Disebabkan itu, dia terpaksa menukar temujanji dengan klien nya di kafe yang lain.
Kerana Gangguan Sambungan Wifi, ‘Karen’ Kuching Beri Rating Buruk Untuk Kafe Di Kuching Ini. Kafe moden biasanya mempunyai sambungan wifi percuma untuk pelanggannya. Kebiasaannya, kemudahan ini adalah suatu nilai tambah untuk sesebuah kafe memandangkan zaman sekarang, semua urusan dapat dilakukan di hujung jari. Tapi kalau tak ada wifi pun, ia tidak mengurangkan fungsi kafe tersebut sebagai sebuah tempat makan, minum dan bersantai.
Lain pula ceritanya dengan seorang pelanggan kafe di Kuching ini. Menerusi perkongsian pemilik kafe tersebut, pihaknya menerima sebuah pandangan atau pun review yang kurang ‘sedap’ daripada salah seorang pelanggannya. Walaupun tidak dinyatakan di manakah pandangan ini dibuat, namun isi kandungan pandangan berbaur sedikit ‘privileged’.
“Kami rasa kami tak buka kedai siber kafe”
Menurut pelanggan wanita tersebut, dia berkunjung ke kafe tersebut untuk tujuan temujanji dengan klien. Sewaktu membuat pesanan, dia telah meminta kata laluan wifi untuk membolehkannya membuat kerja menggunakan tabletnya. Namun demikian, setelah beberapa ketika, sambungan wifi nya terganggu dan meminta untuk diberikan kata laluan baru buat kali kedua. Pelayan kafe enggan memberikan kata laluan baru memandangkan wanita tersebut telah diberikan kata laluan sebelum ini.
Tidak berputus asa, wanita ini kemudiannya dengan selamba meminta agar sambungan wifi ke tablet nya diputuskan dan disambungkan semula ke telefon pintarnya. Pelayan kafe tersebut tetap enggan menunaikan permintaan wanita tersebut.
Disebabkan situasi gangguan sambungan wifi tersebut, dia dikatakan terpaksa menukar temujanjinya dengan klien di kafe yang lain dan menganggap bahawa pengalamannya di kafe tersebut adalah sebuah pengalaman buruk. Malah, wanita tersebut juga memberitahu bahawa dia tidak akan berkunjung lagi ke kafe tersebut.
Tapi netizen perasan sesuatu
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang agak pelik dengan tindakan wanita tersebut. Kafe kebiasaannya memberikan kata laluan wifi sebagai bonus atau tanda penghargaan di atas pesanan dan kunjungan pelanggan. Namun, wanita ini menganggap bahawa sambungan wifi adalah salah satu perkhidmatan yang wajib dan mesti berfungsi di sesebuah kafe.
“Aiya. Kenapa nak salahkan kedai pula untuk masalah internet? Bukan ke semua orang ada internet masing-masing,”
“Gara-gara internet, tiba-tiba kena label ‘pengalaman buruk’. Gosh.”
“Kalau macam tu, tak ada wifi maksudnya banyak tempat dia tak boleh nak pergi lagi lepas ni”
“Wifi lembab pun kena komplen ke? Lol”
Seorang netizen sempat bertanya kepada pemilik kafe ini adalah mereka sudah mencadangkan kepada wanita tersebut untuk membeli menu lain untuk mendapatkan kata laluan baru. Namun demikian, pemilik kafe ini memberitahu bahawa pekerjanya sudah menjelaskan dengan sopan namun ternyata, penerangan tersebut tidak cukup bagus untuk memberi kefahaman kepada wanita tersebut.
Anda rasa wajar ke tak tindakan pelanggan wanita ini beri rating buruk kepada kafe ini? Sebagai pelanggan atau pemilik kedai? Cuba komen sikit.