Mari kita bahaskan.
Kenapa Ada Orang Kata Rasa Laksa Sarawak Hampir Sama Seperti Mi Kari? Baru-baru ini, tular satu video yang bertanyakan pendapat peribadi orang awam tentang rasa laksa yang tidak mereka sukai. Namun, terdapat satu pendapat yang menarik perhatian terutamanya orang Sarawak.
Kalau tak suka laksa Sarawak tu tak mengapa, tapi menganggap rasa laksa Sarawak hampir sama seperti rasa mi kari itu adalah satu kesalahan yang tidak dapat diterima akal terutamanya bagi penggemar laksa Sarawak 😅
“Laksa mestilah ada isi ikan dan masam-masam sikit”
Menerusi video perkongsian tersebut, individu tersebut mengakui tidak menyukai laksa Sarawak kerana keliru dengan rasa laksa ikonik tersebut yang hampir sama seperti mi kari.
Tambah individu berkenaan lagi, sesebuah laksa mestilah dicampurkan dengan isi ikan dan memiliki profil rasa yang sedikit masam. Hmm.
Ramai tidak setuju dengan pendapat tersebut
Rata-rata netizen pula membantah keras pendapat individu berkenaan yang dikatakan tidak dapat membezakan rasa laksa Sarawak dan mi kari dengan jelas. Jelas netizen lagi, laksa Sarawak sememangnya tidak menggunakan sebarang perencah atau serbuk kari di dalamnya. Masakan pula rasanya seperti mi kari, kan?
Daphne Iking dah cuba buat dari scratch pes laksa Sarawak, dan memang tak ada perencah kari pun
Salah seorang selebriti terkenal Malaysia, Daphne Iking juga baru-baru ini pernah berkongsikan resepi laksa Sarawak yang beliau cuba sendiri.
Meskipun bukan berasal dari Sarawak, ramai yang memuji usaha Daphne yang cuba untuk membuat pes laksa Sarawak daripada ‘scratch’ – bukan beli pes yang sudah siap, tetapi membuat sendiri pes tersebut daripada bahan-bahan asli!
Dan jika anda amati resepi yang dikongsikan oleh Daphne, sememangnya pes laksa Sarawak ini tidak menggunakan sebarang perencah kari pun. Agaknya campuran rempah ratus dan bahan-bahan asli seperti serai, lengkuas dan halia yang memberikan profil rasa yang unik kepada laksa Sarawak.
Jika anda inginkan rasa laksa Sarawak yang sedikit masam, anda boleh meletakkan sedikit perahan limau ke dalam laksa anda. Potongan limau ini sememangnya akan dihidangkan sekali dalam laksa Sarawak jika anda berkunjung ke mana-mana restoran laksa Sarawak, di Sarawak.
Rasa itu subjektif, tapi kalau nak rasa yang sedap kenalah datang ke Sarawak
Rasa adalah sesuatu yang subjektif. Kita juga tidak boleh memaksa orang untuk menyukai sesebuah hidangan, tetapi apa yang boleh kita lakukan adalah menghidangkan kepada mereka versi terbaik. Dalam kes ini – laksa Sarawak. Jangan pula dikecam orang yang tidak suka hidangan kita, tak baik macam tu.
Mungkin abang tu pernah makan laksa Sarawak yang rasanya tidak begitu enak, dan lupa untuk disajikan potongan limau kot. Tak mengapa, kita santai dan husnuzon saja.
Nah, kalau nak rasa laksa Sarawak yang betul-betul autentik, asli dan konfem nak lagi, inilah masanya untuk datang merasainya sendiri di Sarawak. Dah pekena sekali, memang hari-hari jadi sarapan pagi!