan Datuk Sium
Atlet Borneo Utara pada ketika itu juga tidak berpeluang untuk merasakan pelbagai insentif seperti mana atlet pada hari ini. Datuk Sium dan Datuk Gabuh tidak menerima apa-apa insentif semasa mewakili Borneo Utara. Walau bagaimanapun, mereka berdua tetap beruntung kerana perjalanan mereka ke Melbourne, Australia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Borneo Utara. Walaupun begitu, Datuk Sium dan Datuk Gabuh tetap berasa gembira sepanjang berada di Olimpik dan turut diberi ‘belanja’ makan dan minum di sana.
Setelah pulang dari Olimpik, Datuk Sium tidak meneruskan kerjayanya sebagai atlet lompat kijang kerana beliau mempunyai kerjaya tetap sebagai guru sekolah rendah yang disandangnya sebelum beliau menyertai Olimpik lagi. Menurutnya, atlet pada zaman dahulu hanyalah sekadar kerjaya sampingan yang tidak begitu diambil serius dan dijadikan kerjaya professional seperti hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau kekal aktif dalam sukan bola sepak namun hanya sekadar bermain untuk mengisi masa lapang. Jika Datuk Sium berada di zaman sekarang, pasti beliau sudah dilamar menjadi jurulatih. Tetapi malangnya, pada waktu itu tidak banyak peluang yang ada. Apatah lagi gelanggang latihannya hanyalah padang biasa.
Datuk Sium bersara sepenuhnya dari bidang sukan pada tahun 1994. Kini, di usia 86 tahun, Datuk Sium masih berada dalam keadaan sihat dan menikmati kehidupan normalnya di Kampung Likas, Kota Kinabalu.
Datuk Gabuh pernah diiktiraf sebagai atlet lompat kijang terbaik di rantau ini
Sejarah kerjaya sukan Datuk Gabuh juga tidak terhenti setakat di Olimpik. Setelah bergelar atlet di bawah panji Malaysia, Datuk Gabuh diiktiraf sebagai atlet lompat kijang terbaik di rantau ini dan menjadi pemegang rekod lompat kijang kebangsaan yang pertama. Rekod lompatan sejauh 15.38 meter tersebut bertahan selama 23 tahun iaitu dari tahun 1963 sehingga tahun 1986.
Beliau bukan sahaja pakar dalam sukan lompat kijang, tetapi beliau juga merupakan atlet lompat jauh yang cemerlang. Datuk Gabuh mencipta rekod lompatan baharu kebangsaan sejauh 7.07 meter, meleburkan rekod yang dilakar oleh atlet Tanah Melayu, Lee Fun pada tahun 1938.
Dalam Kejohanan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) 1959, beliau sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 7.12 meter. Malang buat Datuk Gabuh, beliau sebenarnya boleh mengisi rekod tersebut dengan lompatan yang lebih jauh iaitu sejauh ~7.30 meter, (ukuran yang selalu dicapainya semasa sesi latihan) namun tidak dikira kerana lompatan dengan rekod tersebut adalah lompatan foul (lompatan tidak sah).
Terlepas peluang rangkul emas Sukan Komanwel Perth 1958
Jurulatih Amerika, Tom Rosandich yang melatih Datuk Gabuh pada waktu itu pernah memberitahu bahawa atlet dari Tambunan ini sebenarnya berpeluang untuk mencipta kejutan pada temasya Sukan Komanwel Perth Cardiff 1958 kerana beliau berupaya melakukan lompatan sejauh 15.85 meter dalam acara lompat kijang semasa sesi latihan. Walhal, pada temasya Sukan Komanwel 1958, pingat emas dalam acara tersebut dimenangi oleh Ian Ross Tomlinson dari Australia dengan catatan 15.74 meter sahaja, di belakang catatan terbaik Datuk Gabuh.
Datuk Gabuh terus mengharumkan nama Borneo Utara dan Malaysia dalam sukan lompat kijang apabila terus menempatkan diri di temasya tempatan dan antarabangsa yang lain seperti Sukan Komanwel dan Empayar British di Cardiff, Wales (1958) dan Perth, Australia (1962), Sukan Asia di Jakarta, Indonesia (1962), dan Kejuaraan Polis di Jesselton (kini dikenali sebagai Kota Kinabalu)(1959) dan di Kuala Lumpur (1974) serta Kejohanan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) pada tahun 1959.
Polis rupanya!
Sama seperti Sium, Datuk Gabuh juga mempunyai kerjaya tetap sebagai seorang anggota polis dan tetap menjalankan tugasnya selepas kembali dari Olimpik dan sewaktu temasya menyertai temasya-temasya yang lain. Menariknya, Datuk Gabuh ini juga merupakan seorang ahli muzik dalam band polis! Memang sangat berbakat!
Walau bagaimanapun, Sabah kehilangan legenda lompat kijang Datuk Gabuh Piging pada tahun 2010 atas faktor komplikasi kesihatan yang dihidapinya.
Sesungguhnya kisah Datuk Gabuh dan Datuk Sium ini membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil jika anda berusaha sedaya upaya dan mampu beradaptasi dengan keadaan semasa.