Al-fatihah…
Kuching Kehilangan Salah Satu Legend Scene Muzik Undergroundnya. Minggu lepas, kebanyakkan pemain muzik underground tak kira genre apa telah digemparkan berita apabila salah seorang pengasas muzik underground Kuching telah pergi selama-lamanya. Abang Saiful Zahrin atau lebih dikenali sebagai Epul, Sepul atau Saiful, merupakan salah seorang individu penting dalam mengasaskan Disharmonic Movement dan turut menyediakan platform kepada semua band-band tak kira genre apa untuk memainkan muzik mereka dan membantu dalam penyatuan semua pemain muzik di Kuching.
Disharmonic Movement
Menurut adik arwah, Kojack Abg Abd Rahim, gerakan Disharmonic Movement adalah idea arwah Sepul, dan merupakan pecahan idea penubuhan band United Kids Of Oi (UKOi). Kata beliau,
“Movement ini adalah untuk menyatukan crowd band kami disebalik menyatukan skinhead dan punk sahaja. Ia diasaskan untuk menyatukan semua, cuma ia bermula dari band sendiri dahulu.”
Katanya lagi, arwah Sepul kemudian mengumpul semua ketua-ketua band berpengaruh di Kuching mengikut kawasan, seperti Vormit, Niang, etc. di BDC, Roblitz, PJ HARDCORE, Rukun 13, Kurasakuasa untuk PJ dan selebihnya band-band aktif pada masa itu.
Setiap komuniti akan menyumbang idea-idea siapa yang patut diberi platform untuk bermain di gig Kuching supaya tiadanya unsur pilih kasih atau berat sebelah. Ini merupakan antara projek yang berjaya untuk awal tahun 2000-an.
“Kami hanya bermula dengan modal sendiri untuk menyewa barang. Menjelang 2008, kami sudah ada studio untuk berkongsi idea dengan band-band baharu.” katanya.
Seorang yang mesra dan suka bergaul dengan orang, tanpa kira umur, bangsa dan agama
Beliau berkata lagi, rakan karib arwah sejak kecil adalah seorang berbangsa India, Jeeva, dan seorang berbangsa Cina, Roland. Di sini arwah bermula berkawan dengan macam-macam jenis kawan tanpa kira bangsa dan agama.
Oleh kerana arwah seorang yang suka bergaul, beliau berkata mana-mana mereka pergi, arwah akan sentiasa ditegur. Dari orang yang pekerja biasa sehingga ke orang yang berpangkat kenal dengan arwah. Kata beliau lagi, tak kira kerja apa pun arwah takkan berpandang hina seseorang.
“Sebagai adik yang membesar dengan arwah, kami pernah merasa kerja susah jadi pandangan kami agak berbeza dan tidak mudah nak skeptikal dengan perbezaan agama dan bangsa.”
Arwah juga dikatakan suka membantu orang dalam diam dan jarang orang menceritakan hal dia menolong orang kerana arwah akan memberitahu awal-awal jangan cerita dekat sesiapa kalau boleh.
“Bagi saya, saya takkan dapat cari orang yang lebih memahami saya berbanding dengan arwah, kerana arwah faham keadaan saya walaupun saya diam dan dalam diam arwah akan membantu saya.”
Seorang yang berdikari dan bermotivasi
Pemain drum UKOi, David Andrew, berkongsi pengalaman beliau bersama arwah Sepul. Kata beliau, arwah seorang yang berdikari ketika membuat kerja dan sekiranya ada benda disasar arwah, arwah akan semestinya dapatkan benda itu. Arwah langsung tidak berkira dengan orang tentang idea-idea dikongsi oleh arwah dan suka berkongsi pendapat dengan orang lain.
“Selama 11 tahun saya dalam band UKOi, arwah banyak memberi nasihat kepada saya tentang main dalam band underground.” katanya.
Beliau masih ingat nasihat daripada arwah iaitu bermain dalam band bukan untuk mengejar populariti, tetapi harapan kita adalah untuk mengirimkan mesej melalui lagu, menyatukan orang dalam satu show adalah lebih penting.
“Sepul was a leader…”
Ini dikatakan oleh salah seorang rakan karib arwah, Sufian Mohidin @ maqluc. Disebalik rupa ganas, rambut mohawk dan obnoxious laugh Sepul, beliau mengatakan ketika arwah bercakap, ia akan terus menyentuh hati. Orang yang mendengar nasihat arwah akan merasa mereka betul-betul menghayati nasihat arwah. Kata beliau lagi,
“Pada masa itu (sebelum adanya Disharmonic Movement), kami makin sick of gig yang hanya berfokus kepada satu genre. Contohnya, kalau ia gig punk, maka ia hanya fokus kepada punk. Ini perkara yang sama untuk semua genre di Kuching pada masa itu, tak kira hip hop, atau genre lain. Maka di situ lah arwah mempunyai idea untuk mengasaskan Disharmonic Movement, untuk menyatukan semua.”
