Kini dilantik sebagai pemangku Tun Abdul Taib Mahmud
Kenali Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Pemangku TYT Sarawak Terkini. Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar kini telah pun dilantik sebagai Pemangku Yang di Pertua Negeri Sarawak.
Ia berikutan ketiadaan Tun Abdul Taib Mahmud yang kini masih dalam proses pemulihan kesihatan di luar negara.
Abdul Taib sebelum ini berada di Turkiye untuk bercuti sebelum berhadapan masalah kesihatan dan menjalani prosedur pembedahan.
Beliau telah pun mengangkat sumpah di Bilik Menghadap Utama Astana Negeri Petra Jaya semalam.
Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut laporan daripada Astro Awani, ini bukan kali pertama beliau melaksanakan tugas tersebut, dan kali terakhir adalah pada 1 Disember 2019 hingga 11 Januari 2020.

Ini perjalanan karier Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar
Asfia sebelum ini dilantik sebagai Speaker sejak 15 Januari 2000. Beliau telah disambung tugas sebanyak lapan kali dan akan berakhir pada November depan.
Sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai Pemangku Yang di Pertua Negeri sebanyak lima kali.
Asfia merupakan Lulusan Undang-Undang daripada Leeds University, England dan memperoleh Barrister-at-Law dariInner Temple, London.
Beliau memperoleh ijazah lanjutan dalam bidang Pengurusan Pelabuhan dan Perkapalan dari University of Wales, Cardiff.
Beliau bertugas sebagai Penasihat Undang-Undang Perbadanan Kemajuan dan dan Perindustrian Kayu Sarawak dari tahun 1974 hingga 1976, sebelum bertugas sebagai Peguamcara dan Peguambela dari tahun 1976 hingga 2000.

Beliau dilantik Pengerusi Interfinance Berhad dari tahun 1980 hingga 1991, selain menjawat Ketua Pengarang The Sarawak Tribune dari tahun1990 hingga 2000.
Sejak tahun 2002, Asfia dilantik Pengerusi Tetap Parti PBB Sarawak dan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Parti PBB Sarawak.
Beliau juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi DUN Kuala Rajang (1979 hingga 1983) dan Serdeng / Semop (1991 hingga 2011).
Beliau dilantik Timbalan Speaker DUN Sarawak pada 1995 hingga 2000, sebelum dilantik sebagai Speaker DUN Sarawak bermula 15 Januari 2000.
