Berdasarkan sebuah cerita rakyat dari Sabah
Membawa Malang Kepada Keluarga, Kisah Sedih Anak Kembar Di Sabah. Pada zaman dahulu, terdapat banyak omen yang dipercayai oleh masyarakat masa lalu. Bagi kaum etnik di Sabah, ia dipercayai pada suatu masa dahulu bahawa anak kembar akan membawa malang kepada keluarga.
Cerita rakyat ini pula mengisahkan tentang sepasang kembar yang telah menjadi mangsa keadaan serta kesanggupan seseorang bapa yang rela melanggari adat demi anak-anaknya.
Kisahnya bermula dengan pengenalan seorang lelaki dari Sabah yang ingin berkahwin
Pada suatu ketika dahulu di Sabah, terdapat seorang lelaki yang ingin berkahwin. Dia telah mencuba nasib di kampung halamannya tetapi tidak berjaya, malah setiap wanita di kampungnya tidak mempunyai ciri-ciri yang dia berminat untuk dijadikan isterinya.
Bukan hanya di kampung halamannya, tetapi di kampung lain tiada juga calon isteri yang sesuai untuknya. Bimbang dengan keadaan ini, dia memutuskan untuk bertemu dengan seorang dukun.
“Saya sedang mencari seorang calon isteri tetapi saya tak berjaya setakat ini. Mungkin ini adalah petanda dari para dewa, bahawa mereka tak mahu saya kahwin,” katanya kepada dukun itu.
Dukun itu kemudian berkata,
“Para dewa mahu kamu berkahwin tetapi bakal isterimu tinggal di Papar. Dia sedang menunggumu di sana.”
Setelah diberitahu itu, lelaki itu berangkat ke Papar.
Berjumpa dengan seorang wanita cantik
Setibanya di Papar, dia bertemu dengan seorang wanita yang sedang mencuci pakaian di perigi. Wanita tersebut sangat cantik – lelaki itu terus terjatuh cinta dengan wanita itu.
Dia mengikuti wanita itu ke kampungnya dan memutuskan untuk mengunjungi rumah wanita itu. Ketika dia tiba di rumah wanita itu, ayah wanita itu melihat lelaki itu berdiri di hadapan rumah mereka.
“Mengapa kamu mengikuti anak perempuan saya dan apa yang kamu mahukan?” tanya ayah wanita itu.
Lelaki itu kemudian menjawab,
“Saya datang ke sini sebab saya diberitahu bahawa saya akan bertemu dengan bakal isteri saya. Apabila saya tiba, saya melihat anak encik di tepi perigi. Saya jatuh cinta dengannya dan mengikutinya ke sini dengan harapan saya dapat menikahinya. Saya ingin meminta izin daripada encik untuk menikahinya.”
Semestinya ayah wanita itu terkejut. Sebelum membuat keputusan, ayah wanita itu menjemput lelaki tersebut ke dalam rumah untuk berbincang tentang perkara ini.
Ayah wanita kagum dengan lelaki terbabit
Lelaki itu bukan sahaja handsome, malah dia pun seorang yang jujur. Setelah menilaikan lelaki itu, ayah wanita tersebut membenarkannya untuk menikahi anak perempuannya. Wanita tersebut pun bergembira dan bersetuju dengan perkahwinan itu setelah melihat betapa jujurnya lelaki itu.
“Kamu boleh berkahwin dengan anak perempuan saya. Jaga dia dengan baik dan pastikan tiada bahaya menimpanya,” kata ayah wanita itu.
Setelah bersetuju dengan ayah wanita itu untuk menjaga wanita tersebut, majlis perkahwinan pasangan itu dibuat di Papar. Setelah tinggal di Papar selama dua bulan, dia memutuskan untuk membawa isterinya pulang ke kampung halamannya.
Isteri tidak dapat mengandung, namun seorang kawan memberinya herba
Apabila pasangan suami isteri itu tiba di kampung si suami, sebuah majlis sambutan diadakan. Penduduk kampung si suami terkejut melihat betapa cantiknya isterinya. Mereka turut mengucapkan tahniah kepada lelaki itu atas pilihannya.
Mereka hidup bahagia tetapi tidak dapat mempunyai anak. Mereka berasa sedih dan kecewa. Malah, si suami pergi menemui pelbagai dukun tetapi mereka semua mengatakan bahawa ia belum masa yang tepat untuk isterinya hamil.
Pada suatu hari, si isteri berjumpa dengan seorang kawan yang memberinya beberapa herba. Dia mengambil herba itu dan tak lama kemudian, dia mengandung anak pertamanya.
