Terminal KLIA Bakal Lebih Besar, Ada Terminal Baru Untuk Jemaah Haji Dan Umrah!
MAHB Cadang Bina KLIA3, Siap Ada Terminal Khas Untuk Jemaah Haji Dan Umrah. Kalau anda biasa travel dari Kuala Lumpur ke destinasi antarabangsa, pasti tahu bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah antara pintu masuk terpenting negara. Tapi pernah tak terfikir, apa yang akan berlaku jika jumlah penumpang bertambah berganda-ganda dalam tempoh terdekat?
Nampaknya, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka beberapa projek pembesaran KLIA dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk memastikan lapangan terbang ini terus ‘mapan’ dan mampu menampung peningkatan penumpang dan pesawat.

KLIA T1 & T2 “Dibuka Besar”, Kapasiti Berganda
Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook, mengumumkan rancangan besar untuk menaik taraf Terminal 1 (T1) dan Terminal 2 (T2) secara berperingkat. Projek ini dijangka mampu meningkatkan:
- T1: Dari 30 juta penumpang setahun (mppa) kepada 59 mppa
- T2: Dari 45 mppa kepada 67 mppa
“Mppa” bermaksud Million Passengers Per Annum (Juta Penumpang Setahun).
Tak cukup dengan itu, MAHB turut mempertimbangkan pembangunan landasan keempat dan Terminal 3 (T3) pada masa akan datang. Dengan keseluruhan pelan pembesaran jangka panjang ini, kapasiti KLIA boleh mencecah 140 juta penumpang setahun dan memacu jumlah pergerakan pesawat dari 108 kepada 154 setiap jam!
Terminal Baharu Khas Untuk Haji & Umrah
Selain merancang Terminal Premium & Persendirian (PPT) yang dijangka mampu menampung kira-kira 100 penumpang pada satu-satu masa, MAHB juga berhasrat membina terminal khas untuk jemaah haji dan umrah dengan kapasiti lima juta penumpang setahun.
Paling menarik, terminal baharu ini akan dilengkapi kemudahan pemeriksaan imigresen pra-kelulusan oleh Kerajaan Arab Saudi. Ini bermaksud anda yang ingin menunaikan haji atau umrah boleh terus “lepas” di KLIA, tanpa perlu menunggu lama di lapangan terbang Arab Saudi nanti. Cuma, kemudahan ini masih perlu mendapat persetujuan rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi.
Solusi Jangka Pendek: Pindah, Tambah Kaunter, Kurangkan Kesesakan
Untuk jangka pendek, MAHB sudah pun mengambil langkah mengoptimumkan T1 dengan:
- Memindahkan beberapa syarikat penerbangan dari T1 ke T2 bagi mengurangkan kesesakan.
- Memasang kiosk kemudahan kendiri (self-check-in kiosk) dan menambah 20 gerbang automatik bagi mempercepatkan proses imigresen.
- Menambah baik pengurusan trafik dan penempatan pekerja asing untuk memperkemaskan aliran penumpang.
Langkah-langkah ini dijangka siap hujung tahun ini bagi memastikan pengalaman penumpang lebih lancar dan selesa.
Hab Penerbangan Serantau Yang Lebih Mantap
YB Anthony Loke menegaskan, pembesaran KLIA ini penting untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau dan antarabangsa. Dengan kemudahan infrastruktur yang cukup dan terminal yang lebih selesa, Malaysia boleh menarik lebih banyak syarikat penerbangan asing serta menjadikan KLIA pintu gerbang utama ke Asia Tenggara.

