Muncul beberapa saat, terus jadi sensasi dunia.
Ketampanan Perenang Olimpik Asal Sarawak, Welson Sim Jadi Kegilaan Netizen China Dan Thailand. Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah pun memulakan saingannya sejak Khamis yang lalu. Pada upacara pembukaan yang berlangsung pada malam hari Jumaat yang lalu, kontinjen Malaysia telah berarak dengan memperagakan busana ala-ala kesultanan Melayu dengan suntikan corak geometri moden.
Walaupun kontinjen Malaysia merupakan antara kontinjen kecil yang menyertai Olimpik Tokyo 2020, namun demikian salah seorang atlet negara telah berjaya mencuri tumpuan dunia terutamanya netizen di China dan Thailand.
Atlet kelahiran Kuching curi tumpuan netizen China dan Thailand
Atlet Malaysia yang merupakan atlet renang yang berasal dari Kuching, Sarawak, Welson Sim telah menjadi bualan netizen di China dan Thailand dek kerana ketampanan wajahnya semasa beliau mengenakan busana baju melayu dan tengkolok geometri.
Ketampanan perenang yang berusia 24 tahun ini telah mencuri tumpuan walaupun hanya muncul selama beberapa saat setelah kamera menghalakan ke arah beliau semasa giliran kontinjen Malaysia berarak. Paparan ini semestinya telah dipancarkan ke seluruh dunia dan tidak semena-mena ‘mencairkan’ hati netizen China dan Thailand.
Netizen China segera buat carian siber untuk mengetahui siapakah sebenarnya Welson Sim
Klip pendek sewaktu siaran langsung tersebut telah beredar ke platform sosial media di China, Sina Weibo. Susulan itu, netizen China yang tertanya-tanya tentang siapakah gerangan Welson Sim atau digelar “Shen Weisheng” itu telah membuat carian siber tentang profil beliau.
Menerusi komen yang telah dikongsikan oleh netizen di laman Weibo itu, rata-rata netizen memuji wajah Welson Sim yang begitu tampan walaupun terselindung di sebalik pelitup separuh muka. Bukan itu sahaja, ada juga yang mengakui jatuh cinta kali pertama terhadap atlet tampan ini.
Malah, ada juga yang memuat naik foto Welson Sim yang diperoleh dari Instagram dan menyifatkan wajah Welson Sim ini meninggalkan tanggapan atau impresi yang besar walaupun hanya dengan sekilas pandang.
Antara komen lain yang dikongsikan oleh pengguna Weibo di China seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan adalah seperti berikut;
“Pasukan Malaysia ada shuai ge (lelaki hensem)”
Zixi
“Ini semua kerana aku telah melihatmu sekali lagi dalam keramaian orang” – Petikan lagu Chuanqi (Legenda), lagu popular yang dibawakan oleh penyanyi China, Li Jian.
Pengguna Weibo
“Tiba-tiba, saya rasa seperti sayalah air di dalam kolam,” – Netizen Thailand
Sensasi ini bukan sahaja hangat dirasakan oleh netizen China, malah ia turut menjadi perhatian netizen dari Thailand. Gara-gara ketampanan Welson Sim, netizen Thailand tidak kurang pantas ‘mengorek’ sejarah kerjaya Welson sebagai perenang dan menemui sekeping gambar yang memaparkan Welson bersama rakan sepasukan negara yang semuanya…tampan!
Ciapan ini telah mendapat sebanyak 17.2 ulang ciap dan lebih 7K tanda suka. Balasan ciapan ini juga mendedahkan bahawa pemilik gambar dari Instagram ini (Welson Sim) adalah lelaki yang berada di kedudukan paling kiri.
“Tiba-tiba, sayalah air yang ada di dalam kolam”
Pengguna Twitter, @chocogarnish
Untuk makluman anda, Welson Sim merupakan salah seorang daripada 30 atlet yang mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Beliau berentap dalam acara 400 meter dan 200 meter gaya bebas namun gagal untuk melepasi pusingan kelayakan setelah sekadar menduduki tangga keenam dan ketujuh untuk masing-masing kategori. Di sebalik kegilaan netizen itu, rata-ratanya termasuk netizen Malaysia sendiri mengucapkan selamat maju jaya buat beliau dan pasukan Malaysia untuk temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Tahniah buat Welson Sim! Ganbatte Malaysia!