Semasa ini, si suami mempunyai sebuah mimpi aneh. Dalam mimpinya, dia melihat dua bintang. Satu bintang besar dan terang, manakala yang satu lagi kecil dan redup. Dia hairan apakah maksud mimpi tersebut. Pada masa yang sama, dia merasa gelisah dan bercakap dengan isterinya. Isterinya kemudian mencadangkan agar dia berjumpa dengan dukun dan bertanya apa maksud mimpi itu.
Sebuah petanda buruk
Pada hari seterusnya, dia berjumpa dengan seorang dukun. Setelah menyatakan mimpinya, dukun itu berkata,
“Mimpi itu adalah petanda buruk. Isteri kamu akan melahirkan anak kembar. Salah seorang akan menjadi jauh lebih kuat daripada yang satu. Kembar yang lebih kuat akan selalu menguasai kembar yang lemah.”
Setelah mendengar penjelasan dukun itu, si suami merasa sedih. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu isterinya mengenai berita ini. Dia memutuskan untuk tidak memberitahu sesiapa. Pada zaman itu, sekiranya seorang wanita melahirkan anak kembar ia dianggap perkara yang tak bagus.
Apabila anak kembar itu lahir, salah seorang rupa normal manakala seorang lagi mempunyai leher panjang dan cakar yang panjang dan bukannya jari. Anak yang rupa normal lemah tetapi yang seorang lagi berjalan seperti ketam dan semua kanak-kanak menjauhinya.
Ibu meninggal dunia, anak kembar dihasut keluar dari kampung
Kedua-dua ibu bapa menyayangi mereka. Anak kembar lelaki itu kemudian membesar tetapi pada masa yang sama, ibu mereka menjadi lemah. Pada suatu hari, ibu mereka sedang mencuci baju tetapi malangnya, dia terjatuh dan terus meninggal dunia. Si suami dan anak-anaknya merasa sangat sedih.
Pada zaman itu, ia adalah adat tempat itu bahawa ketika ibu meninggal, anak kembar harus dibawa ke tempat terpencil di hutan dan dibiarkan mati. Namun, bapa mereka enggan melakukan ini. Dia terlalu menyayangi anak-anaknya
Apabila penduduk kampung mengetahui tentang keputusan si bapa, mereka terus berjumpa dengan lelaki itu.
“Kenapa kamu simpan mereka di dalam rumah? Mereka membawa sumpahan atas keluargamu. Kamu mesti ikut adat. Hantar mereka ke tempat jauh sebelum mereka membawa malapetaka ke atas kampung ini!” kata mereka kepada si bapa.
Sedih dengan perkara ini, si bapa membawa anak-anaknya ke dalam hutan. Walau bagaimanapun, anak-anaknya merayu kepada bapa mereka agar tidak meninggalkan mereka. Betapa sayangnya kepada anak-anaknya, si bapa memutuskan untuk tinggal bersama mereka.
Mereka kemudian berjalan sehingga mereka sampai di sebuah gua. Ia dikatan gua ini terletak berhampiran terowong kereta api di Papar namun gua ini tak pernah dijumpai.
Hidup di dalam gua sehingga si bapa mati
Ketiga-tiga mereka hidup di dalam gua itu. Mereka memakan buah-buahan dan memburu binatang liar untuk sumber makanan. Kembar yang lebih kuat sering menjaga kembar mereka yang lemah.
Setelah beberapa tahun, bapa mereka pun telah uzur. Dia memanggil anak kembarnya yang lebih kuat dan mengatakan,
“Kamu lebih kuat daripada kembar kamu. Saya sudah tua. Kamu mesti menjaga kembar kamu.”
Si bapa kemudian meninggal dunia. Kedua-dua anaknya menangis sekian lama. Sejak itu, kembar yang lebih kuat sentiasa menjaga kembarnya yang lemah. Malah, kembar yang lebih kuat sentiasa keluar memburu dan kembali untuk menyediakan makanan untuk mereka berdua.
Pada suatu hari semasa kembar yang lebih kuat keluar memburu, seekor harimau memasuki gua mereka. Harimau ini kemudian menyerang kembar yang lebih lemah dan membunuhnya.
Apabila si kembar yang kuat pulang, dia terlihat kembarnya sudah mati. Dia merasa sangat marah dan mencari harimau itu. Setelah menemui harimau tersebut, dia membunuh binatang itu.
Kembar ini kemudian mengebumikan kembarnya yang telah mati di dalam gua kediaman mereka. Dia menangis berhari-hari dan tinggal di dalam gua itu berseorangan diri sehingga dia mati.