Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian
Koperal Polis Maut, Van Dipandu Dihempap Pokok Tumbang Di Lahad Datu. Dilaporkan bahawa, seorang anggota polis berpangkat koperal maut apabila van polis yang dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Gelugor, Felda Sahabat 16, Tungku di Lahad Datu semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, dalam kejadian 2.30 petang itu mangsa berusia 44 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa sedang memandu sebaik sahaja pokok tiba-tiba tumbang
Kata beliau, mangsa sebelum itu memandu dalam perjalanan dari arah Komtek Sahabat 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) menuju ke Pantai Sahabat 16.
Dikatakan sebaik sahaja di lokasi kejadian, sebatang pokok di bahu kanan jalan tiba-tiba tumbang dan menghempap van dipandu mangsa.
Kejadian berkenaan turut disaksikan seorang lagi anggota polis yang kebetulan sedang menunggang motosikal dari arah bertentangan, tambah beliau lagi dalam kenyataan.

Berharap siasatan kes dapat disegerakan
Dalam masa yang sama, Dzulbaharin turut berdukacita dengan kejadian yang menimpa mangsa dan berharap siasatan kes dapat disegerakan bagi memudahkan urusan keluarga mangsa.
Menurut beliau, siasatan kini masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Baliau berkata jika terdapat mana-mana individu yang melihat kejadian, boleh terus menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

