Ada yang menyatakan untuk mengelakkan rogol, manakala ada juga yang mengatakan untuk menghalang mengebumikan mayat lain
Kubur Dipasang Gril, Siap Ada ‘Padlock’, Penduduk Tempatan Dedah Kisah Sebenar. Sekeping gambar memaparkan tanah perkuburan dengan gril yang dibina dan dikunci dengan manga (padlock) menjadi tular di media sosial, sekaligus menimbulkan pertanyaan daripada warga netizen.
Sebelum ini, gambar tersebut telah dikongsi oleh akaun bernama Harris Sultan, dan ia dengan pantas menjadi viral di Twitter.
Ciapan lelaki tersebut menjadi perbualan ramai
Bagaimanapun, menerusi perkongsiannya di laman Twitter, lelaki itu mendakwa dalam kapsyen postingannya bahawa kubur itu terletak di Pakistan.
“Pakistan telah mewujudkan masyarakat yang terangsang dan kecewa secara seksual sehingga orang ramai memasang kunci pada kubur anak perempuan mereka untuk mengelakkan mereka daripada dirogol,” tulisnya.
Menurut sumber, ciapan itu menjadi tular apabila sebuah portal melaporkan bahawa ibu bapa di Pakistan terpaksa memasang kunci pada kubur anak perempuan mereka untuk mengelakkan kes rogol.
Namun menurut kajian portal itu, kejadian nekrofilia iaitu amalan seksual melibatkan mayat, semakin meningkat di negara tersebut.
Bagaimanapun, seorang warga maya menafikan perkara rogol tersebut
Sementara itu, maklumat berkenaan kemudian disanggah oleh warga maya yang menafikan laporan portal berkenaan dan ciapan asal yang didakwa tidak tepat.
Bukan di Pakistan, tapi di India?
Difahamkan, gambar pengebumian atau kubur itu bukan dari Pakistan, sebaliknya dari Telangana, India.
Bukan itu sahaja, warga maya turut menjelaskan bahawa gril dan kunci dipasang untuk menghalang orang lain daripada mengebumikan mayat di dalam kubur tersebut.
“Kubur yang ‘terkunci’ itu terletak di India dan bukan di Pakistan. Keluarga seorang wanita berusia 60 tahun mengunci kubur itu dengan gril besi untuk melindungi tempat tersebut, menurut penduduk tempatan,” demikian ciapan seorang netizen.