Menurut beliau, dalam sekitar tahun 2001, mereka menganjurkan gig mereka yang pertama, bercampur semua genre iaitu metal, punk, hip hop, indie dan banyak lagi! Mereka juga mengasaskan amalan cabutan bertuah dan selainnya. Maka, bermulah lah penyatuan semua band di Kuching melalui Disharmonic Movement, diketuai oleh Sepul.
Thornwire, Live In KCH, etc., itu semua inspirasi dari arwah Sepul
Salah seorang pengasas penganjur event terkenal di Kuching, Karlos Albert dari Thornwire Recs dan Live in KCH mengatakan arwah telah memberi ilham kepada beliau untuk memulakan anjuran-anjuran sendiri. Bermula dengan band Escape The Plain View dari siri-siri show iaitu Kuching Jammband dimana ia dianjurkan di D’ Sebila Cafe, pada masa itu dalam pandangan mereka, Kuching tiada apa-apa show. Jika ada pun, hanya band tertentu sahaja dapat bermain kerana mereka dikira masih baharu dalam scene.
Tetapi dengan didikan arwah Sepul melalui Disharmonic Movement, beliau bersama rakan-rakannya diajar bagaimana untuk menganjur satu show dan arwah akan memberi idea bagaimana memperjayakannya.
“Backdoor Studio diilhamkan oleh arwah Sepul, kerana arwah pernah memiliki sebuah studio kecil di Centre Point. Ini pada tahun 2008/2009 dan Kuching pada masa itu tiada venue (dalam pandangan peribadi) untuk menganjurkan show. Studio tersebut kecil, maksimum 20 orang sahaja boleh masuk. Tetapi ia sangat menyeronokkan!”
Beliau berkata lagi, tanpa arwah, beliau takkan memulakan Thornwire, Live In KCH, maka event Straight To Your Face (STYF) pun takkan wujud. Beliau yang juga salah seorang ahli band Sawtorture tambah lagi,
“Arwah telah meninggalkan satu legasi, kita semua adalah sebahagian daripada legasi itu. Semua yang saya dan rakan-rakan saya buat kini adalah ilham dan didikan daripada arwah. Semuanya berkaitan dengan arwah.”
Kini, Live In KCH dan Thornwire Recs merupakan antara penganjur gig di Kuching yang terkenal dan berjaya membawa masuk band antarabangsa seperti Miss May I, Suicide Silence dan pelbagai lagi band-band tempatan yang mempunyai pengaruh besar.
Man of the scene
Salah seorang ahli daripada scene hip hop yang asal usulnya rapcore band, Chris Zafri Hill dari Trigga Figgaz, mengatakan arwah merupakan man of the scene di mana-mana gig dianjurkan.
“Arwah Sepul sentiasa supportive dalam scene muzik, sekali dengan adik arwah (Kojack). Mereka sentiasa terlibat dalam mana-mana gig underground. Selagi adanya gig, mereka sentiasa keep in touch bukan dengan kami tetapi dengan pemuzik underground tempatan yang lain. Tiada sekali pun saya dengar ayat kurang bagus tentang arwah. Arwah selalu dipuji dan disokong oleh orang ramai.”
Tambahan beliau lagi, misi pertama arwah adalah untuk membangkit scene muzik underground tempatan di Sarawak, sama seperti Kojack.
Sebahagian keluarga yang besar
Salah seorang ahli band tempatan punk/hardcore, Dance On Your Grave (DOYG), Jane Nuek, mengatakan arwah telah menyambutnya menjadi sebahagian daripada keluarga besar. Menurut beliau, beliau pernah perform untuk Jamm Sessions, anjuran Disharmonic Movement, sebanyak 3 kali sebelum wujudnya DOYG. Ketika wujudnya DOYG pada tahun 2009, mereka perlahan-lahan meningkat dengan sokongan UKOi.
“Pada zaman itu, sekiranya UKOi ada gig, DOYG akan dijadikan band sokongan, sehingga ada tour Raya (bersama PJHC).” katanya.
Beliau juga berkata, Jamm Sessions anjuran Disharmonic Movement telah memperkenalkan vokalis-vokalis perempuan lain dan beliau percaya jika tiadanya Disharmonic Movement, maka tiada wujudnya DOYG hari ini.
