Kerajaan Pertahan Pengecualian Subsidi Diesel untuk Sabah dan Sarawak
Kerjaan Tetap Pertahan Polisi Pengecualian Subsidi Diesel Untuk Sabah Dan Sarawak. Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan keputusan untuk mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada polisi penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan di Semenanjung, walaupun menerima writ saman daripada dua individu yang mencabar keputusan tersebut.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, saman itu berasaskan dakwaan bahawa keputusan kerajaan dianggap tidak adil serta diskriminasi kerana tidak melaksanakan dasar tersebut secara serentak di seluruh negara.

Tiada Diskriminasi Dalam Keputusan Pengecualian Subsidi Diesel – Menteri KPDN
“Itu hak mereka untuk membawa kes ini ke mahkamah, namun kerajaan akan mempertahankan keputusan ini. Kita akan menjawab kerana polisi ini bersandarkan kepada fakta dan keperluan sebenar,” kata Armizan.
Keputusan Berdasarkan Keperluan, Bukan Kehendak
Menurut Armizan, keputusan kerajaan untuk mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada penyasaran subsidi diesel dibuat berdasarkan keperluan yang unik di kedua-dua negeri tersebut. Beliau menjelaskan bahawa keadaan infrastruktur dan geografi di Sabah dan Sarawak memerlukan penggunaan diesel yang meluas. Tambahan pula, ramai yang tidak menyedari jurang harga barang antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak yang agak tinggi.
“Walaupun gaji dalam sektor awam adalah sama, harga barang seperti ayam, daging, dan perkhidmatan lain jauh lebih tinggi di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung,” jelasnya. Beliau berharap rakyat dapat memahami perbezaan ini dan rasional di sebalik keputusan kerajaan.
Tiada Unsur Diskriminasi
Ahli Parlimen Papar itu turut menolak dakwaan bahawa terdapat unsur diskriminasi antara rakyat Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Menurut Armizan, keputusan ini dibuat berdasarkan situasi unik yang dihadapi oleh penduduk di Sabah dan Sarawak, bukan kerana sebarang niat untuk mendiskriminasi mana-mana pihak.
“Perdana Menteri pun berasal dari Semenanjung Malaysia. Tiada sebarang niat beliau untuk mendiskriminasi rakyat di kawasan parlimennya sendiri. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keadaan sebenar di Sabah dan Sarawak,” tambah Armizan semasa lawatannya ke Kompleks Sukan Likas bagi persiapan Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah.
Sebelum ini, dua individu telah memfailkan saman terhadap Perdana Menteri dan tiga lagi menteri kabinet, mendakwa keputusan untuk menarik subsidi diesel di Semenanjung sambil mengecualikan Sabah dan Sarawak adalah tidak adil, berat sebelah, dan diskriminasi terhadap rakyat Semenanjung Malaysia.

