Filem bergenre dokumentari ini bakal ditayangkan di Cinebalu On-Line, 12th Kota Kinabalu International Film Festival.
Kisah ‘Ring Ladies’ Bidayuh Sarawak Dipertontonkan Menerusi Festival Filem Antarabangsa Pertama Di Borneo. Filem dokumentari yang bertajuk “The Last Ring Ladies” bakal ditayangkan kepada penonton di seluruh dunia apabila ia disenaraikan dalam program Cinebalu Online Screening sempena Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIF) yang ke-12.

The Last Ring Ladies menceritakan tentang kisah gadis bergelang tembaga terakhir dari suku kaum Bidayuh, Peluk anak Apeh. Beliau yang sebelum ini tinggal di kawasan tanah tinggi terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana hidup di tempat yang baharu, jauh dari kampungnya. Bukan itu sahaja, menerusi dokumentari ini, para penonton diajak untuk menyelami perasaan Peluk melihat petempatan asal Bidayuhnya dihambat pembinaan empangan.
Namun demikian, Peluk didakap hikmah baharu apabila seorang pereka fesyen, Miss Leng Lagenda telah bekerjasama dengan Peluk untuk mencipta koleksi pakaian berdasarkan warisan wanita bergelang tembaga sekaligus memperkenalkan fesyen tradisi ini kepada dunia moden.
Filem tersebut merupakan arahan pengarah kelahiran Sarawak, Nova Goh. Beliau merupakan graduan komunikasi visual dari National Taiwan University of Arts. Sewaktu berada di sana sejak tahun 1999, beliau telah mendapat ilham daripada pengaruh filem indie dan telah menghasilkan beberapa karya projek filem pendek. The Last Ring Ladies adalah karya dokumentarinya yang terkini selepas Red Rain on the Equator yang ditayangkan di seksyen New Asian Currents, Festival Filem Dokumentari Antarabangsa Yamagata di Jepun pada tahun 2011.

Dari Malaysia hingga ke Sepanyol, KKIF himpunkan filem indie antarabangsa ke Sabah
Selain dokumentari The Last Ring Ladies, sebanyak 37 filem lain merangkumi pelbagai genre dan tema dari rantau Asia dan Eropah juga bakal ditayangkan untuk tontonan orang ramai. Antaranya adalah filem Malaysia bertemakan kekeluargaan bertajuk Sometime, Sometime, arahan pengarah graduan Universiti Malaysia Sarawak, Jacky Yap. Filem Burung-Burung arahan pengarah asal Kota Kinabalu, Anwar Johari Ho, Paramapatham arahan Viknes Perrabu & Thanesh Perrabu, Escitalopram (Toon Jia Ren), dan Mitos/Myths (Nazmi Suhaimi).



Dokumentari ini akan ditayangkan pada 15 dan 16 Oktober 2021 di laman sesawang Cinebalu. Penonton yang berhasrat untuk menonton The Last Ring Ladies ini boleh melanggan Cinebalu On-Line di laman sesawangnya , https://cinebalu.kkiff.com/movies.cfm. Hanya dengan bayaran RM 20 sahaja, anda berpeluang menonton 38 buah filem-filem indie berkualiti dari Indonesia, Thailand, Sepanyol, Jerman, Jepun dan banyak lagi.
Festival filem antarabangsa yang pertama di Borneo
Tahun ini menandakan tahun ke-12 Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIF) diadakan walaupun hanya secara dalam talian sahaja. Dengan matlamat untuk menghimpunkan penggiat dan karya filem-filem antarabangsa ke Sabah, festival yang mula dianjurkan pada tahun 2009 ini merupakan festival filem antarabangsa yang pertama dan terlama diadakan di Kepulauan Borneo. Pelbagai program dilaksanakan sempena pelaksanaan festival filem ini seperti webinar yang membincangkan tentang meraikan perbezaan, diskusi berkaitan festival filem indie, perkongsian tentang filem orang asli dan isu ‘censorship’ serta kesannya kepada penggiat filem di Sabah.

Bukan itu sahaja, festival filem ini juga mengetengahkan kursus untuk mencungkil perantis baharu dalam bidang perfileman. Mereka akan dibimbing oleh mentor untuk menghasilkan sebuah filem pendek dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Anda boleh melihat jadual tayangan Cinebalu On-Line bermula 13 hingga 17 Oktober 2021, seperti yang tertera berikut;

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman Facebook rasmi KKIF.
Sokonglah industri filem tempatan dan selamat menonton!