“Arwah Sepul seorang yang kuat menyokong pemuzik tempatan. Arwah akan merajinkan diri untuk datang ke mana-mana gig, walaupun tidak membeli tiket masuk namun arwah akan tetap menunggu diluar venue semata-mata untuk lepak dengan kami.” katanya lagi.
Arif dan Merendah Diri
Menurut salah seorang ahli scene Indie awal 2000-an, Chris Adam, beliau berkata arwah seorang yang mempunyai sifat kepimpinan. Berdasarkan pengalaman beliau, beliau berkata
“Arwah sentiasa mendengar masalah orang lain dan kebiasaannya, arwah akan bantu menanggung. Arwah juga seorang yang lebih mendengar dari berbunyi. Walaupun benda itu tidak betul, arwah akan tetap dengar dan senyum.”
Tambahnya lagi, arwah seorang yang suka membantu mereka yang baru berjinak dalam anjuran berkaitan dengan muzik underground.
“Selalunya, idea akan disumbangkan oleh arwah. Tetapi yang mendapatkan credit anjuran dan mereka yang menjayakannya akan diberikan kepada mereka yang baru belajar. Walaupun arwah ada kena-mengena dengan anjuran itu, arwah lebih mengutamakan generasi baharu dan tidak akan claim.“
Katanya lagi, arwah suka ‘up‘ kan orang dan lebih mengutamakan generasi baharu untuk membantu membangkit scene underground muzik tempatan dan sentiasa sedia membantu disebalik tabir.
Harapan Arwah Untuk Scene Muzik Underground
Menurut adik arwah, Kojack, harapan yang diharapkan oleh arwah dari dahulu adalah supaya band-band dan para penganjur di Sarawak dapat membawa scene underground atau independent dengan usaha sendiri dan tidak mudah mengikut dengan budaya scene di luar Kuching dan Sarawak secara umum.
Dipendekkan kata, tidak mengharapkan sponsor, radio, televisyen, surat khabar, label-label major agar karya sesebuah band kekal ikhlas dan tidak dimotivasi untuk mendapatkan duit dan kemasyhuran semata-mata tetapi dianggap sebagai bonus atau rezeki untuk sesebuah band dan para penganjur.
Dalam pandangan peribadinya mengenai gerakan ini, beliau berkata ia berjaya menghasilkan beberapa band dan penganjur yang berjaya di sekitar Kuching (yang mereka kenal dari dahulu sehingga ia dijadikan satu semangat mereka untuk menganjur gig/event ke tahap lebih tinggi dari yang arwah pernah anjurkan). Katanya lagi, beliau dan arwah Sepul sentiasa menyokong mereka. Sekiranya arwah tidak dapat datang, arwah akan menghubungi mana-mana ahli band UKOi untuk turun dan support. Jarang sekali arwah tidak turun.
Menurut David Andrew lagi, kehilangan arwah memang memberi impak yang sangat besar dan menusuk hati semua pemain muzik, terutamanya di Sarawak. Thanks to him, arwah telah banyak melahirkan band-band zaman sekarang melalui anjuran gig-gig arwah ketika zaman D’Sebila Cafe, CentrePoint.
“Yang paling orang akan ingat adalah salam tangan ‘zass’ arwah, ketawanya yang sentiasa ceria dan paling besar antara semua. Arwah lah inspirasi saya untuk menjadi apa yang saya mahukan,” katanya lagi.
Menurut Karlos Albert lagi mengenai harapan arwah Sepul adalah untuk sentiasa bersatu dan sentiasa menyokong band tempatan dan berharap band-band tempatan akan mengeluarkan material untuk sentiasa gerakkan scene.
“Ingat lah kenapa anda mula bermain muzik. Glory comes later.”
Ini dikatakan lagi oleh Sufian Mohidin @ maqluc mengenai harapan arwah tentang masa depan scene muzik underground tempatan. Beliau berkata arwah mengingatkan pemain muzik ada tugas untuk membantu dan mendidik pemuzik bercita-cita tinggi untuk sentiasa ada semangat dan enjoy ketika bermain muzik. The style and art in one’s performances is what makes a musician an artist.
Jane Nuek berkata lagi, arwah hanya mahu legasi ini kekal hidup di scene muzik underground tidak kira mana-mana genre, siapa, dimana atau bila. Arwah tahu semua mahukan benda yang sama iaitu penyatuan. Dalam passion, dalam muzik, dalam persahabatan, dalam budaya, selagi ia menyatukan kita semua. Yang megasaskan semuanya, the king of punk/skinheads.
Akhir kata, Kojack mempunyai satu pesanan untuk mereka yang mengenali arwah abangnya.